BERJASA Kenal Pasti 40 Calon Boleh Menang

KUALA LUMPUR – BERJASA mengenal pasti 40 calon boleh menang yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Lukman Al-Hakim, berkata calon terbabit terdiri daripada ketua jabatan di kementerian, doktor pakar, pensyarah universiti, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional, serta beberapa teknokrat dan individu ternama lain.

“BERJASA sentiasa konsisten dengan naratif mengembalikan maruah dan keunggulan Malaysia di persada dunia.

“Impian Nasional BERJASA 2040 sebagai misi Malaysia yang baharu sentiasa menjadi destinasi utama parti,” katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata BERJASA menganggap PRU15 adalah satu langkah penting untuk terus mengorak langkah ke hadapan.

“Penyertaan BERJASA dalam Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai strategi taktikal PRU15 disambut positif pelbagai pihak berpengaruh,” katanya.

Dalam pada itu, Lukman turut menyatakan BERJASA konsisten dalam menonjolkan imej calon profesional selari dengan imej parti yang beragenda dan berwawasan.

“Demi merealisasikan hasrat besar itu, inilah langkah pertama yang perlu disambut dengan penuh bangga oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Sumber bharian.com.my

Artikel Berkaitan