Posts

Jaga Keutuhan Perikatan Nasional Demi Kestabilan Dan Kesejahteraan Negara

1. Penubuhan satu kerajaan baru berikutan kejatuhan Pakatan Harapan merupakan satu rahmat kepada negara, bangsa dan agama, terselamat dari bahaya dan cengkaman golongan-golongan yang mengambil kesempatan atas nama kesamarataan dan janji palsu.

2. Dengan hikmah, ilmu dan ketegasan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, kemelut politik yang melanda negara telah dapat diselesaikan dengan mengikut lunas undang-undang yang selari dengan perlembagaan negara.

3. Saya berpendapat kerajaan baru dibawah pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yasin perlu diberi sokongan oleh semua pihak demi kestabilan dan keharmonian negara. Cabaran ekonomi, sosio-politik dan global amat memerlukan bukan sahaja sokongan padu rakyat, tetapi dengan penubuhan sebuah Jemaah Menteri yang kompeten dan berintegriti.

4. Dalam hal penubuhan kabinet ini, saya menyokong penuh kepada iltizam dan komitmen YAB Perdana Menteri untuk mendirikan sebuah kabinet yang bersih, berintegriti dan berwibawa. Amat melegakan bila banyak pihak mengutarakan sokongan ikhlas terutama yang di dalam Perikatan Nasional seperti PAS yang memberi jaminan menyerahkan kepada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri membentuk Jemaah Menteri tanpa sebarang syarat dan permintaan.

5. Saya menyeru semua pihak bekerjasama dan berusaha memastikan kerajaan baru ini dapat bertahan demi watan yang tercinta ini. Kita tidak mahu kembali lagi kepada kerajaan terdahulu yang cuba meleraikan identiti negara dan membawa negara ke arah sebuah negara yang lari dari teras Melayu, Islam dan Raja-Raja sebagaimana di dalam perlembagaan.

6. Kerajaan baharu juga diseru supaya tidak melantik mereka yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah atas salah guna kuasa dan rasuah serta mereka yang diragui integriti dan keikhlasan dalam perjuangan. Kita sebagai rakyat mahukan negara yang bebas dari rasuah, berintegriti dan meletakkan kepentingan rakyat di depan. Cukuplah rakyat menjadi korban hawa nafsu dan kerakusan sebilangan pemimpin yang tidak bermoral dan berwibawa.

7. Semoga negara tercinta ini menuju kepada negara ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur’, ameen!

 

Dato Dr Ir Ts Badhrulhisham Abdul Aziz

Presiden BERJASA

06 Mac 2020