PRU15 dalam bah, bukti UMNO angkat kepentingan peribadi

NGO perlu bersuara supaya diganti masa yang lebih relevan

BANGI, 26 Safar 1444H, Khamis – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sanggup meredah banjir demi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas menunjukkan beliau tidak prihatin terhadap kesusahan mangsa bencana itu.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, Ahmad Zahid tidak seharusnya mengangkat kepentingan diri sebaliknya selaku seorang yang pernah berjawatan penting dalam kerajaan sifat peka dan sensitif perlu ditonjolkan.

Tegasnya, keutamaan wajar diberikan kepada persediaan banjir serta pengurusan mangsa dan bukannya perebutan kuasa.

“Dalam keadaan genting apabila Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan jangkaan November nanti akan berlakunya banjir besar di beberapa negeri, menunjukkan bahawa PRU tidak patut diadakan dalam tempoh terdekat.

“Apa salahnya perancangan PRU15 diadakan pada bulan November kita tangguh sekejap sahaja dan laksanakan pada Mac, ini jelas UMNO lebih pentingkan kepentingan peribadi berbanding keselamatan rakyat.

“Bagaimana jika ketika berlaku PRU itu ada nyawa melayang, adakah UMNO mahu bertanggungjawab kerana ini melibatkan isu nyawa manusia,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Ahmad Zahid langsung tidak mengambil kira kesusahan rakyat yang menghadapi pelbagai masalah sekiranya berlaku banjir.

“Adakah Presiden UMNO melihat pertarungan mengambil kuasa lebih penting daripada membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan? Bayangkan jika banjir, sekolah perlu digunakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan di sebelahnya pula terpaksa dijadikan pusat pembuangan undi,” soalnya.

Justeru, Ustaz Zamani menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menunjukkan keberanian dengan mengutamakan kebajikan rakyat dalam membuat keputusan penting ini.

Katanya, Ismail Sabri perlu waras dan tidak terlalu takut kepada presidennya dengan mengutamakan kebajikan dan kesusahan rakyat.

Pada masa sama, Ustaz Zamani menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu khususnya bersuara supaya perancangan tersebut tidak diteruskan dan digantikan dengan masa yang lebih relevan.

Sumber: ismaweb.net

Artikel Berkaitan