Posts

Politik & Wang

Hari demi hari kita semakin sedar bahawasanya sistem demokrasi melahirkan banyak kerosakan. Negara yang amat bangga dengan demokrasi malah mempromosi demokrasi di negara-negara lain pun kini akhirnya terpaksa menelan perkembangan pahit natijah dari sistem yang mereka banggakan.

Ada satu episod dalam politik Malaysia yang amat pahit untuk ditelan. Politik wang. Wang yang ditabur untuk mendapat kemenangan dalam pertandingan merebut kuasa. Politik wang, yang kaya akan terus kekal berkuasa.

Sewaktu zaman mahasiswa saya, saya pernah diberitahu, ada parti politik negara membelanjakan ratusan ribu untuk jawatan utama dalam parti ketika pemilihan parti. ‘Duit turun dari langit’ untuk ahli yang menyokong senarai yang diedarkan bersama. Ini senario biasa tanpa rasa dosa.

Dalam Pilihanraya pun begitu. Parti yang kaya, punya banyak wang boleh menang Pilihanraya. Satu kawasan DUN itu pernah saya diberitahu ‘kos sebenar’ yang dibelanjakan oleh parti mencecah RM3 juta ringgit. Manakala untuk kawasan calon Parlimen menelan angka 5 juta ringgit.

Masyarakat dididik sedemikian rupa sejak sekian lama. Siapa paling banyak dilihat memberi wang atau material akan diberi undi. Natijahnya, usaha untuk mengekang budaya korupsi ini menemui kegagalan.

Dari mana datang duit-duit parti yang ditabur ini ? Jika parti itu Sang Penguasa Kerajaan, maka banyak projek-projek perlu disalur kepada ahli-ahli parti. Jika berada di luar kerajaan, alternatif mencari wang ialah dengan melobi pihak-pihak tertentu dari luar negara. Amat menakutkan fakta yang kita baca dalam PRU yang lalu. Dana dari luar negara ini, hatta datang dari penjaga dua Kota Suci pun tidak seharusnya berlaku di watan yang merdeka ini apatah lagi dari tukang catur kulit putih!

Sudah sampai masanya untuk rakyat khususnya pengundi menentang politik wang ini sehabis-habisnya. Kerajaan yang berdiri juga perlu jujur.

Akta Dana Politik perlu digubal segera untuk memberi platform yang lebih adil kepada semua. Bahkan akta ini juga harus digubal bagi menyekat dana asing dari masuk ke negara ini bagi menjamin soal kedaulatan negara. Bukan itu sahaja Akta Pilihanraya sedia ada juga perlu penguatkuasaan yang lebih tegas. Siasatan terperinci dan telus amat perlu untuk menolak budaya politik wang ketika Pilihanraya.

Pada akhirnya saya sedar bahwa harapan di atas ditujukan kepada sang politikus juga. Amat tipis harapannya untuk mereka melaksanakan semua ini. Tetapi sekurang-kurangnya, moga tulisan ini dapat menyedarkan masyarakat dan pengundi, bahawa maruah dan harga diri tidak harus digadai dengan wang dari tangan ahli politik.

Sekian.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA