BERJASA MENERUSKAN KESINAMBUNGAN SERUAN KESEPAKATAN DAN PERPADUAN MELAYU ISLAM

1. BERJASA sebagai parti yang meletakkan agenda perpaduan ummah sebagai salah satu agenda utama perjuangannya, menyambut baik usaha PAS-UMNO yang serius dalam menyatupadukan orang Melayu Islam di negara ini.

2. Sejak 10 tahun yang lalu sehingga kemuncaknya pada PRU13, BERJASA telah membawa agenda ini di bawah slogan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Pilih Calon Muslim Berwibawa’ yang berdasarkan kesedaran pada masa itu, kuasa Melayu Islam semakin hilang disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan.

3. Walaupun usaha dan niat BERJASA ketika itu dipandang serong dan menerima kritikan hebat dari banyak pihak (baik dari Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional) ,BERJASA terus istiqamah dalam pendiriannya dan tidak menoleh ke belakang untuk merealisasikan matlamat kesatuan itu.

4. Alhamdulillah, dengan kesedaran semua pihak yang ingin melihat perpaduan Melayu Islam menjadi kenyataan dan seterusnya mengembalikan dominasi pemerintahan dan politik Melayu Islam yang akan membawa kestabilan negara tercinta ini, BERJASA yakin perkara ini akan mendapat sokongan majoriti rakyat terutama sekali orang Melayu.

5. BERJASA menyeru semua pihak yang akan menggabungkan diri dalam kesepakatan ini, meletakkan agenda ini di depan dengan mengenepikan kepentingan diri sendiri, dan menjadikan perkara yang lepas sebagai pengajaran berguna agar apa yang berlaku sejak PRU14 tidak akan berulang lagi.

6. Penampilan manifesto yang mantap, menarik tetapi realistik; dan penampilan calon-calon yang berwibawa dan bersih, mesti dirancang dan diketengahkan dalam menghadapi PRU15 nanti. Rakyat menanti satu kesatuan yang berupaya memerintah negara dengan pemimpin-pemimpinnya yang mempunyai akhlak mulia, berintegriti dan ikhlas.

7. Selain itu, bukan sahaja usaha-usaha penyatuan ini diberi perhatian, malah perancangan pembangunan dan keutuhan kekuatan bangsa Melayu dengan berteraskan Islam, pasca PRU15 dan seterusnya, perlu dibangunkan secara holistik. Ini perlu dilakukan dengan melihat kepada paksi-paksi kuasa dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, teknologi, sosial, perundangan, pertahanan dan lain-lain agar penguasaan orang Melayu Islam dapat diteruskan dan dimantapkan.

DATO’ Ir. Ts. Dr BADHRULHISHAM ABDUL AZIZ, F.A.Sc
Presiden BERJASA

Kerajaan PH sanggup menjadi perisai golongan LGBT

PH menang atas sokongan undi kumpulan-kumpulan minoriti yang bergabung membentuk majoriti mudah. Kumpulan minoriti terbabit ialah kaum Cina, kaum India, puak liberal sekular, Syiah, LGBT dan seumpamanya. Ini berikutan pendekatan PH yang amat lunak dengan kumpulan-kumpulan minoriti tersebut.

Sebaliknya PH hanya memenangi tak sampai 30% undi orang Melayu, kerana pendekatan liberal dan lunak PH kepada kumpulan minoriti di samping kutukan-kutukan berterusan PH ke atas orang Melayu menyebabkan bangsa majoriti itu tidak memilih PH.

Dua perkara di atas adalah fakta dan realiti.

Sehubungan itu, kenyataan Hanifa Maidin yang mempertahankan perarakan LGBT adalah tidak pelik, kerana Hanifa hanya menjalankan tugas untuk menjaga hati pengundi kumpulan-kumpulan minoriti PH tersebut.

Malaysia telah mengundi PH yang mesra kumpulan minoriti termasuk yang songsang seperti LGBT. Orang-orang Melayu yang merupakan kumpulan majoriti muslim di negara ini kena terima hakikat.

Satu kesilapan memilih, harganya ialah kedaulatan Islam dan kuasa politik Melayu yang tergadai.

 

Mohd Hazizi Ab Rahman

Naib Presiden Berjasa

Tangani Segera Isu Pengangguran Siswazah

Laporan yang dikeluarkan oleh Berita Harian semalam hanyalah simptom kepada masalah ekonomi yang semakin membarah menimpa rakyat Malaysia.

Siswazah daripada golongan B40 sememangnya merupakan golongan paling terkesan dan perlu diberikan perhatian oleh pihak kerajaan. Golongan siswazah ini telah berusaha keras dalam arus pendidikan perdana untuk membaiki nasib mereka dan keluarga.

Namun harapan mereka punah apabila menginjakkan kaki ke alam pekerjaan. Masalah-masalah seperti kurang peluang pekerjaan yang setimpal, ketiadaan peluang pekerjaan di luar bandar, diskriminasi kaum di tempat kerja merupakan antara faktor lain yang menjadi penyumbang kepada golongan ini terus menganggur.

Peluang pekerjaan yang hanya tertumpu di bandar sahaja menyukarkan lepasan siswazah ini untuk berpindah ke bandar atas faktor kos sara hidup yang terlalu tinggi di bandar, tanggungjawab mereka untuk menyara ahli keluarga di kampung sehingga menyebabkan mereka terpaksa mengambil keputusan untuk terus berada di kawasan luar bandar.

Keengganan kerajaan membangunkan kawasan luar bandar dan membantu golongan miskin memburukkan lagi keadaan. Elaun petani dan nelayan yang dipotong, keengganan kerajaan menyuntik dana tambahan kepada Felda, kegagalan mengawal harga sawit serta getah telah membantutkan pembangunan ekonomi di luar bandar. Perkara ini menyebabkan peluang pekerjaan di luar bandar semakin berkurang.

Kerajan perlu serius menangani masalah ini dan membantu golongan siswazah ini untuk keluar daripada kitaran kemiskinan yang terus menghantui mereka. Mereka telah beruasaha keras dan kini peranan kerajaan pula membantu untuk mengubah nasib mereka kepada yang lebih baik.

Muhammad Thalhah Bin Kamarol Zaman
AJKP Berjasa

Krisis Keyakinan Terhadap Kemampuan dan Kebolehan Anak Tempatan

Sejak mencapai kemerdekaan, ramai rakyat Malaysia telah melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara sehingga meraih pelbagai ijazah dari sarjana muda hingga ke ijazah kedoktoran.

Kemudian mereka mula membina kerjaya mereka dengan membangunkan kemahiran dan kemampuan masing-masing hingga ke peringkat professional.

Kehebatan dan kepakaran anak tempatan ini dalam pelbagai bidang telah mendapat pengiktirafan dari luar dan dalam negara. Bukan itu sahaja, ada diantara mereka yang dipanggil berkhidmat untuk agensi ternama di luar negara.

Malangnya, di dalam negara ini, kehebatan anak-anak tempatan ini tidak diiktiraf oleh sebahagian masyarakat dan yang paling menyedihkan oleh sebahagian pemimpin negara.

Dari bidang teknologi hingga ke pengurusan perniagaan, anak-anak tempatan tidak diberi tempat dan peluang yang sewajarnya.

Ada diantara orang kita yang menyakini orang dari luar negara mempunyai kepakaran dan kemampuan yang tidak boleh ditandingi oleh anak tempatan.

Apabila seorang sarjana Barat atau luar mengeluarkan pandangan, ada yang meyakini sepenuhnya berbanding kenyataan yang dikeluarkan oleh anak tempatan.

Bila ini berlaku, beberapa kedudukan strategik diserahkan kepada orang luar dan juga ada yang menjadi ketua jabatan atau CEO dalam pelbagai syarikat.

Malahan di universiti tempatan, ada pensyarah muda tempatan yang memilikki PhD tidak diberi peluang sewajarnya sebagai pemeriksa luar dan penyelia utama dalam pengajian siswazah. Jadi bagaimana mereka boleh menimba pengalaman jika tidak diberi peluang?

Pengalaman saya sendiri yang terlibat dalam beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan oleh agensi kerajaan dan tempatan, bila kita memberi pandangan yang berasaskan fakta, pengalaman dan lain-lain, kita disindir dengan kata-kata seperti ‘Betul ke Prof?’.

Tapi bila seorang pakar luar memberi pandangan, diterima bulat-bulat dengan rasa hormat dan tanpa kesangsian, walhal ada pandangannya yang tidak tepat atau betul!

Sudah sampai masanya, terutama dalam hal-hal kritikal yang menentukan masadepan negara, berilah peluang dan keyakinan anak tempatan untuk membuktikan kebolehan dan kepakaran mereka baik dalam akademik, GLC, dan lain-lain, termasuk dalam mendudukki kerusi lembaga pengarah agensi-agensi utama dan penting negara.

Saya percaya anak tempatan lebih patriotik, setia dan bertanggungjawab disamping kebolehannya dalam bidang kepakarannya; baik dalam memberi pandangan atau mengurus organisasi dan sebagainya.

Kenapa kita mempercayai orang luar yang mungkin hebat kepakarannya, tetapi mungkin ada agenda tersendiri dan tidak patriotik dan setia seperti anak tempatan?

Bacalah sejarah kejatuhan kerajaan Uthmaniah dan kerajaan Islam Andalusia dimana salah satu dari punca kejatuhannya, adalah mempercayai dan meminta pertologan orang luar, yang akhirnya mengkhianati kerajaan Islam itu sendiri.

Dato’ Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz

Presiden BERJASA

Tragedi Pasir Gudang: Tangani punca sebenar

Berbagai jalan penyelesaian telah diutarakan oleh banyak pihak dalam menangani tragedi pencemaran udara di Pasir Gudang baru-baru ini yang disebabkan oleh pelepasan gas beracun ke udara. Antaranya cadangan-cadangan bernas yang diutarakan oleh Dr Hafidz Yusoff dari SALAM (Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar) dan pakar kejuruteraan kimia, Dato Prof Dr Wan Ramli dari UKM.

Di sini, saya ingin menyarankan agar kita menyelesaikan masalah ini dengan pergi terus kepada puncanya iaitu di kilang mana bahan-bahan kimia digunakan, di proses, atau dihasilkan produk dan produk sampingan.

Menyelesaikan masalah ini dengan memasang alat pengesan gas, mengujudkan pusat kawalan kualiti udara dan sebagainya adalah baik tetapi ianya hanya untuk memantau dan memberi amaran selepas pencemaran berlaku.

Sebelum pencemaran berlaku, maka jalan yang terbaik adalah sebagaimana yang juga disarankan oleh Dato Dr Prof Wan Ramli, ialah dengan menutup sementara kilang-kilang yang beroperasi dan menjalankan siasatan terperinci dengan menyemak rekod dan maklumat bahan-bahan kima yang digunakan.

Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada kilang-kilang yang beroperasi secara haram (tanpa permit) dan juga yang tidak mematuhi peraturan-peraturan DOSH yang berkaitan dalam pengurusan bahan kimia seperti Peraturan USECHH [Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Penggunaan dan Standard Pendedahan Bahan Kimia Berbahaya kepada Kesihatan] dan CLASS [Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya)].

Kemudian, pastikan penguatkuasaan berdasarkan peraturan-peraturan yang sedia-ada, dilakukan dan diperkasakan. Disamping itu, pemantauan berkala, berterusan dan dengan penguatkuasaan tersebut perlu dibuat dalam memastikan pengurusan bahan kimia dan sisanya; penyimpanan dan pelupusan dilakukan secara professional dengan amalan terbaik.

Dato’ Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz

Presiden BERJASA

Pencemaran Udara Pasir Gudang: Kerajaan Perlu Bertegas

Setelah 3 bulan berlalu dalam peristiwa pencemaran alam berpunca dari Sungai Kim-Kim yang membawa kesan buruk kepada penduduk sekitarnya, kita dikejutkan sekali lagi dengan tragedi pelajar-pelajar dari beberapa buah sekolah di Pasir Gudang yang mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan, disebabkan kejadian tersebut, sebanyak 475 institusi pendidikan diarah tutup sehingga 27 Jun nanti yang membabitkan 111 buah sekolah rendah dan menengah kerajaan, tiga institusi pendidikan tinggi, 14 buah sekolah swasta dan antarabangsa serta 347 tadika swasta.

Walaupun terdapat kenyataan dari kementerian terlibat, bahawa kes kali ini adalah tidak sama dengan peristiwa 3 bulan lepas, amat menghairankan sekali simptomnya adalah sama dan sekolah-sekolah yang terkesan 3 bulan sebelum ini juga adalah sebahagiannya adalah sekolah yang sama.

berharap pihak kerajaan mengambil sikap profesional dalam hal ini dengan memberi penerangan yang jujur dan betul agar kekeliruan tidak berlaku, dan yang paling kritikal adalah kesihatan rakyat

Situasi ini amat serius dan sebelum berlaku kemalangan jiwa dimasa akan datang, adalah amat wajar pihak berkuasa seperti JAS, JKKP, majlis perbandaran/tempatan dan lain-lain mengambil tindakan drastik dan tegas dalam menghalang perkara ini dari berulang kembali.

Ketua Persuruhjaya SPRM yang baru dilantik, Latheefa Koya juga diseru supaya menyiasat, jika ada bukti berlakunya penyelewengan kuasa dan rasuah yang menyebabkan peristiwa buruk ini berlaku kembali dalam masa yang tidak sampai tiga bulan. Kita semua difahamkan bahawa pembersihan sisa toksik telah dilaksanakan sepenuhnya dan tindakan undang-undang juga telah diambil susulan dari tragedi bulan Mac lepas. Mengapa pencemaran udara masih berlaku lagi di kawasan yang sama?

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden BERJASA

Teo Ni Ching usah lintas garis merah

BANGI, 18 Syawal 1440H, Sabtu – “Lebih relevan sekiranya perbincangan bersama dilakukan mengenai naratif sejarah yang betul mengenai Malaysia. Satu modul khas mengenainya harus diperkenalkan, khususnya kepada murid yang mengambil UEC, SJKC dan SJKT.”

Demikian saranan Naib Ketua Wanita Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Asral Widad Ahmad Asnawi kepada Timbalan Menteri Pendidikan, yang sebelum ini mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan dan idea kepada Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI).

Menerusi akaun Facebook, Teo Nie Ching menjemput semua pihak tanpa mengira kaum dan agama memberi pandangan serta idea kepada pasukan khas secara dalam talian, bagi meneliti isu-isu membabitkan subjek Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK).

Bagaimanapun, selepas menerima kecaman pelbagai pihak, Nie Ching menafikan beliau cuba masuk campur urusan subjek Pendidikan Islam di SK, dan menyifatkan tuduhan dilemparkan kepadanya tidak berasas, serta menjejaskan kredibiliti Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

PPKPI di bawah MPPK ditubuhkan pada 15 April lalu bagi melaksanakan kajian menyeluruh terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam untuk penambahbaikan.

Mengulas perkara itu, Asral berkata, sebaik-baiknya pandangan yang diambil kira hanya ahli akademik, aktivis serta NGO muslim yang berdepan dengan murid beragama Islam.

“Lebih relevan ambil pandangan orang Islam dan tak perlulah orang bukan Islam campur tangan. Jangan cuba merentasi garisan merah kerana jika anda berbuat demikian, orang Islam akan bangkit dan bersuara, sekali gus menimbulkan keadaan tidak selesa.

“Justeru, bagi memastikan perpaduan itu terjaga di negara ini yang terdiri daripada masyarakat majmuk, hormatilah Islam, Melayu dan Raja,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri di Bangi Golf Resort, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Asral menggesa Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya lebih tegas dan bersuara menegur timbalannya untuk tidak masuk campur tangan dalam hal berkaitan Islam.

“Bagi kita itu sudah terlampau biadab, dan bagi mereka yang duduk di kementerian jika tidak menegur tindakan timbalan menteri itu maka bacullah menteri itu,” katanya.

Kredit berita dari: https://www.ismaweb.net/2019/06/22/timbalan-menteri-pendidikan-diingat-usah-lintas-garis-merah/

Sudah sampai masanya Tun Dr Mahathir & Datuk Seri Anwar Ibrahim bersara

Perkembangan terkini mengenai pelan penggantian Perdana Menteri menjadi topik yang hangat diperbincangkan baru-baru ini bukan sahaja di dalam negara, malahan menjadi perhatian banyak agensi media luar negara.

Dalam wawancara Tun Mahatir dengan beberapa agensi media luar negara, beliau kelihatan berdolak-dalik dalam memberi satu jawapan yang tuntas serta kerangka waktu yang spesifik mengenai penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada DS Anwar Ibrahim.

Dalam hal ini, saya sebagai seorang rakyat Malaysia, yang ingin melihat kepada masadepan negara yang lebih terjamin, berpendapat sudah sampai masanya kedua-dua pemimpin negara ini melepaskan jawatan dan melupakan hasrat menjadi Perdana Menteri. Tampuk pemerintahan negara patut diserahkan kepada mereka yang lebih berkemampuan, berwibawa dan ‘lebih muda’ untuk menentukan halatuju yang lebih cemerlang.

Tanpa menafikan peranan dan sumbangan Tun Mahathir kepada negara semasa menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun, negara sekarang ini memerlukan satu kepimpinan yang baru, segar dan dinamik untuk mengeluarkan negara dari kemelut politik, ekonomi dan sosial yang memberi kesan besar kepada semua rakyat.

Kita kena akui kemampuan Tun Mahathir untuk memimpin dan merubah keadaan negara pada masa sekarang ada hadnya dan inilah masa terbaik untuk melepaskan jawatan beliau kepada kepimpinan yang baru.

Pada masa yang sama, sudah sampai masanya juga DS Anwar Ibrahim untuk melupakan hasrat beliau untuk menjadi Perdana Menteri dan seperti saranan di atas, rakyat Malaysia mahukan perubahan yang konkrit demi kestabilan dan kemakmuran negara. Pertelingkahan dan perbalahan politik dalam perebutan jawatan Perdana Menteri amat merugikan semua pihak.

Telah tiba masanya untuk semua pihak mengakui dan menerima hakikat Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim perlu ‘bersara’ dari politik tanahair. Samada menggantikan kedua-dua pemimpin ini dengan pemimpin baru dari kalangan PH atau mungkin yang lebih baik, memberi mandat kepada rakyat untuk menentukannya dengan pembubaran parlimen!

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden BERJASA

Malaysia Perlu Segera Bersedia Menghadapi Negara Tua 2030

Dalam insiden yang berlaku di salah sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban baru-baru ini, saya ingin menyarankan masyarakat dan media untuk memberi ruang pada polis untuk menjalankan siasatan. [1]

Dalam masa yang sama saya ingin menyeru dan mengingatkan agar masyarakat mengelakkan untuk mengeluarkan sebarang spekulasi atau bertindak menghukum terlebih dahulu sebelum kes diputuskan oleh pihak berautoriti. [2]

Pada hakikatnya, kita semua kena terima negara kita kian menuju Negara Tua dimana 15% penduduk terdiri daripada mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Ianya akan berjumlah dalam jutaan orang. [3]

Garis Panduan Patuh Shariah kepada para pengendali wargaemas Muslim haruslah dirangka sebagai panduan.

‘Elderly Protection Act’ perlu dibincangkan didraf dan digubal bersama dengan semua pemegang taruh yang berkaitan dengan pengendalian wargaemas.

Tinggal 11 tahun sahaja lagi yang berbaki untuk kita bersama melakar dan mencorakkan ‘Aging Nation’ yang proaktif dinamik dan patuh shariah dalam segala segi terutamanya dari sudut pengendalian hal-hal berkaitan wargaemas yang melibatkan pelbagai agensi serta pelbagai lapisan masyarakat.

Kejadian-kejadian yang tular ini yang belum tentu kebenarannya adalah umpama ‘bom jangka’ yang bakal meletus bila-bila masa sekiranya kita masih alpa dalam merangka dan memperincikan gerakerja ke arah mencorakkan ‘Aging Nation 2030’ mengikut sosio budaya kita sebagai negara Islam.

Saya menyeru agar semua lapisan masyarakat dalam pelbagai bidang mengambil cakna akan isu ini serta memposisikan peranan masing-masing dalam kita memastikan Malaysia Menuju Negara Tua 2030 menjadi negara yang disegani dunia.

Ikuti perbincangan saya berkenaan ‘Warga Emas Bukan untuk Didera’ di TV Utusan di pautan berikut: http://bit.ly/2WUGXZx

Hajah Asral Widad Bt Ahmad Asnawi
Naib Ketua Wanita BERJASA

Rujukan:

[1] http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/penghuni-pusat-jagaan-warga-emas-didera-1.919528

[2] https://www.thestar.com.my/news/nation/2019/06/18/residents-forced-to-drink-urine-and-given-overdose-meds-authorities-probe-claims-at-seremban/#ehc5vKIKlKDhmzP4.99

[3] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/malaysia-jadi-negara-tua-2030-1.498831

Benarkah FDI atau PH jual tanah pada China?

1. Ya benar, pelaburan dari China ke Malaysia sangat pantas dan cepat. Bukan hanya berlaku kini ketika di era Pakatan Harapan (PH) saja, malah ketika akhir-akhir pemerintahan Barisan Nasional (BN) juga menyaksikan ratusan juga malah billion ringgit pelaburan asing dari China dimeterai pada ketika itu.
 
2. Namun, ketika zaman BN, apa yang terpacul dari mulut pemimpin PH amat berbeza. Mereka ketika itu seringkali mengingatkan kerajaan BN, untuk tidak menjual negara kepada China.
 
3. Malah ketika itu saya kira mereka sedikit siuman, kerana masih berhati-hati dengan agenda “One Belt One Road (OBOR)” yang telah menyaksikan beberapa buah negara mundur tersungkur apabila terperangkap dengan hutang kepada negara Tembok Besar itu. Contohnya Zimbabwe & Sri Lanka yang kini terpaksa tunduk kepada hegemoni tembok besar itu. [1] Bacaan lanjut tentang “OBOR” [2]
 
4. Masih teringat lagi bagaimana projek-projek besar dibawah BN yang menjalinkan kerjasama dibawah dasar OBOR seperti penjualan ekuiti Proton kepada Geely (syarikat China), pembelian penjana elektrik bebas (IPP) milik 1MDB oleh China Nuclear, cadangan pembinaan pelabuhan laut di Kuantan dan Melaka, Zon Industri China Kuantan, ECRL-CCCC, dan projek bandar Malaysia di Iskandar Johor dikritik begitu hebat sekali oleh PH. [1]
 
5. Pada awalnya, saya melihat ‘keras’ nya Tun Dr Mahathir terhadap China sedikit sebanyak melegakan. Namun, mutakhir ini, nada kerajaan PH semakin berubah. April lalu, di Beijing, Tun menyatakan sokongan kepada projek OBOR [3]. Maka selepas itu saya melihat begitu banyak projek-projek antara yang terbaharu hari ini perjanjian antara syarikat hartanah Malaysia dengan syarikat hartanah PowerChina Real Estate Group Ltd, Xia Jin. [4]
 
6. Ini bukan kali pertama, sungguhpun membawa pulangan pelaburan atau manfaat, tetapi kita tidak boleh menafikan kita bakal berdepan hilangnya tanah-tanah milik syarikat Malaysia di negara kita.
 
7. Contohnya dalam kerjasama Ecoworld-PowerChina ini, menyaksikan 117.35 ekar tanah berharga RM240 Juta dibeli daripada Paragon Pinnacle Sdn Bhd, yang mana Paragon ini dimiliki bersama Ecoworld & Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
 
8. Itu baru satu perjanjian. Bagaimana dengan puluhan lagi perjanjian yang dibawa masuk melalui pegangan syarikat-syarikat swasta? Siapa yang sepatutnya mengawal dan memantau urusan jual beli tanah oleh syarikat luar? Walaupun memberi pulangan kepada kita dari segi pertukaran kepakaran atau sektor pekerjaan, namun jangan dilupa, soal hak pemilikan tanah ini adalah sesuatu yang sangat sensitif yang tidak patut dipandang sebelah mata.
 
9. Tun M sebelum menduduki Putrajaya untuk kali kedua pernah memberi amaran bahawa tanah-tanah yang dijual kepada orang asing boleh membawa kesan besar kepada landskap politik negara dan mengancam bahawa Malaysia boleh menjadi negeri asing. [5].
 
10. Tahun lalu juga Tun sekali lagi memberi amaran agar syarikat asing tidak seharunya membeli tanah-tanah di Malaysia dengan alasan menjalankan FDI. [6]
 
11. Sudah tiba masanya, kerajaan membentuk jawatankuasa khusus untuk memantau urusan FDI China ke Malaysia ini. Terutamanya dalam urusan jual beli hartanah di Malaysia. Jangan lidah bercabang, jujurlah demi kemaslahatan tanah Malaysia yang berdaulat!
 
Sekian.
 
Hazwan Mohamad,
Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA,
Presiden Professional Muslim Community (PMC).
 
https://t.me/hazwanmohamadchannel
 
Rujukan:
 
[1] https://www.malaysiakini.com/news/398595
 
[2] https://www.ismaweb.net/2016/10/05/75928/
 
[3] https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/04/26/malaysia-sokong-penuh-inisiatif-obor-china-kata-dr-m/
 
[4] https://malaysiagazette.com/blog/2019/06/14/ecoworld-mahu-bangunkan-projek-infra-tenaga-dengan-powerchina/
 
[5] https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/07/dr-mahathir-beri-amaran-bahaya-jual-tanah-kepada-orang-asing/
 
[6] http://www.astroawani.com/berita-malaysia/bawa-modal-teknologi-peluang-pekerjaan-bukan-beli-tanah-tun-mahathir-183580