Sebahagian pengundi kecewa dengan kepimpinan parti politik sedia ada
BANGI, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Parti BERJASA Bahagian Sepang menggunakan sistem culaan sebagai ‘senjata’ ampuh untuk membantu memberikan penyelesaian dan menawarkan pengundi pilihan yang lebih baik terhadap kepimpinan baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Yang Dipertua BERJASA Bahagian Sepang, Yudi Kurniawan Budi berkata, sistem culaan yang dilakukan dari rumah ke rumah dengan bertemu pengundi adalah penting bagi melihat sejauh mana pola pengundian serta kecenderungan mereka untuk memilih pada pilihan raya nanti.
“Alhamdulillah hari ini walaupun dalam keadaan hujan di kebanyakan bahagian di Sepang, Selangor, jentera BERJASA Sepang turun bertemu pengundi membuat culaan dan rayu undi.
“Dalam situasi musim tengkujuh sekarang, kami tetap turun bertemu masyarakat Sepang mendapatkan maklum balas mengenai susah senang mereka, bertanya harapan mereka terhadap situasi dan hala tuju negara hari ini,” katanya dalam kenyataan.
Yudi mendapati, sebahagian pengundi agak kecewa dengan kepimpinan parti politik sedia ada yang hanya mementingkan survival politik sendiri dan parti, tetapi tidak menumpukan hal ehwal kebajikan rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup, inflasi serta pasca COVID-19.
“Melalui dapatan itu, kami akan terjemah dalam bentuk maklumat yang akhirnya akan membolehkan BERJASA Sepang melakukan cadangan tindakan membantu rakyat berdepan permasalahan mereka, serta menawarkan khidmat pertolongan yang berkesan.
“Marilah kita sama-sama mengambil sikap cakna terhadap politik, kepimpinan dan hala tuju negara kerana ia akan menjadi penentu kepada masa depan diri, keluarga, masyarakat dan negara kita,” katanya.
Sumber: Ismaweb