Tunjang Masa Depan Negara Melalui Bangsa Melayu – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2022 – “Bangsa lain tidak mengutamakan tanah air. Orang Melayu sahaja yang menganggap tanah air sebagai warisan mereka. Kita tidak boleh pergi ke mana-mana tempat kalau kita kehilangan tanah air kita (Malaysia).” Berkata Tun Mahathir Mohamad di dalam ucaptama perasmian Himpunan Nasional Berjasa 2022.

Bukan mahu rasis atau melebihkan bangsa tanpa berasas tetapi hakikat masa depan negara adalah melalui bangsa Melayu. Melayu akan kuat jika mereka bersatu dan Melayu akan kuat jika mereka terus saling menguatkan tanpa mengira latar belakang parti dan sebagainya.

Meskipun Gerakan Tanah Air (GTA) merupakan parti berasaskan Melayu tetapi kaum lain tidak perlu takut dengan GTA. Lihat bagaimana selama ini bangsa Melayu telah mentadbir dan memerintah negara. Walaupun tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan pemimpin ini yang tidak bertanggungjawab dan menyalahguna kuasa untuk poket mereka sendiri.

Presiden Gerakan Tanah Air itu berkata lagi,  matlamat kita untuk mendirikan satu kerajaan yang baik dan berwibawa tidak menyalahgunakan kuasa. Kita berdiri bersama tanpa mengambil kira latar belakang NGO, ahli akademik dan sebagainya. Kita bersatu sebagai orang Melayu.

Hari ini jelas, Himpunan Nasional Berjasa telah mengumpulkan pemimpin dari parti-parti lain iaitu parti Pejuang, Iman dan Putra. Jarang berlaku keadaan seperti ini dalam arena politik tanah air. Hal ini bermakna, Gerakan Tanah Air tidak bermatlamat hanya untuk parti tetapi bersatu untuk mencapai matlamat mengubah corak pemerintahan negara.

“Saya yakin apa yang kita impikan demi negara ini akan berjaya direalisasikan kerana kehadiran anak muda yang membanggakan dalam himpunan hari ini. Justeru itu, keyakinan masa depan orang Melayu memang berasas. Buktinya telah tercatat pada hari ini.” Jelas Tun Mahathir di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Oleh: Nurul Hajjar Binti Atan

Artikel Berkaitan