Lima Kerusi Parlimen Tumpuan BERJASA Untuk Menang PRU-15

BANGI – BERJASA sasar memenangi kerusi yang ditandingi di Parlimen Putrajaya, Shah Alam, Sepang, Kota Bharu dan Baling pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Presiden BERJASA, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, hasrat itu disuarakan kerana BERJASA pernah menggerakkan jentera parti di kawasan berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata demikian susulan parti komponen Gerakan Tanah Air (GTA) itu mengenal pasti 40 calon boleh menang untuk bertanding dalam PRU15.

Bagaimanapun difahamkan senarai kawasan itu masih dalam perbincangan Majlis Tertinggi (MT) GTA.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Berjasa, Ir. Ts. Lukman Al-Hakim berkata BERJASA sudah mengenalpasti 40 orang calon boleh menang yang akan bertanding pada PRU-15.

Jelasnya, calon terbabit terdiri daripada bekas ketua jabatan, doktor pakar, pensyarah universiti, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional (MNC) serta beberapa teknokrat serta individu ternama yang lain.

BERJASA dijangka menggunakan logo PEJUANG dalam PRU15 berikutan penubuhan GTA belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Selain BERJASA, tiga parti lain dalam GTA adalah PEJUANG, PUTRA dan IMAN selain NGO Gagasan Bangsa yang dijangka turut serta dalam PRU-15.

Sumber tvpertiwi.com.my

Artikel Berkaitan