BANGI – Pendirian Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan sekolah vernakular sekiranya gabungan itu diberikan mandat semula dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah dijangka.
Bagi parti BERJASA, BN atau UMNO sepatutnya lebih prihatin untuk memperkasakan sekolah kebangsaan (SK) berbanding vernakular di dalam manifesto mereka.
Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, UMNO harus memfokuskan pemerkasaan sekolah kebangsaan supaya boleh menarik lebih ramai pelajar bersekolah di bawah sistem pendidikan sealiran.
“Sepatutnya UMNO-BN lebih prihatin untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya lebih menarik dan ramai pelajar serta anak-anak kita bersekolah di sana.
“…terutama dari segi kualiti, silibusnya, fasiliti, kemudahan yang ditawarkan dan pengembangan anak itu pada masa hadapan.
“Dengan itu lebih ramai rakyat negara kita akan pergi ke sekolah kebangsaan, justeru dapat membawa kepada perpaduan yang lebih besar di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas jaminan BN untuk mengekalkan sekolah-sekolah vernakular di negara ini sekiranya parti itu diberikan mandat semula dalam PRU15.
Jaminan itu dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dan menyifatkan kononnya sekolah vernakular adalah hak masyarakat majmuk di Malaysia.
“Saya yakin jika BN menjadi kerajaan semula soal sekolah India, Cina dan vernakular akan terus dikekalkan dalam sistem pendidikan negara ini,” kata Ahmad Zahid berucap ketika Perhimpunan Agung Kongres India Malaysia (MIC) ke-76, baru-baru ini.
Sekolah vernakular didakwa menjadi halangan perpaduan, sehingga menyebabkan sikap prejudis sesama kaum masih menebal.
Sebelum ini terdapat beberapa pertubuhan NGO termasuk gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.
Sumber Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.