Bantu Anak Muda Keluar Daripada Kemiskinan Ekonomi

Keputusan PRU-15 menyaksikan undi anak muda amat memberikan pengaruh yang besar. Hal ini diakui oleh pemerhati-pemerhati politik yang melihat peratusan keluar mengundi daripada pengundi muda meningkat yang juga dibantu oleh faktor kempen pilihan raya di media sosial.

Saya berpendapat antara faktor lain wujudnya gelombang pengundi muda ialah pengharapan yang tinggi oleh mereka untuk keluar daripada tekanan ekonomi yang berlaku sekarang.

Trend anak-anak muda sekarang ramai yang menceburkan diri di dalam industri gig ekonomi sebagai penghantar makanan. Walaupun kerja ini menjanjikan pulangan yang lumayan namun ia bergantung kepada jam perkhidmatan yang mereka perlu bekerja. Jika lebih masa di atas jalan raya maka mungkin tinggi pendapatan yang boleh diperoleh oleh mereka.

Risikonya adalah mereka mudah terdedah dengan insiden kemalangan jalan raya yang boleh mendatangkan maut sedangkan mereka ini tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

Saya yakin bahawa anak muda menginginkan perubahan yang besar untuk nasib mereka di dalam ekonomi. Gig ekonomi dilihat tidak menjanjikan trend kenaikan yang berterusan kerana lama-kelamaan ia akan menurun juga nanti.

Kerajaan yang membawa harapan anak muda ini perlu bertindak segera untuk menyelesaikan isu ini. Pergiatkan lagi program kerjaya seperti HRDF Corp yang diselia oleh Kementerian Sumber Manusia dengan menaik taraf modul latihan kerjaya di dalam program itu.

Kerajaan juga boleh melakukan kerjasama dengan pemain-pemain industri untuk mengadakan hari kerjaya yang diisi oleh aktiviti temu duga secara walk-in, semak resume dan promosi iklan kerja kosong.

Anak muda telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka maka seharusnya kerajaan pula memainkan peranan besar mereka untuk golongan ini.

Meor M. Azim
JKP Pemuda BERJASA

Artikel Berkaitan