Kecaman Terhadap Serangan Militan Israel

1.Parti BERJASA mengecam tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan militan Israel terhadap rakyat Palestin menjelang akhir Ramadan yang lalu. Sifat kebinatangan militan Israel ini adalah petunjuk jelas kebobrokan sistem penguatkuasaan undang-undang dunia yang berat sebelah.

2.Puluhan nyawa telah terkorban dan ratusan rakyat Palestin cedera akibat kezaliman militan Israel yang menyerang tanpa belas kasihan. Malangnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih tidak bersuara walaupun serangan militan Israel jelas telah mencabuli hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan jelas sebuah jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.

3.Militan Israel juga telah memutarbelitkan fakta dengan memanipulasi berita menggunakan proksi media milik mereka. Dunia mengetahui bahawa militan Zionis telah memulakan serangan terhadap rakyat Palestin yang sedang beribadah dalam Masjid Al-Aqsa. Namun, media proksi mereka sedaya upaya melaporkan sebaliknya.

4.Penghargaan harus diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bertungkus lumus siang dan malam berperanan sebagai ‘tentera siber’ di platform media sosial masing-masing untuk memberikan pencerahan kepada bukan sahaja rakyat di negara ini, malah seluruh dunia turut telah membuka mata akan kekejaman militan Israel dalam serangan kepada rakyat Gaza ini.

5.Parti BERJASA mendokong tindakan kerajaan HAMAS yang telah dengan penuh komited berjuang mempertahankan tanah air umat Islam itu. Dengan tegas, Tanah Palestin merupakan milik rakyat Palestin secara sejarah dan undang-undang. Kehadiran militan Israel mengaku Palestin milik mereka pada tahun 1948 dan kemudiannya secara strategik menghalau penduduk asal adalah satu tindakan ‘Settler Colonialism’ yang terkutuk.

6.Isu Palestin, bukanlah semata-mata isu kemanusiaan tetapi ia juga mengenai soal penjarahan asing yang merampas tanah milik penduduk asal. Bukan sekadar merampas, malah lebih keji lagi penduduk asal dipenjara, diseksa, dihalau dan dibunuh dengan kejam sekali. Isu Palestin bahkan perlu dilihat dalam kerangka pertembungan antara haq dan batil yang mana umat Islam keseluruhannya perlu cakna dan berusaha memahami perkara ini dengan tuntas.

7.Parti BERJASA menggesa agar kerajaan Malaysia bertegas dan memainkan peranan lebih signifikan dalam isu ini. Malaysia seharusnya menjadi negara pendesak kepada badan-badan antarabangsa untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelamatkan umat Islam dan seterusnya mempertahankan bumi Palestin.

Tuan Hj Zamani Bin Ibrahim
Presiden BERJASA

Artikel Berkaitan