KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Abdul Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, menerima pelbagai reaksi daripada para pemimpin.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani bin Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah keatas Datuk Seri Najib adalah bukti keadilan badan kehakiman negara, malah menafikan kenyataan pemimpin-pemimpin PH yang berbaur Najib dipenjarakan atas usaha PH.

Menurut Zamani, jika benar PH memperjuangkan isu rasuah dalam negara, maka mereka seharusnya membuktikan kesungguhan mereka dengan mengheret pemimpin-pemimpin dari parti komponen PH yang mempunyai kes mahkamah termasuk Lim Guan Eng.

Tambah Zamani, BERJASA kekal dengan prinsip parti bahawa parti itu tidak akan kompromi dengan mereka yang terlibat dengan rasuah walaupun pemimpin tersebut merupakan sebahagian daripada parti komponen Gerakan Tanah Air.

Zamani menjelaskan, BERJASA telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa parti yang bersama dengan Gerakan Tanah Air haruslah berprinsip dan mempunyai jatidiri yang kukuh dalam menentang rasuah.

Tambah beliau, jika GTA memenangi PRU yang akan datang BERJASA akan tetap menegakkan keadilan dalam membasmi rasuah walaupun jika ia berlaku dalam kalangan GTA sendiri.

Sumber tvpertiwi.com.my

Artikel Berkaitan