Berjasa sertai GTA untuk angkat naratif Malaysia bermaruah

Utama /

KUALA LUMPUR – Parti Berjasa menyatakan pendiriannya untuk kekal teguh dengan prinsip ‘Bersama Pimpin Negara’ bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agungnya, Ir. Ts. Lukman Hakim berkata, penglibatan parti itu dalam Gerakan Tanah Air (GTA) yang dibentuk semalam bertindak sebagai pembuat keputusan bersama untuk menerajui gerak kerja PRU-15.

Katanya, GTA setakat ini melibatkan empat parti tonggak iaitu Berjasa, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

“Piagam GTA telah pun dibincangkan dengan rapi, tersusun dan teliti serta sudah bersedia untuk dibentangkan kepada umum untuk dinilai kekuatan dan kualiti gabungan ini.

“Demi mengangkat naratif ‘Malaysia Unggul & Bermaruah’, GTA bersepakat untuk mengembalikan semula kekuatan negara merentasi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi, rekonsiliasi nasional dan koreksional politik.

“GTA juga turut memberi fokus kepada pembangunan bangsa Melayu dan kaum-kaum lain ke arah lebih holistik dengan menjulang tinggi Perlembagaan Persekutuan sebagai asas integrasi nasional,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap intipati piagam gabungan telah dibincangkan secara tuntas antara presiden parti dalam gabungan itu.

Katanya, setiap keputusan disahkan secara konsensus sebulat suara yang menjadi asas pentadbiran gabungan itu yang bakal menentukan sebarang keputusan.

“Berjasa berikrar akan terus mendukung integriti dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah melalui sistem kehakiman negara serta menentang sebarang salah laku walaupun dalam kalangan gabungan ini,” katanya.

Artikel Berkaitan