Posts

Belia Pimpin Negara, Kebiasaan Baharu Watan Malaysia

 

  1. Populasi golongan belia di Malaysia menurut rekod Jabatan Statistik mewakili 42% daripada keseluruhan bilangan penduduk. Ini bermakna, golongan belia merupakan kelompok terbesar. Jumlah yang begitu signifikan ini memberi indikator betapa pentingnya peranan belia dalam menentukan pembangunan dan hala tuju kepimpinan negara.

 

  1. Dengan jumlah yang begitu besar, semua mata tertumpu pada golongan belia. Belia menjadi sasaran dalam menentukan segala dasar dan polisi masa hadapan baik kumpulan, badan bebas, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, termasuklah parti-parti politik yang semakin hari semakin lunak menyebut perkataan keramat belia atau anak muda.

 

  1. Parti politik yang menyedari betapa golongan belia merupakan ‘aset’ untuk mencapai kemenangan politik telah mula meletakkan ‘pelaburan’ mereka kepada golongan belia. Banyak agenda tertumpu untuk menarik minat golongan muda. Pengisian program segalanya akan diusahakan untuk memenuhi citra selera anak muda.

 

  1. Belia atau anak muda memang seharusnya diberi lebih peluang untuk menonjol dihadapan menerajui bukan sekadar jawatan NGO dan kelab, bukan sekadar jawatan politik diposisi yang separa signifikan. Sewajarnya, anak muda perlu diletakkan sebaris dengan kepimpinan senior yang lain dalam posisi yang signifikan untuk menentukan dasar, polisi dan hala tuju negeri dan negara.

 

  1. Hal ini boleh dimaterialisasikan sekiranya kepercayaan diberikan sepenuhnya kepada anak muda. Sudah tentu, perkara paling besar dan saya yakin amat sukar untuk dilakukan adalah pengorbanan para pemimpin senior dalam memberi ruang serta laluan untuk anak muda menongkah arus ke hadapan. Melalui pemerhatian yang membuatkan ianya sukar adalah kerana wujudnya pertimbangan khususnya soal pengaruh dan kuasa yang bakal hilang sekiranya membuat keputusan untuk memberi laluan kepada ‘orang muda’.

 

  1. Ini tidak seharusnya berlaku, kerana ketahuilah, pemimpin yang hebat bukan dinilai dengan betapa lamanya mereka memerintah. Tetapi pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berjaya melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan yang lebih baik daripada mereka untuk legasi masa hadapan agama, bangsa dan negara.

 

  1. Ketahuilah, sudah sampai masanya untuk diberi ruang dan laluan kepada anak muda agar dapat mengisi dan menyambung perjuangan membina semula watan Malaysia seterusnya mengembalikan semula kehebatan sebuah ketamadunan yang pernah kita punya.

 

  1. Buat rakan seperjuangan, Saudara-Saudari kita punya agenda yang besar. Perteguhkan jati diri, kita sudah siap-siaga untuk mengangkat agenda yang lebih gemilang buat semua.

 

Selamat Hari Belia Negara 2020

‘Dekad ini Dekad Kita, Belia Pimpin Negara’

 

Sekian,

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA.