BERJASA Mahu Peluang Realisasikan Bajet 2023 Untuk Filem Seperti Mat Kilau

CYBERJAYA – Timbalan Presiden Berjasa, Datuk Mohd Rosli Ramli menyeru pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikan parti itu peluang merealisasikan peruntukan Bajet 2023 untuk filem kenegaraan seperti Mat Kilau.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebooknya pada Jumaat, mengulas peruntukan Bajet 2023 bagi memastikan khazanah seni masih masih relevan melalui filem kenegaraan.

Beliau selaku bekas Pengerusi Studio Kembara yang menghasilkan filem Mat Kilau berasa sangat terpanggil untuk merealisasikan peruntukan tersebut.

“Walaupun Bajet 2023 bergantung kepada kerajaan selepas pilihan raya, namun, saya bersyukur kerana filem patriotik mampu diangkat tinggi hasil sambutan luar biasa seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, rakyat Malaysia kehausan filem berunsur kenegaraan untuk disemai di dalam jiwa sanubari keluarga masa kini.

Justeru, beliau berharap agar rakyat Malaysia mampu memberikan Berjasa peluang merealisasikan peruntukan tersebut melalui mandat dalam PRU15.

“Filem Mat Kilau hadir pada waktu yang tepat. Walau pelbagai rintangan datang melanda, kami sentiasa teguh dengan prinsip kami iaitu ingin mengembalikan semangat cinta pada negara.

“Saya akan realisasikan bajet ini sekiranya diberi ruang oleh para pengundi PRU15. Demi generasi masa hadapan!” ujar beliau.

Timbalan Presiden Berjasa dan bekas Pengerusi Studio Kembara, Datuk Mohd Rosli Ramli.
Sumber mediavariasi.com

Artikel Berkaitan