Titah YDPA Berhikmah Dan Bijaksana

BERJASA ingin menzahirkan kesyukuran kehadrat Illahi dan menjunjung kasih kepada YDPA serta Majlis Raja Raja atas keputusan yang penuh hikmah dan bijaksana dengan menitahkan bahawa tiada keperluan isytihar darurat. Keputusan ini menggambarkan betapa YDPA amat mementingan keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

BERJASA menyeru pihak kerajaan dan juga pembangkang supaya bertindak matang dengan menghentikan segala kerakusan tindakan politik dan seterusnya akur kepada keputusan yang telah diputuskan melalui mesyuarat Majlis Raja Raja.

Parti komponen di dalam Pakatan Nasional tidak boleh bertindak seperti baling batu sembunyi tangan. Persetujuan kabinet untuk mencadangkan darurat adalah timbulnya daripada tindakan segelintir pimpinan parti komponen di dalam Pakatan Nasional itu sendiri. Tindakan tamak yang mahukan jawatan menteri didominasi oleh parti tertentu di dalam kerajaan adalah punca kepada ketidakstabilan negara hari ini.

Pihak kerajaan mestilah menggunakan peluang daripada keputusan mesyuarat Majlis Raja Raja tersebut untuk melaksanakan segala tindakan bagi memfokuskan kepada perancangan membangunkan watan dalam situasi pandemik ini. Segala tindakan mencaturkan politik kepartian sehingga membelakangkan kepentingan watan akan menggambarkan bahawa pihak kerajaan tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Raja Raja.

BERJASA juga ingin mengingatkan pihak pembangkang supaya turut akur kepada keputusan mesyuarat Majlis Raja Raja. Keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu diangkat menjadi keutamaan. Pihak pembangkang tidak boleh mencetuskan kegusaran rakyat dengan mengambil peluang tidak menyokong bajet belanjawan yang dibentangkan.

BERJASA menyeru kepada semua pimpinan parti politik dan rakyat agar sentiasa menghormati perlembagaan sedia ada sebagai tiang seri watan ini. Institusi raja adalah payung negara yang sentiasa dijulang dalam memartabatkan watan berdaulat.

Dato’ Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz
Presiden BERJASA

Artikel Berkaitan