ANGKASA: Patuhi Garis Panduan KKM, Jangan Buat Aksi Gimik

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan pada 31 Mac, beliau menyatakan bahawa terdapat sesetengah operasi nyah cemar yang tidak mengikut prosedur operasi piawai (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun tidak dinyatakan secara khusus oleh beliau, terdapat beberapa aktiviti dan operasi tertentu yang tular dan menjadi pertikaian orang ramai. Antaranya ialah aktiviti sanitasi awam oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan juga demonstrasi penggunaan dron bagi tujuan sanitasi bandaraya yang dikongsikan oleh Menteri Wilayah, Datuk Seri Annuar Musa di laman Twitter beliau.

Justeru, Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) menggesa supaya mana-mana pihak samada di peringkat kementerian atau mana-mana agensi di bawahnya yang terlibat secara langsung dalam menangani COVID-19 samada dalam aspek perancangan, pencegahan atau penguatkuasaan supaya mematuhi prosedur operasi piawai yang digariskan oleh KKM atau pihak berautoriti yang lain. Ini supaya sebarang usaha dan sumber yang digunakan benar-benar membawa manfaat bagi menghapuskan rantaian wabak COVID-19 dan tidak menjadi satu pembaziran khususnya di waktu-waktu getir ini.

ANGKASA juga mendesak supaya mana-mana pemimpin kerajaan, khususnya ahli politik agar jangan sesekali mengambil kesempatan dalam waktu ini untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bersifat gimik yang tidak betul-betul membawa manfaat kepada negara. Haruslah diingat bahawa rakyat sedang meneliti dengan rapat tindak tanduk kepimpinan baharu negara, dan sebarang salah laku akan diterjemah dalam bentuk protes rakyat di kertas undi.

Sekian, terima kasih.

Asyraf Badhrul
Ketua Penerangan
Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA)

Artikel Berkaitan