Posts

Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2020 Parti Berjasa

  1. Bersempena Hariraya Aidilfitri yang akan kita sambut pada 1 Syawal 1441 H, saya mewakili semua warga Parti Berjasa ingin mengucapkan Selamat Hariraya Aidilfitri, maaf zahir batin, wakullu ‘am wa antum bikhair!
  2. Dalam sirah Nabi s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah, baginda mendapati penduduknya menjadikan dua hari tertentu sebagai hari kebesaran. Lalu bertanya, “Hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Kami bergembira di dalamnya sejak zaman jahiliyyah lagi”. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari tersebut bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik iaitu Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri” (riwayat Abu Daud). Oleh itu kita juga menyambut kegembiraan ini dengan takbir dan tahmid sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid”.
  3. Hari Raya Aidilfitri pada merupakan satu hari besar yang diraikan sebagai tanda kemenangan oleh umat Islam sepanjang Ramadhan dalam perjuangan jihad nafsu. Dalam Islam banyak jenis jihad yang kita perlu lakukan antaranya jihad nafsu, jihad peperangan, jihad ilmu, jihad munafik, dan jihad ekonomi. Dengan kejayaan jihad nafsu, jihad-jihad lain tersebut akan menjadi lebih mudah.
  4. Alhamdulillah, walaupun tahun 2020 ini kita menjalani ibadah puasa dan juga meraikan Hari Raya dengan jihad dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, kita bersyukur kepada Allah swt diatas banyak nikmat dan kelebihan yang dianugerahkan kepada kita walaupun menempuhi pelbagai kesukaran.
  5. Dalam kita meraikan kemenangan di bulan syawal, kita juga bersyukur dalam jihad kita menangani wabak Covid-19 yang telah menunjukkan tanda-tanda awal kemenangan kita sebagai rakyat Malaysia. Kita bersyukur dan berterima kasih kepada barisan hadapan (frontliners) kita yang terdiri daripada warga Kementerian kesihatan, pasukan keselamatan dan lain-lain yang telah bekerja keras membantu mencapai kejayaan membenteras Covid-19. Semoga jasa dan pengorbanan mereka dibalas oleh Allah swt.
  6. Marilah kita jadikan sambutan Aidilfiri pada tahun ini dengan bekalan sebulan beribadah kepadaNya untuk kita memperbaharui azam kita dalam memperbaikki diri, membimbing keluarga, menyumbang kepada masyarakat dan membangunkan negara dalam erti kata yang sebenar.
  7. Berjasa juga ingin menyeru kepada umat Islam dalam negara kita untuk memulihkan hubungan persaudaraan sesama kita dan mengukuhkan perpaduan kita dengan berpegang teguh dengan tali Allah. Sebagaimana firman Allah s.w.t, “Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika kamu bermusuhan lalu Allah mentautkan hati-hati kamu, lalu dengan nikmatNya kamu menjadi bersaudara”.
  8. Persaudaraan dan perpaduan antara kita amat penting untuk diutamakan dalam memastikan identiti bangsa dan agama kita dapat dipertahankan demi kestabilan dan keharmonian negara. Dengan bersatu padu dan bekerja dalam satu kesatuan yang berlandaskan Islam, negara akan menjadi kuat dan tidak mudah diganggu gugat oleh pihak musuh yang cuba mengambil kesempatan dalam setiap krisis dan perkelahian di antara kita.
  9. Menjadi tanggungjawab kita semua untuk mempertahankan yang hak (kebenaran) dan menegakkan keadilan bagi memastikan kesempurnaan insaniah (kemanusiaan) dalam memburu kebahagiaan sebenar di dunia dan akhirat.
  10. Semoga pengorbanan kita semua dalam bulan Ramadhan dan pengorbanan menghadapi wabak Covid-19 akan menjadikan kita orang yang lebih dekat dan bertaqwa kepada Allah swt dalam menunaikan tanggungjawab kita dalam memperjuangkan agama Allah swt untuk membangunkan semula satu peradaban Islam yang gemilang di masa akan datang.
  11. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillahilhamd!

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

23 Mei 2020