TAMPIN: Presiden parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim mengumumkan bakal bertanding bagi kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau memaklumkan akan menandingi kerusi tersebut dibawah Gerakan Tanah Air (GTA) yang merupakan parti dibawah gabungan tersebut.
“Pada PRU-15, kami bersama-sama GTA akan membawa perubahan.
“Di Parlimen Tampin ini walau dijangka pertandingan membabitkan lima penjuru, saya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang perlu dibimbangkan dan kesemua calon yang bertanding boleh melontarkan perjuangan mereka sendiri,” katanya hari ini.
Ujar Zamani lagi, Parlimen Tampin sudah tidak asing lagi buatnya apabila dia merupakan guru haji bagi daerah Tampin sejak tahun 2007 hingga ke 2018 serta sudah lama mengenali masyarakat di parlimen berkenaan.
“Saya juga memulakan profesion sebagai guru di Maahad Ahmadi, Gemencheh pada tahun 1990 dan jawatan terakhir sebelum bersara pada tahun 2019 adalah sebagai Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan) juga di daerah ini.
“Sesiapa yang mengenali, tahu yang Tampin bukanlah asing bagi Saya. Tidak pernah terfikir akan turun ke bidang politik.
“Melihat akan keadaan Malaysia pada hari ini, saya tidak boleh berpeluk tubuh dan melihat, saya harus turun bersama rakyat, membela nasib mereka demi Malaysia yang lebih unggul,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Parlimen Tampin dimenangi Pakatan Harapan (PH) menerusi Datuk Dr, Hasan Baharom dari Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau mencipta kejutan dengan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,002 undi termasuk menewaskan penyandang kerusi tersebut untuk empat penggal sebelum itu, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Abdul Halim Abu Bakar dari Pas. –UTUSAN
Sumber utusan.com.my