BANGI – Idea mengadakan debat terbuka antara calon Perdana Menteri sewajarnya disambut semua pihak, apatah lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Atas dasar itu, Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al-Hakim Mohamad bersetuju cadangan debat perdana di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan secara langsung sebelum PRU15.
Beliau mengaku bahawa langkah itu tidak akan mengubah apa pun, namun setidaknya rakyat boleh mengetahui idea, wawasan serta ketajaman berfikir pemimpin utama yang mungkin menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya ini.
“Saya amat bersetuju debat perdana antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diadakan secara langsung sebelum PRU15.
“Ia tidak bermakna kepada kebanyakan pengundi luar bandar, tetapi merupakan platform terbaik untuk para ahli akademik, cendiakawan, profesional dan cerdik pandai negara terutama yang berada di atas pagar untuk memilih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anwar mempelawa debat secara terbuka diadakan antara calon-calon perdana menteri daripada gabungan parti politik bagi membincangkan dasar untuk menentukan hala tuju negara dan bukan topik yang tidak memberi manfaat seperti isu perkauman dan pegangan agama.
Saranan itu disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri menerusi hasil perdebatan.
Bagaimanapun, idea Anwar itu ditolak oleh Ismail Sabri kerana menyifatkan debat berkenaan tidak mencapai sesuatu yang besar selain menganggap ia bukan budaya di negara ini.
Berpandangan yang berbeza, menurut Muhammad Lukman, budaya debat terbuka dan diskusi ilmiah untuk mencerdikkan rakyat mengenai politik serta urus tadbir negara sepatutnya diperluaskan.
“Yang tiada idea biasanya dia takut. Tapi yang terlebih berani pun kadang-kadang ke laut!” katanya.
Sumber ismaweb.net