Kapitalis Pegang Pemimpin Punca Kegiatan Haram Gagal Dibanteras?

SHAH ALAM – Malaysia sebagai sebuah negara Islam sehingga kini tidak mampu membanteras penjualan dan kegiatan seperti judi, arak, rokok pelacuran dan pelbagai lagi kegiatan haram lain yang dipercayai berpunca daripada kuasa kapitalis ke atas pemimpin politik.

Setiausaha Agung BERJASA Ir. Ts. Muhammad Lukman Al Hakim mendakwa perkara ini disebabkan sistem melobi, rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook, Lukman berkata, perkara sama juga berlaku di Amerika Syarikat membabitkan industri penjualan senjata api apabila taktik kotor ini sudah menjadi budaya.

Menurut Lukman, Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang liberal dan terbuka tidak langsung mengetatkan kawalan penjualan senjata api kononnya atas nama kebebasan individu.

Ini menyebabkan banyak nyawa telah terkorban dan majoriti rakyat Amerika Syarikat memperjuangkan kawalan terhadap penjualan senjata api, namun ia tidak mampu mengubah apa-apa.

Pada masa sama, dakwanya lagi, hak serta kebebasan majoriti rakyat untuk hidup aman tanpa ancaman senjata api dinafikan.

Lebih malang apabila Amerika yang menggelarkan diri mereka sebagai negara paling maju dan demokratik di dunia juga langsung tidak mengendahkan kehendak majoriti rakyat yang inginkan kawalan ketat terhadap penjualan senjata api.

Sebaliknya, para ahli politik di sana memenuhi kehendak National Rifle Association (NRA) yang kuat melobi agar undang-undang terhadap penjualan senjata api dilonggarkan oleh kerajaan dengan membelanjakan puluhan juta USD setiap tahun bagi mencapai tujuan mereka.

Lukman turut tidak menafikan insiden tembakan rambang yang mengorbankan 19 murid dan dua guru di Texas baru-baru ini seperti menjadi ‘tradisi’ di negara itu.

Dalam masa sama, Lukman mengatakan kebanyakan industri di Malaysia juga dikuasai oleh kapitalis yang melobi pemimpin politik yang majoriti beragama Islam supaya memenuhi nafsu mereka tanpa mempedulikan kehendak majoriti rakyat.

Disebabkan itu, beliau melihat Malaysia yang majoriti pemimpin dan rakyatnya adalah Islam seolah-olah tidak mampu membanteras arak, judi, dadah, rokok, pelacuran, pornografi dan hedonisme.

Sumber tvpertiwi.com.my

Artikel Berkaitan