Posts

Cadangan Kepada Pentadbir, Pensyarah Dan Mahasiswa Universiti Ketika PKP

1. Universiti merupakan institusi yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempatnya yang akan membekalkan sumber manusia berkualiti yang diperlukan di semua sektor. Di sini juga hasil-hasil penyelidikan dan perundingan yang kreatif dan inovatif dibangunkan untuk kemajuan dalam sains, teknologi dan lain-lain bidang. Selain daripada itu, di institusi ini berkumpulnya para sarjana pelbagai disiplin yang mampu membantu negara dalam perancangan masa depan melalui idea-idea, model-model penyelesaian baik teori dan praktikal dalam semua aspek.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada universiti-universiti tempatan seperti UMK, UMP, UNIMAP, UTM dan lain-lain yang telah memainkan peranan mereka sebaik mungkin terutama dalam membantu negara menghadapi wabak Covid-19 ini. Banyak usaha-usaha inovasi dari penghasilan produk seperti ‘hand sanitziers’, ‘PPE’ dan lain-lain, telah dilakukan oleh beberapa universiti tempatan tersebut, dalam membantu ‘frontliners’ Kementerian Kesihatan dan juga masyarakat.

3. Di sini saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh pentadbir, tenaga pengajar dan mahasiswa universiti semasa PKP ini. Mungkin ada diantaranya sedang dan telah dilakukan; sebagai seorang warganegara yang perihatin, saya hanya ingin menyumbang sedikit idea untuk kebaikan bersama.

4. Kepada pentadbir universiti seperti naib canselor dan timbalan-timbalannya, masa inilah patut digunakan untuk melihat semula prestasi universiti selama ini dan merancang ke hadapan. Mungkin selama ini, dalam kesibukan rutin harian seorang pentadbir universiti dengan pelbagai mesyuarat, tidak mendapat peluang sebaik ini seperti masa PKP. Ambillah kritikan membina dan saranan-saranan bernas dari masyarakat sebagai satu perkara positif dalam membantu meningkatkan kualiti pengajian tinggi negara. Antaranya, bagaimana untuk membantu negara selepas PKP nanti di mana peranan dan tugas universiti amat kritikal dan dinanti-nantikan.

5. Contohnya dengan bilangan pengangguran yang dijangkan tinggi di kalangan pekerja kurang mahir selepas PKP nanti, sudah sampai masanya universiti memikirkan bagaimana mereka boleh menawarkan program-program dan modul latihan untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang yang diperlukan. Senario pembangunan negara akan berubah dan memerlukan satu anjakan paradigma yang menyeluruh. Pentadbir universiti boleh mengemukakan idea dan rancangan dengan menyediakan silabus dan kurikulum untuk menawarkan program-program berkaitan. Kajian-kajian model perniagaan baru dalam ekonomi, contohnya, boleh diketengahkan.

6. Kepada tenaga pengajar, amat baik sekali jika masa ini dapat digunakan bagi memikirkan kaedah memperbaikki pengajaran dan pembelajaran; baik dari segi penyampaian dan isinya. Pada masa inilah tenaga pengajar boleh menyemak semula bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran seperti nota-nota, dengan mengambil kira perkembangan semasa dan akan datang. Persediaan perlu dibuat agar minda mahasiswa dapat dibentuk untuk menghadapi dunia akan datang yang tidak menentu selepas wabak Covid-19 ini. Pengajaran berguna dari pengalaman masa lepas dan apa yang sedang dilalui, boleh dijadikan panduan untuk memperkasakan pengajian tinggi dengan membawa tahap pemikiran dan kesedaran mahasiswa ke tahap yang lebih tinggi.

7. Teruskan usaha dalam penyelidikan dan pembangunan untuk menghasilkan produk-produk berinovasi dan kreatif, untuk kemakmuran dan keharmonian negara, bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi, termasuk juga sosial, politik, ekonomi dan lain-lain. Saya yakin dengan kemampuan sarjana tempatan kita yang datang dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan pengalaman, merupakan golongan terbaik dalam menyelesaikan masalah tempatan dan global.

8. Kepada para mahasiswa, gunakanlah masa ini dengan sebaiknya untuk berinteraksi dengan rakan-rakan dan tenaga pensyarah dalam memperkasakan pemahaman dan ilmu yang telah dan sedang ditekuni. Memahami kelemahan cara pembelajaran dan mengambil peluang untuk memperbaikki diri dalam apa jua kemahiran seperti bahasa, kemahiran insaniah dan lain-lain amat wajar dilakukan. Dengan sumber yang pelbagai dalam alam maya serta masa luang yang banyak ini, banyak ilmu dan kemahiran baru, boleh diterokai.

9. Kepada YB Menteri KPT dan warga KPT, anda mempunyai peranan yang amat besar dalam membantu menyediakan prasarana dan sokongan yang berkenaan untuk pentadbir, tenaga pengajar dan mahasiswa universiti berperanan ke arah membangunkan negara yang tercinta ini. Pada saya KPT adalah ‘fasilitator’ dalam memastikan aset berharga negara yang berada di universiti-universiti, dimenafaatkan sepenuhnya demi kebaikan rakyat dan kemakmuran negara. Iktiraf kepelbagaian dan kebolehan universiti tempatan, dan letakkan keyakinan dan kepercayaan kepada mereka dengan memberi kebebasan akademik dan keanjalan yang bersesuaian.

10. Kesimpulannya, saya menyeru kepada semua warga universiti dan KPT semasa PKP ini, untuk membuat muhasabah dan pada masa yang sama, menjalankan peranan penting saudara-saudari dalam memberi sumbangan bermakna kepada negara dalam menghadapi situasi semasa dan pasca wabak Covid-19 ini yang mencabar ini.

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden, Parti BERJASA

9 April 2020