BANGI – Gerakan Tanah Air (GTA) wajar diberi peluang untuk membuktikan kemampuan para profesional, usahawan dan tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memimpin negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Apatah lagi, mana-mana parti yang memerintah sebelum ini dilihat gagal menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul.
Justeru, parti BERJASA yakin Malaysia memerlukan kepimpinan baharu untuk menjadi negara yang unggul dan bermaruah, kata Naib Presidennya, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim.
Ia setelah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing gagal melakukan sedemikian meskipun telah diberi peluang.
“BERJASA sebagai sebuah parti anak muda yang membawa naratif politik baharu amat optimis mampu memberikan impak dalam PRU15 bersama rakan lain dalam GTA.
“Dengan gandingan negarawan ulung, para pakar dan teknokrat ternama, pemimpin NGO serta muka-muka baru dalam dunia politik tanah air, kami ingin menjadi ‘game-changer’ yang mengubah undang-undang permainan politik Malaysia yang selama ini didominasi para ‘career-politician’,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan menumbangkan elit politik dan golongan penyangak daripada tampuk kepimpinan negara, BERJASA pasti akan mampu mengembalikan segala hasil kekayaan dan kemajuan negara kepada rakyat, seterusnya meningkatkan taraf ekonomi serta sara hidup mereka.
“Segala projek transformasi pendidikan, pembangunan sains dan teknologi serta projek kelestarian alam sekitar akan dipacu dengan lebih efektif dan telus tanpa sebarang ketirisan.
“Malaysia pasti menjadi negara yang unggul serta dihormati dunia dengan kepimpinan baharu yang berteraskan identiti nasional yang padu serta kemahiran mengurus negara bertaraf dunia,” katanya.
GTA merangkumi Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), BERJASA dan Parti Ikatan India Muslim Nasional (Iman).
Gabungan yang ditubuh pada 4 Ogos dan diketuai oleh Pejuang telah menyatakan pendirian sebelum ini akan meletakkan 120 calon di seluruh negara dengan lebih 30 peratus calon muda.
Kesemua calon juga akan bertanding di atas tiket Pejuang memandangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) belum lagi meluluskan permohonan pendaftaran gerakan itu.
Sumber ismaweb.net