GTA Perlu Jadi Contoh Kepimpinan Muda Kepada Parti Lain

Saya mengambil maklum tindakan Pejuang Muda Pahang & Gerakan Muda GTA Pahang yang mempertikaikan isu calon Parlimen Temerloh.

Sehingga hari ini, Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) masih bertungkus lumus menyelaraskan kerusi untuk semua bakal calon dari setiap parti komponen serta NGO & NGI dari Gagasan Bangsa.

Selagi belum dinyatakan secara rasmi calon GTA PRU15, maka elakkan bertindak terburu-buru kerana ia hanyalah mencerminkan ketidakbijaksanaan kepimpinan muda. Bak kata pepatah, jangan terlebih sudu dari kuah.
Saya ingin mengingatkan kepada semua kepimpinan muda GTA agar berhati-hati menggunakan nama ‘Gerakan Tanah Air’ dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan. Ia adalah lambang konsensus semua parti komponen serta NGO & NGI di dalam Gagasan Bangsa.

Kita mahu menjadi kepimpinan anak muda yang menjadi contoh buat sahabat dalam parti-parti lain. Suntikan nafas baharu yang inilah yang diperlukan untuk mengubah imej kewibawaan kepimpinan serta keunggulan kerajaan akan datang.
Kita nantikan pengumuman rasmi calon GTA yang akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Azliza Rajiain
Ketua Pemudi GTA

Artikel Berkaitan