Posts

Kestabilan Negara Dan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19 Lebih Utama

Dalam masa negara sedang bergelut menghadapi wabak Covid-19 dan kesan yang akan terjadi pasca Covid-19 ini, kemelut politik masih terus menghambat kita semua. Perebutan kuasa dan ketaksuban kepartian masih menjadi agenda utama sebahagian ahli-ahli politik.

Kerajaan yang baru ditubuhkan dua bulan yang lepas, mempunyai cabaran yang amat besar dalam memastikan kestabilan negara dan juga dalam memastikan kepentingan rakyat terjaga dalam senario kemelesetan ekonomi yang terburuk dalam sejarah.

Adalah amat malang sekali bila ahli-ahli politik lebih memikirkan tentang agenda dan pemimpin parti masing-masing mengatasi kepentingan rakyat. Sampai bilakah kita hendak ‘bermain’ politik seperti ini?

Bukankah lebih elok sekarang ini pemerintah dan pembangkang bekerjasama untuk mengemukakan idea-idea baru dan bernas dalam menghadapi norma baru, yang menurut ramai pakar dalam pelbagai bidang keadaan akan datang tidak akan sama seperti dahulu?

Saya menyeru daripada kita mendesak sidang parlimen diadakan, daripada mengkiritik semborono sesama sendiri, daripada menyuarakan masalah pengangihan kerusi menteri dan jawatan GLC di kalangan parti-parti dan lani-lain, marilah kita sama-sama mengkaji dan mencari jalan keluar terbaik dari krisis negara.

Tidak ada guna untuk berbalah sesama sendiri atau tergesa-gesa menukar kerajaan sekarang ini untuk memenuhi agenda politik kepartian. Rakyat sedang menderita dan perlukan pembelaan serta jaminan untuk survival masa depan mereka.

 

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

5 Mei 2020

PERUTUSAN MENGENAI WABAK COVID-19

1. Negara berada dalam situasi yang kritikal dengan melandanya wabak penyakit yang disebabkan oleh Coronavirus, Covid19 yang telah melibatkan 200,000 kes dan 9,000 kematian di seluruh dunia.

2. Sebagai seorang warga negara yang tercinta dan sama-sama berdepan wabak ini, saya menyeru kita semua berusaha bersungguh-sungguh mengambil langkah-langkah yang berhikmah dalam menangani wabak ini.

3. Pertama, sebagai hamba Allah, kita insaf dan sedar bahawa segala yang ada di dunia dan alam ini adalah milik Allah jua. Semua kejadian dan perkara yang berlaku adalah dalam ilmuNya dan dengan izinNya. Oleh itu, marilah kita semua bermunajat dengan berdoa kepada Allah swt agar diberi kesembuhan dari wabak ini dan juga dikurniakanNya keselamatan dan kesihatan kepada semua rakyat. Semoga negara kembali kepada keadaan yang normal seperti sediakala.

4. Tidak cukup dengan bertawakkal kepada Allah, kita mesti mengambil langkah-langkah sewajarnya yang telah dinasihati dan diarahkan oleh pihak berkuasa dan berkepakaran. Patuhi arahan Kawalan Pergerakan dengan menghadkan pergerakan kita di rumah, menjauhi tempat-tempat awam, menghindari dari berkumpul beramai-ramai dalam satu majlis. Jaga secara serius kebersihan diri, keluarga dan persekitaran.

5. Akhir sekali, di kesempatan ini juga, marilah kita mengukuhkan perpaduan dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa, pangkat dan tahap kehidupan. Hentikanlah melakukan perkara-perkara yang tidak bermenafaat seprti tuduh menuduh antara satu sama lain, menyebarkan berita palsu dan tidak tepat, dan lain-lain.

6. Sebagai rakyat, marilah kita membantu memperbaikki keadaan dengan menjadi sebahagian daripada penyelesaian bukan menjadi penyebab masalah tersebarnya wabak dan tersebarnya kebencian antara satu sama lain.

7. Kepada warga Kementerian Kesihatan, kami ucapkan ribuan terimakasih yang tidak terhingga diatas jasa dan bakti kamu semua yang tidak mengenal erti penat lelah, dan berkorban demi kesejahteraan rakyat. Kami pohon Allah memberi balasanNya yang tak terbatas kepada kamu, wira kami semua, ameen!

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz
Presiden BERJASA

COVID-19: SEGERA LANTIK MENTERI KESIHATAN

Perkembangan terkini virus COVID-19 di Malaysia setakat 3 Mac 2020 adalah sebanyak 36 kes disahkan positif. Manakala ada lagi 142 kes masih menunggu pengesahan makmal.

Hari ini hari ke-10 posisi Menteri Kesihatan Malaysia kosong (diambil kira dari tarikh PM ke-7 meletakkan jawatan). Ini bermakna wujudnya jurang kepimpinan dan lohong tugas posisi penting dalam bidang kesihatan.

Dari segi polisi, penentuan dasar, arahan penguatkuasaan undang-undang kritikal, pengurusan sumber manusia dan dana bagi mengurus COVID-19 semua ini memerlukan bidang kuasa Menteri.

YAB Perdana Menteri ke-8, TS Muhyiddin Yasin perlu untuk segera melantik Menteri Kesihatan supaya jurang ini dapat diselesaikan segera.

ANGKASA berpendapat Menteri Kesihatan yang dilantik mestilah dari kalangan profesional yang cekap dan berwibawa.

Adalah amat penting untuk segera melantik Menteri Kesihatan dalam keadaan wabak ini semakin meluas. Hentikan gerak catur politik, berjiwa besarlah untuk melihat kepentingan rakyat melebihi kepentingan ahli politik.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA