Posts

Adakah Hang Soon mahu jadi seperti Nie Ching?

BANGI, 17 Rejab 1441H, Khamis – Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) membidas sikap Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon yang akan bekerjasama dengan pertubuhan radikal, Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) dalam isu pendidikan Cina.

Ketua wanitanya, Azizah Che Awang berkata, Hang Soon sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu sebelum berbincang dengan Menteri Pendidikan, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin.

“Adakah YB Hang Soon mahu menjadi seperti bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching?

“Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menyatakan dengan jelas jaminan hak setiap warganegara untuk belajar bahasa ibunda, tetapi Perlembagaan tidak memberi jaminan untuk menjadikan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa perantara di sekolah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Stesen televisyen NTV7 sebelum ini melaporkan, Hang Soon yang juga Timbalan Presiden parti perkauman MCA berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Dong Zong dan Jiao Zong untuk menggerakkan reformasi pendidikan.

“Saya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan, tapi yang lebih penting ialah menyatukan semua pihak antaranya Dong Zong dan Jiao Zong, pendidik dari semua pihak.

“… untuk bersama-sama saya bekerja keras, membantu saya menggerakkan reformasi pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah menggesa kerajaan baharu supaya tidak melayan kumpulan rasis, cauvinis serta mengharamkan Dong Zong.

Beliau turut menggesa kerajaan berpegang pada Perlembagaan Persekutuan serta mengesyorkan melaksanakan sekolah satu aliran.

“Untuk memelihara identiti nasional dan watan, KPM disarankan untuk melaksanakan sekolah satu aliran. Ini untuk menjamin adanya peluang anak-anak Melayu, Cina, India dan Bumiputera lain berkenal-kenalan dan belajar adat budaya pelbagai kaum yang akan menatijahkan perpaduan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum.

“Ia juga bagi memastikan semangat patriotik dengan identiti nasional, bangsa Malaysia akan tercapai,” kata beliau. -ismaweb