GTA Tampil Sembilan Pemimpin Imej Baharu

KUALA LUMPUR – Dua pelakon bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini atas tiket Gerakan Tanah Air (GTA).

Mereka ialah pelakon dan pengarah, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nazri serta pelakon yang juga pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi.

Selain itu, aktivis organisasi Islam, Aminuddin Yahya juga turut disebut akan bertanding yang masing-masing menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Gambar mereka ini telah dipaparkan menerusi akaun Facebook beberapa pemimpin Parti Berjasa dengan tajuk, “PRU-15 Medan Terbaik Tampilkan Pemimpin Imej Baharu”.

Turut disenaraikan ialah Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau Buzze Azam dari Parti Putra; Ketua Pejuanita parti Pejuang, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim; Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim; Timbalan Presiden Berjasa, Datuk Mohd Rosli Ramli; Naib Presiden yang juga Pengarah Pilihanraya Berjasa, Ir. Lukman Al-Hakim; dan Setiausaha Agung Berjasa, Zulkifli Yahya.

Bersama gambar calon, turut disertakan kenyataan dari Ir. Lukman yang dilaporkan berkata, PRU15 kali ini boleh dikatakan sebagai peperangan besar dan penting.

Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan cuba sekali lagi bangkit berkuasa demi menyelamatkan masa depan politik mereka, manakala Pakatan Harapan (PH) yang sudah hilang taring akibat kegagalan 22 bulan memerintah, berusaha meyakinkan pengundi sekali lagi.

“Berbeza pula dengan sebuah gerakan rakyat yang dinamakan sebagai Gerakan Tanah Air (GTA) yang muncul di tengah kemelut politik tanah air.

“GTA didokongi bukan sahaja parti politik yang baharu, tiada rekod politik kotor, tetapi gerakan ini juga memperlihatkan penyertaan banyak NGO dan tokoh nasional yang selama ini bersuara demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air dari luar tembok politik.

“GTA merupakan wadah berwibawa yang berjaya mengumpulkan pemimpin yang boleh membantu merejuvenasi politik negara dengan imej baharu,” katanya.

Katanya lagi, semua calon ditampilkan GTA adalah individu yang bebas salah laku dan dakwaan di mahkamah, malah antara pemain politik baharu tanah air yang bebas dari kehidupan kotor politikus sedia ada.

Beliau yakin PRU15 ini medan terbaik untuk rakyat memilih dan menghantar ke Parlimen Malaysia wajah baharu pemimpin.

Sumber MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan