KUALA LUMPUR: Gerakan Tanah Air (GTA) yang dibentuk empat parti politik berhasrat mahu mengembalikan semula kekuatan negara merentasi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi, rekonsiliasi nasional dan koreksional politik.
Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Lukman Hakim, berkata pembabitan parti itu dalam GTA untuk kekal teguh dengan prinsip “Bersama Pimpin Negara” bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Pembabitan BERJASA bertindak sebagai pembuat keputusan bersama untuk menerajui gerak kerja PRU-15,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
GTA, satu gagasan baharu disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), BERJASA, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Gagasan itu diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi penaja.
Lukman menjelaskan Piagam GTA sudah dibincangkan dengan rapi, tersusun dan teliti serta bersedia untuk dibentangkan kepada umum untuk dinilai kekuatan dan kualiti gabungan itu.
“Setiap inti pati piagam gabungan dibincangkan secara tuntas antara presiden parti dalam gabungan ini dan disahkan secara konsensus yang mana keputusan secara konsensus sebulat suara kesemua parti menjadi asas pentadbiran gabungan ini yang bakal menentukan sebarang keputusan,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, katanya GTA akan mengangkat naratif “Malaysia Unggul dan Bermaruah.”
“GTA juga turut memberi fokus kepada pembangunan bangsa Melayu dan kaum lain ke arah yang lebih holistik dengan menjulang tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai asas integrasi nasional,” katanya.
Beliau menjelaskan Parti BERJASA berikrar akan terus mendukung integriti dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah melalui sistem kehakiman negara.
“BERJASA menentang sebarang salah laku walaupun dalam kalangan
gabungan ini,” katanya.