PETALING JAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) adalah parti Melayu yang terdiri dari ahli politik yang bersih dari jenayah dan tidak pernah didakwa di hadapan mahkamah, jauh sekali dari di penjara.
Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GTA juga mempunyai ramai pemimpin berpengalaman yang mengutamakan kepentingan bangsa, negara dan agama.
“Walaupun keahlian mereka terhad kepada orang Melayu, mereka juga akan berlaku adil kepada kaum-kaum lain. Kerajaan yang akan mereka dirikan akan mencermin masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia.
“Hasrat GTA ialah untuk mendiri Kerajaan yang hormati undang-undang (Rule of Law) dan Perlembagaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Isnin.
Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengulas dakwaan pengundi-pengundi yang tidak berminat untuk mengundi kerana tidak ada parti yang menjadi pilihan untuk kerajaan akan datang.
Jelasnya, lebih malang lagi apabila mereka tidak mengundi, kumpulan yang menerima sogokan dari perasuah akan keluar mengundi dan memberi kemenangan kepada parti perasuah.
“Parti perasuahlah yang akan diri Kerajaan dan kerosakan negara akan berterusan.
“Masalahnya pengundi yang menolak sogokan tidak ada pilihan. Mereka juga tidak suka parti-parti lain yang bertanding. Jika negara ingin elak dari memberi kemenangan kepada UMNO, pengundi perlu ada pilihan selain dari yang ada.
“Justeru, hari ini GTA telah ditubuh untuk pengundi, terutama Melayu, memilih selain dari UMNO,” katanya.
Tambahnya, dengan kehadiran GTA, rakyat yang bosan dengan politik, dan ketidakstabilan negara sejak Langkah Sheraton, akan dapat memilih Kerajaan parti Melayu selain dari parti UMNO.
Sumber: Sumberkini.my