Posts

Reset Ekonomi, Reset Politik

1. Pandemik Covid-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada seluruh ummat manusia. Sehingga kini lebih 4 juta manusia dari 6 buah benua dijangkiti virus itu dan 278 ribu kematian direkodkan.

2. Krisis kesihatan ini bukan sahaja mengancam dari segi kesihatan sahaja tetapi memberi kesan domino terhadap tahap isu keselamatan dan ekonomi sejagat.

3. Eropah, merupakan benua paling terjejas teruk susulan wabak ini,menyaksikan persekitaran ekonomi yang suram dan malap. Negara ‘Uncle Sam’ Amerika Syarikat melaporkan berjuta hilang pekerjaan dan industri utama merekodkan defisit pengeluaran.

4. Malaysia juga tidak terlepas dari desakan ekonomi disebalik ancaman virus ini. Setelah lebih sebulan pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan penutupan majoriti aktiviti ekonomi dalam negara, akhirnya pada 4 Mei 2020, kerajaan memutuskan untuk membuka semula ekonomi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan pembukaan semula majoriti aktiviti ekonomi negara namun dengan pra-syarat yang ketat.

5. Malaysia bukan sahaja perlu untuk membuka semula (‘restart’) ekonominya, tetapi perlu juga mengambil langkah proaktif untuk reset semula pemfokusan perancangan ekonomi yang boleh membawa negara kepada kemandirian ekonomi.

6. Kemandirian ekonomi sesebuah negara bermaksud, kita mampu untuk mendepani cabaran ekonomi global dalam keadaan kita bersedia lebih awal berbanding hanya mengamalkan sikap bertahan semata-mata. Salah satu sektor ekonomi yang amat perlu diberi penekanan adalah sektor pertanian. Sektor ini juga berkait rapat dengan isu jaminan bekalan makanan yang dijangka menjadi isu kritikal khususnya dalam berdepan dengan krisis. Amerika Syarikat dilaporkan mengumumkan RM83.03 billion bagi membantu industry pertanian negara itu yang terjejas akibat Covid-19. Negara jiran kita Singapura pula telah lama melaksanakan projek simpanan stok makanan.

7. Selepas pengumuman PKPB, bukan sahaja suhu ekonomi dalam negara semakin panas, tetapi rata-rata pasti sedar suhu politik dalam negara juga kembali rancak. Bermula dengan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin oleh mantan Perdana Menteri ke-4 & ke-7 yang diterima Speaker Dewan Rakyat, tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dan juga khabar angin peralihan kerajaan di negeri Selangor bertiup kencang.

8. Tidak lupa juga surat sempena kenangan kemenangan bersejarah 9 May 2018 yang ditandatangani dua seteru/sahabat politik lagenda negara Tun Dr Mahathir & Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memujuk rakyat dengan mengatakan mereka sudah berdamai. Begitu juga sesekali dengusan nafas Lim Kit Siang yang seakan-akan terlupa janji ‘bersara’ sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menduduki kerusi Perdana Menteri ke-8 yang dijanjikannya sebelum runtuhnya kerajaan 22 bulan.

9. Ironi sekali, tatkala kerajaan mengumumkan untuk ‘restart’ ekonomi, saya yakin serta percaya ada satu cabang lagi yang perlu untuk di reset semula. Saya menyeru sementara kita masih lagi dalam mod mengambil pengajaran dan ibrah virus Covid-19 ini, agar rakyat Malaysia sama-sama reset politik negara ini.

10. Kita perlu berubah! Tidak sepatutnya lagi negara Malaysia yang kita cintai ini bergantung harap pada sosok tubuh ahli politik bernama Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Cuba bayangkan, rakan seusia saya, mendengar drama perseteruan politik antara dua nama ini sejak dibangku tadika lagi. Sehinggalah sekarang, sudah beranak-pinak pun masih lagi dibayangi dengan sosok tubuh ini.

11. Bukan kita mahu menafikan jasa dan kebaikan yang pernah ditabur mewarnai citra politik Malaysia puluhan tahun lamanya ini. Namun, saya mengharapkan agar diberi ruang serta peluang untuk ramai lagi anak muda yang berkaliber, bercita-cita murni dan professional yang boleh menyumbang buah fikiran dan tenaga mencorak sebuah citra politik yang baharu buat tanah air tercinta.

12. Rakyat Malaysia harus berani untuk reset politik negara dari hanya bertumpu pada kisah seteru dua individu politik ini.

Bangkit untuk membina sebuah ketamadunan politik watan yang berteraskan citra tanah air yang sebenar iaitu Islam sebagai agama persekutuan, Melayu sebagai tonggak pemerintahan dan institusi Raja-raja sebagai menjamin kedaulatan tanah air kita.

13. Kita wajib berani berubah!

Sekian.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa