Perdana Menteri Perlu Terus Dalam Nyahkan Monopoli

Saya memuji dengan tindakan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary kerana memonopoli import beras di negara kita.

Teguran itu menyebabkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju untuk memperuntukkan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada golongan pesawah miskin.

Tindakan kedua-dua pihak ini dipuji dalam usaha untuk membantu dan mengurangkan beban golongan pesawah yang menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran beras negara kita. Usaha mereka yang gigih membanting tulang di sawah sewajarnya dihargai kerana boleh dikatakan mereka ini menjadi penyumbang kepada sekuriti makanan negara kita.

Namun demikian, saya berpendapat lebih eloknya jika Perdana Menteri dapat menegur juga taikun-taikun yang bersikap memonopoli di dalam perniagaan yang lain. Sentimen taikun ataupun kapitalis yang jahat dilihat telah tertumpu kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sedangkan ramai lagi taikun yang lain seperti Robert Kuok ataupun dikenali sebagai Raja Gula yang memonopoli industri gula.

Ananda Krishnan yang merupakan pemilik kepada syarikat penstriman televisyen terbesar negara iaitu Astro juga melaksanakan monopoli total dengan sehingga bertindak memberi amaran untuk menyaman kepada mana-mana pihak yang menjual Andoid Box. Di dalam ekonomi, pengguna berhak membuat pilihan dalam mendapatkan produk yang terbaik. Aduan berkenaan kualiti Astro sudah lama diperkatakan oleh rakyat dan pihak Astro dilihat tidak mengambil serius dalam soal kualiti produknya. Sepatutnya monopoli sebegini yang kerajaan perlu memandang serius juga.

Kerajaan juga digesa untuk menyiasat isu kartel telur atau ayam yang dilihat terdapat unsur-unsur monopoli sehingga wujudnya isu kenaikan harga dua barang tersebut.

Memecahkan monopoli ini adalah satu tindakan yang bagus dalam mewujudkan persaingan yang sihat dalam perniagaan. Harga mampu ditawar dengan lebih rendah dan pengguna iaitu rakyat akan mendapat manfaatnya. Cuma saya berharap tindakan memecahkan monopoli ini perlu dibuat dengan telus dan melibatkan semua taikun atau kartel yang juga memainkan perniagaan monopoli di negara kita.

Cikgu Zulkifli Yahya
Setiausaha Agung BERJASA

Artikel Berkaitan