Posts

Antara Dua Darjat: Di Mana Integriti Kerajaan?

Setiap hari, bilangan penduduk yang melanggari perintah PKP bertambah dilaporkan di media massa oleh kerajaan. Mereka bukan sahaja disaman, malah ada yang terus dibawa ke balai untuk dihadapkan ke mahkamah.

Malangnya, tindakan tegas dan drastik yang sama, tidak diambil kepada VIP dan pemimpin negara walaupun telah jelas dilaporkan dalam media sosial melalui facebook dan sebagainya. Seolah-olah ada dua peraturan berbeza untuk rakyat marhaen dan pemimpin kerajaan.

Malah lebih mendukacitakan, pemimpin yang terlibat adalah seorang Menteri Besar, bekas Menteri Besar, Timbalan Menteri Kesihatan, Exco kerajaan negeri dan lain-lain. Bukankah sepatutnya mereka menjadi contoh tauladan kepada rakyat yang diseru setiap hari untuk mematuhi PKP dan amaran tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa? Mereka seolah-olah mengambil ringan perkara sedemikian.

Kalau perintah dan seruan yang penting ini tidak dipatuhi oleh seseorang pemimpin, bagaimana kita harapkan rakyat biasa akan bertindak? Bak kata pepatah Melayu: kalau guru kencing berdiri, anak murid akan kencing berlari.

Apa jua alasan pemimpin-pemimpin tersebut kemukakan, saya berpendapat demi menjaga keutuhan integriti kerajaan, tindakan tegas mesti diambil sebagai amaran dan peringatan kepada pemimpin lain. Kita menunggu janji Menteri Kanan (Pertahanan) yang menegaskan tiada seorang pun lebih tinggi dari undang-undang dan pihak polis akan mengambil tindakan.

Saya ingin bertanya kepada kerajaan apakah perkara sebegini akan menjadi kebiasaan, pada masa akan datang, kepada pemimpin-pemimpin kerajaan atau sikap mereka, bahawa undang-undang negara ini terpakai kepada rakyat marhaen sahaja dan tidak terpakai kepada mereka? Atau mereka merasakan kuasa yang ada pada mereka menjadikan mereka begitu istimewa sehingga kepatuhan kepada undang-undang tidak ada dalam kamus mereka?

Semoga rekod cemerlang kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 dan perihatin serta membantu rakyat dalam kesusahan setakat ini, tidak akan dikelabui dan dilupakan akibat sikap, tindak-tanduk dan pemikiran setengah-setengah pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggung-jawab dan tidak berintegriti terutama sekali dalam mematuhi undang-undang negara.

 

Dato Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

18 April 2020