Masalah LRT Kelana Jaya Lagi, Latih Tenaga Pakar Dalam Kalangan Anak Tempatan

1. Sebaik sahaja timbul isu kegagalan laluan LRT Kelana Jaya semalam, sebagai seorang jurutera pakar saya amat tertarik untuk mendalami dengan lebih lanjut permasalahan pokok yang berlaku serta mencadangkan penyelesaian yang tuntas daripada hanya ‘menyalak bukit’

2. Lontaran saya sebelum ini berkaitan insiden perlanggaran LRT yang juga berlaku di laluan Kelana Jaya pada Mei 2021 boleh dirujuk di sini: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1902344793273883&id=100004951412598

3. Kali ini, difahamkan bahawa masalah yang berlaku disebabkan kegagalan automatic train control (ATC) yang berperanan untuk mengawal perjalanan coach dan memberikan amaran bahaya bagi keseluruhan sistem, tapi punca pokok tidak diperincikan

4. Berdasarkan pengalaman peribadi saya, biasa sahaja sesuatu kegagalan teknikal itu tidak diketahui punca utamanya yang khusus terutama jika melibatkan peralatan elektronik atau perisian yang berteknologi tinggi

5. Ia mungkin mengambil masa yang panjang untuk disiasat dan ditentukan secara tuntas, namun aspek pemulihan sesebuah sistem (disaster recovery) haruslah efektif dan diuji secara berkala bagi mengelakkan gangguan perkhidmatan (down time) yang begitu lama sehingga menjejaskan imej dan kewibawaan Prasarana Malaysia

6. Persoalannya, adakah mekanisma kegagalan (failure mechanism) ATS ini telah dijangka? Bagaimanakah penyelenggaraan sistem dibuat secara berkala dan disemak pihak luar bagi memastikan kebolehpercayaan (reliability) sistem ini? Adakah kegagalan seperti yang berlaku ini pernah disimulasikan, dinilai prestasi pasukan penyelamat (response team) dan pasukan penyelenggaraan (maintenance team) serta ditambahbaik secara berkala

7. Pada saya, bukan isu penggantungan perkhidmatan selama 7 hari itu yang harus dipersoalkan, tapi adakah ia menurut pelan asal pemulihan (disaster recovery) yang dirangka jika berlaku kegagalan seperti ini? Kenapa lama sangat?

8. CEO Prasarana Malaysia menjawab kerana mereka perlu menunggu pasukan pakar dari Canada (Thales Group) yang hanya akan tiba di Malaysia hari ini. Kenapa pasukan teknikal tempatan tidak dilatih untuk berhadapan dengan situasi seperti ini? Sungguh kita tidak pernah kekurangan kepakaran kejuruteraan dalam kalangan anak-anak muda tempatan. Tiada duit untuk dihantar latihan atau tiada kemahuan untuk membangun anak bangsa? Atau tiada kisah?

9. Sistem ATC ini juga telah beroperasi selama 25 tahun, maka saya tertanya-tanya tidak adakah masterplan yang menggariskan bila sesuatu sistem itu akan tamat tarikh luput (obsolete) dan perlu dinaik taraf (upgrade)? Penaiktarafan ini perlu dirancang secara proaktif. Takkanlah kita menunggu masa untuk terhantuk baru mengadah?

10. Kesimpulannya, kelestarian sesebuah sistem itu bergantung kepada rekacipta yang betul (right design), sistem penyelenggaraan yang lengkap (comprehensive maintenance), sistem pemulihan yang berkesan (effective recovery system) dan modal insan yang berkemahiran (competent manpower). Sungguh, kita perlu bermula dari asas dan belajar dari setiap satu kesilapan lalu!

Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan semua pengguna LRT yang terkesan, para pekerja dan pihak pengurusan Prasarana Malaysia bagi segera keluar dari kemelut yang mencabar ini

Ir. Ts. Lukman Al Hakim
Naib Presiden BERJASA
11 November 2022

Artikel Berkaitan