Identiti Berjasa Bukan Penunggang Melayu Islam

Utama /

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2022 – Parti BERJASA adalah sebuah parti untuk seluruh rakyat Malaysia. Dasar dan perjuangannya berpaksikan perlembagaan yang mengangkat kedudukan istimewa Islam sebagai agama persekutuan dan mengiktiraf hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera. Berkata Ustaz Zamani bin Ibrahim dalam permulaan ucapan beliau.

BERJASA hari ini julung kalinya mengadakan Himpunan Nasional yang mengumpulkan hampir 2000 ahli dan penyokong di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur.

“Parti BERJASA adalah parti yang dibarisi pimpinan dan ahli baharu yang berintegriti serta bebas dari mana-mana rekod jenayah rasuah, salah guna kuasa dan salah laku. Parti ini juga bebas dari segala pengaruh luar termasuk dari pemberi-pemberi dana, taikun dan kuasa asing.”

Pengakuan ini didedahkan oleh Presiden BERJASA Malaysia yang mana terlalu banyak keluhan dan komentar mengenai sosok tubuh pemimpin parti Melayu hari ini. Beliau menjelaskan bahawa parti BERJASA tidak sekali-kali akan sama dengan mana-mana parti yang menunggang Melayu dan Islam.

BERJASA mempunyai agenda yang tersendiri dalam membentuk sosok tubuh pemimpin yang diidamkan. Pastinya sosok tubuh tersebut akan mewujudkan suatu perubahan baharu dalam arena politik tanah air.

Himpunan yang berlangsung selama empat jam itu turut dihadiri oleh dif kehormat yang tidak asing dalam Gerakan Tanah Air iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penyampai ucap tama dan perasmi.

Oleh: Nurul Hajjar Binti Atan

Artikel Berkaitan