Filem Mat Kilau bawa mesej perkukuh jati diri anak bangsa

SAYA berpeluang menonton tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan semalam.

Filem terbitan Studio Kembara dan diarahkan Syamsul Yusof itu dibarisi para pelakon tempatan yang hebat dan berkaliber.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan merupakan filem biografi epik sejarah Malaysia yang memaparkan semangat perjuangan pahlawan Mat Kilau menentang penjajah British.

Sarat dengan adegan persilatan dan pertarungan menentang penjajah British, filem ini memaparkan nilai jati diri yang sangat kuat menggabungkan nilai ilmu keagamaan sebagai tunjang serta ilmu persilatan yang mantap.

Pengucapan dialog padat dengan elemen cinta kepada agama dan tanah air sangat menyentuh sanubari khususnya watak Mat Kilau lakonan Adi Putra.

Penonton seperti dibawa dan berada di zaman perjuangan menentang penjajahan British. Tidak hairanlah semalam ramai yang tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata.

Abdul Samad (kanan) selepas menonton tayangan perdana filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, semalam.

Filem ini membawa nilai-nilai mendidik seperti ikhlas dan bersabar dalam perjuangan, sayangkan tanah air dan tidak lupa untuk meletakkan matlamat ukhrawi dalam perjuangan sebagai adunan jati diri yang terbaik.

Syabas diucapkan kepada Abdul Rahman Mat Dali selaku penerbit filem ini yang berjaya menghasilkan sebuah filem yang sangat bernilai dan bermutu tinggi.

Saya menyarankan semua lapisan masyarakat tidak melepaskan peluang menonton filem ini bagi kita mengungkap kembali sejarah perjuangan pahlawan Melayu tanah air kita dan mengajar generasi muda mengenai erti jati diri yang sebenar.

Naib Presiden Parti Berjasa, Abdul Samad Ashaari

Artikel Berkaitan