6 Teras Impian Nasional BERJASA 2040

Impian Nasional BERJASA 2040 adalah satu dokumen yang menggambarkan ciri-ciri Malaysia unggul dan bermaruah yang akan dijadikan sebagai panduan dalam merangka segala gerak kerja parti pada masa hadapan. Secara umumnya Impian Nasional BERJASA 2040 mengandungi 6 teras yang utama.

Pertama, rakyatnya berpegang kepada satu identiti nasional yang membawa kepada perpaduan negara yang utuh. Ianya penting bagi memastikan keadilan untuk semua kaum berteraskan prinsip keadilan dalam perundangan dan prinsip Islam.

Kedua, perlembagaan dan perundangan. Unsur-unsur penting yang membentuk jati diri watan yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan wajib dihormati, difahami dan dihayati oleh semua lapisan masyarakat.

Ketiga, politik dan kepimpinan yang unggul. Politik dan kepimpinan negara yang unggul akan memastikan pemerintahan Malaysia benar-benar diacu dengan acuan kita sendiri, bebas dari cara fikir penjajah. Tiada lagi sistem pemerintahan dan tadbir urus yang masih terikut-ikut cara fikir penjajah.

Teras keempat adalah ekonomi dan sara hidup. Ekonomi negara unggul yang kuat, maju dan mandiri akan menghapus jurang ekonomi yang besar antara golongan kaya dan miskin hasil dari kerosakan yang dilakukan oleh sistem politik kapitalis sebelum ini. Sumber nasional dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar kekayaan negara dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

Teras kelima adalah pendidikan dan modal insan. Menjelang tahun 2040, negara akan melahirkan modal insan yang bersatu, berintegriti dan berdaya saing. Pada waktu ini, negara telah mencapai kesatuan melalui dasar pendidikan negara.

Teknologi dan alam sekitar merupakan teras impian yang keenam. Penggunaan dan pembangunan teknologi negara unggul dan bermaruah bukan hanya tertumpu kepada pulangan materialistik semata-mata, tetapi juga berteraskan integriti dan kesedaran tanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar. Malaysia yang unggul memahami kepentingan pengimbangan teknologi dan alam sekitar sehingga kedua-duanya saling melengkapi, menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia.

Akhir kata, Parti BERJASA akui bahawa Impian Nasional 2040 ini adalah satu gagasan yang besar. Namun, kita percaya bahawa negara mempunyai sumber kekuatan yang cukup untuk merealisasikan impian ini. Apa yang diperlukan adalah pimpinan baharu dan rakyat Malaysia yang berjiwa unggul serta bermaruah. Marilah kita bersama-sama menggandakan usaha kita membangun negara Malaysia unggul dan bermaruah. Di sini langkah kita bermula.

Ucapan dasar Presiden BERJASA,
Hj Zamani Ibrahim
Himpunan Nasional 2022

Artikel Berkaitan