Posts

Penghina Kedaulatan Negara ‘BAKAL’ Dihukum

Undang-undang bertujuan untuk mendidik. Undang-undang yang menatijahkan hukuman setimpal dan berat pula mampu mendidik masyarakat seterusnya menghalang perkara yang memudaratkan. Dalam erti kata lain, undang-undang juga harus mempunyai sifat ‘menakutkan’.

Namun sekiranya undang-undang itu pada akhirnya hanya menatijahkan ‘siasatan’ dan ‘dilepaskan’, maka tujuan akhir undang-undang itu tidak akan tercapai.

Bukan kali pertama tindakan bersifat tidak patriotik menghina simbol kedaulatan negara berlaku. Tahun 2007, kita pernah didendangkan nyanyian lagu ‘Negarakuku’ dengan sinisnya menghina lagu kebangsaan. Tiada hukuman tegas.

Tahun 2019 dihiasi dengan ‘insiden’ bendera Malaysia berkibar secara terbalik di premis-premis perniagaan, di rumah-rumah kediaman tertentu. Malah dalam kejohanan sukan pun boleh berlaku kesilapan bendera Malaysia yang tidak boleh dimaafkan. Namun, tiada hukuman tegas.

Maka tidak terkejut, jika insiden menghina simbol negara berlaku lagi. Kali ini lakaran jata negara dilakarkan secara begitu sinis dan hina sekali pada kulit buku dan dijual kepada umum.

Maka hadirlah berbondong-bondong para aktivis NGO dan politikus bergegas membuat laporan polis. Kelihatan pula pak menteri dengan lantang dan berani mengeluarkan kenyataan penghina simbol negara ‘AKAN’ disiasat. Penghina kedaulatan negara ‘BAKAL’ dihukum.

Namun bagi saya, kita mahu undang-undang menatijahkan sesuatu yang setimpal dan berat kepada mereka yang melakukan kesalaha yang mencetuskan provokasi tidak sihat ini. Kerana sifat undang-undang itu adalah mendidik. Mana mungkin dengan ‘melepaskan’, hukuman 1 bulan kerja sosial, denda wang yang boleh dibayar dengan mudah ini mampu untuk mendidik dan menghalang perbuatan kesalahan ini daripada berulang sekali lagi ?

Berapa banyak lagi siri kebiadaban seperti ini yang harus kita hadap ?

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA