Oktober Fest Beri Imej Negatif

SHAH ALAM – Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyifatkan ‘Oktoberfest’ bakal membentuk naratif dan persepsi buruk terhadap negara.

Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan Muda berkata, ini kerana penganjuran sesuatu festival juga adalah usaha dalam mewarnai identiti sesebuah negara.

Menurutnya, kerajaan perlu mengembalikan kedudukan arak sama ada jualan mahupun aktiviti tersebut perlu berada pada ruang lingkup yang tertutup dan jauh daripada masyarakat.

“Adakah kita ingin dikenali dengan negara dengan identiti arak,” soalnya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua (YDP) Berjasa Shah Alam turut menyifatkan ‘Oktoberfest’ masih menjadi agenda normalisasi arak dalam komuniti berbilang kaum, termasuk Melayu.

“Sedangkan melalui kajian saintifik menunjukkan bahawa arak adalah sebahagian daripada jenis ‘drugs’ yang mengakibatkan mabuk, khayal dan ‘mental illness’ bahkan mungkin lebih berbahaya.

“Ketika negara Eropah yang dianggap maju terkial-kial mencari jalan mengatasi masalah arak kerana halangan budaya yang telah terlalu lama, tiba-tiba di Malaysia, konon atas nama kebebasan, begitu bersungguh mahu menjadikan budaya arak ini sesuatu yang diperbolehkan secara terbuka dan diberi kebebasan,” katanya.

Katanya lagi, sebelum ini, Berjasa telah berjaya membawa keluar jualan arak dari premis kedai serbaneka khususnya yang beroperasi dekat dengan komuniti.

Beliau sehubungan itu menyeru semua pihak berganding bahu, untuk mewujudkan gelombang menolak sebarang promosi arak kerana minuman itu adalah musuh negara.

Pada Isnin, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dilaporkan media mempersoal keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan festival “Oktoberfest” yang disifatkannya mencabuli prinsip perlembagaan negara.

Kit Siang berkata, tindakan sedemikian bertentangan semangat penubuhan Malaysia dengan merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, bahawa kerajaan menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.

Artikel Berkaitan