Posts

Ucapan Selamat Menjalankan Tugas Kepada Barisan Jemaah Menteri Baharu

BERJASA ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan selamat menjalankan tugas kepada jamaah menteri baharu dalam melaksanakan mandat rakyat dan juga dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Barisan jamaah menteri ini mestilah terus memandang kehadapan demi maslahah ummah. Identiti watan yang berteraskan Islam, Melayu dan institusi Raja terus dijaga serta menjadi keutamaan serta identiti watan ini juga mesti dihayati oleh semua kaum di Malaysia sebagai identiti nasional.

BERJASA berpendapat bahawa demi untuk mengukuhkan lagi identiti sesebuah negara kita tidak boleh mudah tunduk kepada desakan dan ugutan, baik dari dalam dan luar, yang mencabar identiti nasional sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Sebagai contoh apa yang pernah berlaku sebelum ini terdapat beberapa desakan supaya kerajaan mengiktiraf UEC dan mempertahankan sekolah vanerkular.

BERJASA yakin bahawa barisan jamaah menteri baharu mampu mengangkat agenda negara keperingkat yang lebih baik sekiranya semua pemimpin dari pelbagai parti dalam Perikatan Nasional dapat meletakkan agenda keutuhan sebuah negara mengatasi dari segala agenda parti masing masing. Diharapkan kepada semua menteri dan timbalan menteri dapat menghayati watak negarawan, bukannya berwatak kepartian, akhirnya membawa kepada perpecahan.

Semoga tugas yang dipertanggungjawabkan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, kerana ianya adalah amanah dari Allah swt. Rakyat sentiasa mendoakan dan mengharapkan kebaikan sepanjang masa demi kemajuan negara dan keharmonian kaum dinegara tanah watan ini.

Dato Dr Ir Ts Badhrulhisham Abd Aziz
Presiden BERJASA

10 Mac 2020