Penyertaan BERJASA Dalam Gerakan Tanah Air Adalah Langkah Strategik Bagi Menghadapi PRU Akan Datang

Parti BERJASA sedar akan kepentingan untuk bersama-sama parti lain. Ianya adalah satu langkah strategik untuk meningkatkan visibiliti dimata masyarakat serta membuka ruang kerjasama dengan parti-parti lain dalam memperjuangkan isu-isu negara yang selari dengan polisi dan prinsip parti BERJASA.

Ini juga adalah suatu langkah taktikal parti dalam menghadapi pilihanraya umum nanti. Hal ini bagi mengelakkan pertembungan antara parti-parti Melayu Islam yang hanya akan merugikan semua pihak.

Penyertaan parti BERJASA di dalam Gerakan Tanah Air (Tanah Air), saya lihat sebagai langkah yang tepat dan perlu pada waktunya. Senario politik yang amat tidak stabil pada masa ini memerlukan kepada ikatan antara parti-parti yang senada dalam perjuangan mereka.

Tanah Air yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan dianggotai oleh rakan-rakan parti Pejuang, Putra, Iman, NGO dan tokoh-tokoh nasional adalah satu gerakan yang berteraskan kepada perjuangan bangsa Melayu dan agama Islam.

Ini selari dengan prinsip yang dibawa oleh parti BERJASA dan diharapkan agar ukhuwah yang dibina ini akan berkekalan di atas landasan yang benar.

Ingin saya tegaskan bahawa parti BERJASA, seperti mana yang disebutkan sebelum ini adalah parti yang bebas dari pengaruh luar. Hal ini termasuklah pengaruh rakan-rakan strategik di dalam Tanah Air, kerana akhirnya parti BERJASA mementingkan integriti dan prinsip melebihi kelebihan dalam politik dan pilihanraya.

Namun, saya percaya bahawa selagi mana keikhlasan dalam berjuang itu wujud dalam kalangan parti-parti Tanah Air, ikatan ini akan kekal kukuh dan relevan. Segala perbezaan pendapat akan kita selesaikan dengan cara terbaik.

Meja perbincangan dan rundingan akan parti BERJASA pastikan sentiasa terbuka. Semoga ini menjadi sebab-sebab kemenangan parti BERJASA dan Tanah Air di dalam pilihanraya yang akan datang.

Parti BERJASA mempunyai agenda dan aspirasi yang besar. Aspirasi ini dibina dengan prinsip sebagai tiang serinya yang tidak mungkin akan dikompromi. Walaupun masa amat mencemburui kita, parti BERJASA teguh dengan pendirian dan aspirasinya dalam menjadikan Malaysia sebuah negara unggul dan bermaruah.

Jika kerjasama kita dalam politik menyumbang kepada terbinanya Malaysia yang unggul itu, maka kita akan kekal berjuang bersama. Namun jika sebaliknya, biarpun akan mengambil masa yang lama apabila berjuang berseorangan, parti BERJASA percaya yang suatu hari nanti, kebenaran akan tetap tertegak.

Ucapan dasar Presiden BERJASA,
Hj Zamani Ibrahim
Himpunan Nasional 2022

Artikel Berkaitan