Posts

Tempoh PKP Peluang Mengeratkan Ikatan Keluarga

Keluarga sejahtera boleh menjurus kepada kehidupan negara lebih baik, demikian pandangan Ketua Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Azizah Che Awang.

Menerusi siaran langsung di Facebook Berjasa hari ini, beliau berkata, keluarga boleh diibaratkan sebagai sebuah negara kerana mempunyai komponen ketua (bapa), penolong (ibu) serta rakyat (anak-anak).

Katanya, jika unit keluarga ini sejahtera jiwa dan emosi dengan melaksanakan apa yang diperintah serta meninggalkan laranganNya, secara tidak langsung membawa kepada masyarakat dan negara yang sejahtera.

Menyentuh tajuk “Perintah Kawalan Pergerakan: Ayah adalah ‘PM’ Ibu adalah Menteri Dalam Negeri” beliau menyarankan ibu bapa mengambil peluang untuk menyemai kembali ikatan kekeluargaan bersama anak-anak.

“Kita eratkan lagi ikatan walaupun sudah ada pada dua minggu lepas (PKP fasa pertama). Ini supaya mana-mana akhlak anak yang kurang itu kita dapat ‘merawat’ semula.

“Kita ambil peluang mendekati mereka khususnya anak remaja. Remaja ini bukan hanya pelajar tingkatan 5 sahaja, tetapi termasuk juga yang berusia 12 tahun. Ibu bapa perlu juga memerhatikan mereka kerana ketika ini sikap ingin tahu mereka tinggi,” katanya.

Azizah juga mengingatkan ibu bapa untuk tidak menjadikan ruang rumah sebagai alasan untuk tidak mendekati anak mereka.

“Yang nak rasa sempit itu sebenarnya dekat mana? Adakah kerana ruang atau sebenarnya pada hati kita? Jika hati kita tenang, kita ada sahaja ruang untuk wujudkan ikatan keluarga dengan anak-anak walaupun kawasan terhad,” katanya.

Sebagai seorang ibu, beliau merasakan bahawa dirinya di dikurniakan deria keenam untuk memahami anak.

“Sebab itu ikatan yang kuat ini cukup bagus. Ia sebagai telepati. Anugerah Allah kepada ibu ayah supaya dapat merasakan sesuatu yang tidak kena pada anak.

“Ambillah masa PKP ini untuk kita membaiki hubungan dan mana akhlak yang tidak bagus itu kita perbetulkan. Jika tidak berjaya buat lagi. Itulah hikmahnya PKP ini.

“Beri nilai yang betul kepada anak-anak supaya apabila berada di luar mereka ada nilai mengikut agama. Kita juga tidak risau mereka mahu bergaul dengan sesiapa pun,” katanya. -ismaweb