Penghina Kedaulatan Negara ‘BAKAL’ Dihukum

Undang-undang bertujuan untuk mendidik. Undang-undang yang menatijahkan hukuman setimpal dan berat pula mampu mendidik masyarakat seterusnya menghalang perkara yang memudaratkan. Dalam erti kata lain, undang-undang juga harus mempunyai sifat ‘menakutkan’.

Namun sekiranya undang-undang itu pada akhirnya hanya menatijahkan ‘siasatan’ dan ‘dilepaskan’, maka tujuan akhir undang-undang itu tidak akan tercapai.

Bukan kali pertama tindakan bersifat tidak patriotik menghina simbol kedaulatan negara berlaku. Tahun 2007, kita pernah didendangkan nyanyian lagu ‘Negarakuku’ dengan sinisnya menghina lagu kebangsaan. Tiada hukuman tegas.

Tahun 2019 dihiasi dengan ‘insiden’ bendera Malaysia berkibar secara terbalik di premis-premis perniagaan, di rumah-rumah kediaman tertentu. Malah dalam kejohanan sukan pun boleh berlaku kesilapan bendera Malaysia yang tidak boleh dimaafkan. Namun, tiada hukuman tegas.

Maka tidak terkejut, jika insiden menghina simbol negara berlaku lagi. Kali ini lakaran jata negara dilakarkan secara begitu sinis dan hina sekali pada kulit buku dan dijual kepada umum.

Maka hadirlah berbondong-bondong para aktivis NGO dan politikus bergegas membuat laporan polis. Kelihatan pula pak menteri dengan lantang dan berani mengeluarkan kenyataan penghina simbol negara ‘AKAN’ disiasat. Penghina kedaulatan negara ‘BAKAL’ dihukum.

Namun bagi saya, kita mahu undang-undang menatijahkan sesuatu yang setimpal dan berat kepada mereka yang melakukan kesalaha yang mencetuskan provokasi tidak sihat ini. Kerana sifat undang-undang itu adalah mendidik. Mana mungkin dengan ‘melepaskan’, hukuman 1 bulan kerja sosial, denda wang yang boleh dibayar dengan mudah ini mampu untuk mendidik dan menghalang perbuatan kesalahan ini daripada berulang sekali lagi ?

Berapa banyak lagi siri kebiadaban seperti ini yang harus kita hadap ?

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA

Politik & Wang

Hari demi hari kita semakin sedar bahawasanya sistem demokrasi melahirkan banyak kerosakan. Negara yang amat bangga dengan demokrasi malah mempromosi demokrasi di negara-negara lain pun kini akhirnya terpaksa menelan perkembangan pahit natijah dari sistem yang mereka banggakan.

Ada satu episod dalam politik Malaysia yang amat pahit untuk ditelan. Politik wang. Wang yang ditabur untuk mendapat kemenangan dalam pertandingan merebut kuasa. Politik wang, yang kaya akan terus kekal berkuasa.

Sewaktu zaman mahasiswa saya, saya pernah diberitahu, ada parti politik negara membelanjakan ratusan ribu untuk jawatan utama dalam parti ketika pemilihan parti. ‘Duit turun dari langit’ untuk ahli yang menyokong senarai yang diedarkan bersama. Ini senario biasa tanpa rasa dosa.

Dalam Pilihanraya pun begitu. Parti yang kaya, punya banyak wang boleh menang Pilihanraya. Satu kawasan DUN itu pernah saya diberitahu ‘kos sebenar’ yang dibelanjakan oleh parti mencecah RM3 juta ringgit. Manakala untuk kawasan calon Parlimen menelan angka 5 juta ringgit.

Masyarakat dididik sedemikian rupa sejak sekian lama. Siapa paling banyak dilihat memberi wang atau material akan diberi undi. Natijahnya, usaha untuk mengekang budaya korupsi ini menemui kegagalan.

Dari mana datang duit-duit parti yang ditabur ini ? Jika parti itu Sang Penguasa Kerajaan, maka banyak projek-projek perlu disalur kepada ahli-ahli parti. Jika berada di luar kerajaan, alternatif mencari wang ialah dengan melobi pihak-pihak tertentu dari luar negara. Amat menakutkan fakta yang kita baca dalam PRU yang lalu. Dana dari luar negara ini, hatta datang dari penjaga dua Kota Suci pun tidak seharusnya berlaku di watan yang merdeka ini apatah lagi dari tukang catur kulit putih!

Sudah sampai masanya untuk rakyat khususnya pengundi menentang politik wang ini sehabis-habisnya. Kerajaan yang berdiri juga perlu jujur.

Akta Dana Politik perlu digubal segera untuk memberi platform yang lebih adil kepada semua. Bahkan akta ini juga harus digubal bagi menyekat dana asing dari masuk ke negara ini bagi menjamin soal kedaulatan negara. Bukan itu sahaja Akta Pilihanraya sedia ada juga perlu penguatkuasaan yang lebih tegas. Siasatan terperinci dan telus amat perlu untuk menolak budaya politik wang ketika Pilihanraya.

Pada akhirnya saya sedar bahwa harapan di atas ditujukan kepada sang politikus juga. Amat tipis harapannya untuk mereka melaksanakan semua ini. Tetapi sekurang-kurangnya, moga tulisan ini dapat menyedarkan masyarakat dan pengundi, bahawa maruah dan harga diri tidak harus digadai dengan wang dari tangan ahli politik.

Sekian.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA

PNB CEO Resign?

Resignation of Jalil Rasheed came as a shocking news to many of us, especially young Malaysians who look up to him since his appointment as the PNB CEO. A much-needed young face in the world of corporate relics, Jalil is an inspiration for many youths.

Albeit Jalil’s appointment after PH came into power was arguably driven by political motives as well, his credentials and track record cleared a huge chunk of doubts among us.

However, his goodbye message leaves a lot to ponder. Either hold to your principle and leave, or cross the line and have that scar engraved forever. I believe a similar tone was delivered just a couple of weeks ago when Tan Sri Wan Zulkiflee bid his farewell to PETRONAS employees.

We cannot help but to wonder what exactly is happening ‘up there’?

If Perikatan Nasional continues this trend where prominent leaders are saying goodbyes while incompetent folks are appointed to GLCs positions and as Senators, they can expect an uphill battle in the next GE15.

The people demands a transparent and merit-based culture in the governance, not kept in the dark and blindly accepting whatever decisions made by the government.

In this age of information, news travel fast and words spread faster than a wildfire. Be warned, people are watching. And they are watching with intent.

Asyraf Badhrul,
Chief Information
Angkatan Pemuda Berjasa (ANGKASA)

Malaysia Aman Tanpa Arak

1. Satu persoalan yang wajar untuk ditanya, adakah benar pemandu mabuk ini memandu secara mabuk kerana undang-undang yang diperuntukkan adalah ringan ?

2. Dan apakah meminda undang-undang sedia ada kepada yang lebih berat, dapat menyelesaikan isu pemandu mabuk yang menyebabkan kematian ?

3. Atau, kita sebenarnya memerlukan solusi yang lebih mendalam bagi menyelesaikan isu ini ?

4. Arak tidak baik untuk kesihatan. Dapatan daripada kajian yang direkodkan melalui Jurnal bertajuk ‘No Level of Alcohol Consumption Improves Health’ yang melibatkan 195 buah negara dari tahun 1990 sehingga 2016 mendapati alkohol adalah penyumbang besar kepada masalah kesihatan sejagat, tidak kira kecil atau besar kadar pengambilannya.

5. Bukan sahaja agama Islam, tetapi agama lain juga tidak pernah menganjurkan untuk penganutnya minum arak.

6. Di negara-negara Barat selain daripada mengenakan hukuman yang berat dan ketat, mereka juga turut melaksanakan tindakan kawalan terhadap rakyatnya. Ini termasuklah larangan minum arak di tempat awam dan juga perniagaan minuman beralkohol mestilah hanya dijual di kedai yang berlesen sahaja.

7. Malaysia pula bagaimana? Sebuah negara Islam, majoritinya beragama Islam, majoriti rakyatnya tidak mengambil alkohol sebagai ‘cara/budaya’ hidup, Tetapi arak amat mudah didapati hatta di kedai-kedai serbaneka 24 jam yang berada di ceruk-ceruk tempat sekalipun majoriti penduduk adalah beragama Islam.

8. Ada apa pada ‘peminat’ arak ini ? Industri yang semakin mengukuh konon ‘menyumbang’ kepada pendapatan cukai negara ? Terbaharu, FB Malaysia menyekat status rakan-rakan seperjuangan yang lantang menyuarakan ketidakpuashatian. Siapa disebalik semua ini ?

9. Ternyata, bukan sekadar undang-undang yang perlu ditambah, kerana boleh jadi si peminat arak masih tetap bebas menikmati minuman ini. Tetapi, kerajaan juga mesti mengambil langkah kawalan. Jika industri arak menjadi punca kepada lemahnya kerajaan untuk menggubal tindakan dan akta, maka saya hari ini mahu menjadi penghasut.

10. Saya ingin menghasut rakyat supaya bersatu menentang industri arak ini. Kerana ketahuilah, bala dan keruntuhan sosial masyarakat awam lebih besar daripada pendapatan yang disumbang oleh industri arak ini.

Malaysia Aman Tanpa Arak (MATA)

Sekian.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA

Belia Pimpin Negara, Kebiasaan Baharu Watan Malaysia

 

  1. Populasi golongan belia di Malaysia menurut rekod Jabatan Statistik mewakili 42% daripada keseluruhan bilangan penduduk. Ini bermakna, golongan belia merupakan kelompok terbesar. Jumlah yang begitu signifikan ini memberi indikator betapa pentingnya peranan belia dalam menentukan pembangunan dan hala tuju kepimpinan negara.

 

  1. Dengan jumlah yang begitu besar, semua mata tertumpu pada golongan belia. Belia menjadi sasaran dalam menentukan segala dasar dan polisi masa hadapan baik kumpulan, badan bebas, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, termasuklah parti-parti politik yang semakin hari semakin lunak menyebut perkataan keramat belia atau anak muda.

 

  1. Parti politik yang menyedari betapa golongan belia merupakan ‘aset’ untuk mencapai kemenangan politik telah mula meletakkan ‘pelaburan’ mereka kepada golongan belia. Banyak agenda tertumpu untuk menarik minat golongan muda. Pengisian program segalanya akan diusahakan untuk memenuhi citra selera anak muda.

 

  1. Belia atau anak muda memang seharusnya diberi lebih peluang untuk menonjol dihadapan menerajui bukan sekadar jawatan NGO dan kelab, bukan sekadar jawatan politik diposisi yang separa signifikan. Sewajarnya, anak muda perlu diletakkan sebaris dengan kepimpinan senior yang lain dalam posisi yang signifikan untuk menentukan dasar, polisi dan hala tuju negeri dan negara.

 

  1. Hal ini boleh dimaterialisasikan sekiranya kepercayaan diberikan sepenuhnya kepada anak muda. Sudah tentu, perkara paling besar dan saya yakin amat sukar untuk dilakukan adalah pengorbanan para pemimpin senior dalam memberi ruang serta laluan untuk anak muda menongkah arus ke hadapan. Melalui pemerhatian yang membuatkan ianya sukar adalah kerana wujudnya pertimbangan khususnya soal pengaruh dan kuasa yang bakal hilang sekiranya membuat keputusan untuk memberi laluan kepada ‘orang muda’.

 

  1. Ini tidak seharusnya berlaku, kerana ketahuilah, pemimpin yang hebat bukan dinilai dengan betapa lamanya mereka memerintah. Tetapi pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berjaya melahirkan lebih ramai pelapis kepimpinan yang lebih baik daripada mereka untuk legasi masa hadapan agama, bangsa dan negara.

 

  1. Ketahuilah, sudah sampai masanya untuk diberi ruang dan laluan kepada anak muda agar dapat mengisi dan menyambung perjuangan membina semula watan Malaysia seterusnya mengembalikan semula kehebatan sebuah ketamadunan yang pernah kita punya.

 

  1. Buat rakan seperjuangan, Saudara-Saudari kita punya agenda yang besar. Perteguhkan jati diri, kita sudah siap-siaga untuk mengangkat agenda yang lebih gemilang buat semua.

 

Selamat Hari Belia Negara 2020

‘Dekad ini Dekad Kita, Belia Pimpin Negara’

 

Sekian,

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA.

Reset Ekonomi, Reset Politik

1. Pandemik Covid-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada seluruh ummat manusia. Sehingga kini lebih 4 juta manusia dari 6 buah benua dijangkiti virus itu dan 278 ribu kematian direkodkan.

2. Krisis kesihatan ini bukan sahaja mengancam dari segi kesihatan sahaja tetapi memberi kesan domino terhadap tahap isu keselamatan dan ekonomi sejagat.

3. Eropah, merupakan benua paling terjejas teruk susulan wabak ini,menyaksikan persekitaran ekonomi yang suram dan malap. Negara ‘Uncle Sam’ Amerika Syarikat melaporkan berjuta hilang pekerjaan dan industri utama merekodkan defisit pengeluaran.

4. Malaysia juga tidak terlepas dari desakan ekonomi disebalik ancaman virus ini. Setelah lebih sebulan pelaksanaan Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan penutupan majoriti aktiviti ekonomi dalam negara, akhirnya pada 4 Mei 2020, kerajaan memutuskan untuk membuka semula ekonomi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang menyaksikan pembukaan semula majoriti aktiviti ekonomi negara namun dengan pra-syarat yang ketat.

5. Malaysia bukan sahaja perlu untuk membuka semula (‘restart’) ekonominya, tetapi perlu juga mengambil langkah proaktif untuk reset semula pemfokusan perancangan ekonomi yang boleh membawa negara kepada kemandirian ekonomi.

6. Kemandirian ekonomi sesebuah negara bermaksud, kita mampu untuk mendepani cabaran ekonomi global dalam keadaan kita bersedia lebih awal berbanding hanya mengamalkan sikap bertahan semata-mata. Salah satu sektor ekonomi yang amat perlu diberi penekanan adalah sektor pertanian. Sektor ini juga berkait rapat dengan isu jaminan bekalan makanan yang dijangka menjadi isu kritikal khususnya dalam berdepan dengan krisis. Amerika Syarikat dilaporkan mengumumkan RM83.03 billion bagi membantu industry pertanian negara itu yang terjejas akibat Covid-19. Negara jiran kita Singapura pula telah lama melaksanakan projek simpanan stok makanan.

7. Selepas pengumuman PKPB, bukan sahaja suhu ekonomi dalam negara semakin panas, tetapi rata-rata pasti sedar suhu politik dalam negara juga kembali rancak. Bermula dengan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin oleh mantan Perdana Menteri ke-4 & ke-7 yang diterima Speaker Dewan Rakyat, tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah dan juga khabar angin peralihan kerajaan di negeri Selangor bertiup kencang.

8. Tidak lupa juga surat sempena kenangan kemenangan bersejarah 9 May 2018 yang ditandatangani dua seteru/sahabat politik lagenda negara Tun Dr Mahathir & Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memujuk rakyat dengan mengatakan mereka sudah berdamai. Begitu juga sesekali dengusan nafas Lim Kit Siang yang seakan-akan terlupa janji ‘bersara’ sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menduduki kerusi Perdana Menteri ke-8 yang dijanjikannya sebelum runtuhnya kerajaan 22 bulan.

9. Ironi sekali, tatkala kerajaan mengumumkan untuk ‘restart’ ekonomi, saya yakin serta percaya ada satu cabang lagi yang perlu untuk di reset semula. Saya menyeru sementara kita masih lagi dalam mod mengambil pengajaran dan ibrah virus Covid-19 ini, agar rakyat Malaysia sama-sama reset politik negara ini.

10. Kita perlu berubah! Tidak sepatutnya lagi negara Malaysia yang kita cintai ini bergantung harap pada sosok tubuh ahli politik bernama Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim. Cuba bayangkan, rakan seusia saya, mendengar drama perseteruan politik antara dua nama ini sejak dibangku tadika lagi. Sehinggalah sekarang, sudah beranak-pinak pun masih lagi dibayangi dengan sosok tubuh ini.

11. Bukan kita mahu menafikan jasa dan kebaikan yang pernah ditabur mewarnai citra politik Malaysia puluhan tahun lamanya ini. Namun, saya mengharapkan agar diberi ruang serta peluang untuk ramai lagi anak muda yang berkaliber, bercita-cita murni dan professional yang boleh menyumbang buah fikiran dan tenaga mencorak sebuah citra politik yang baharu buat tanah air tercinta.

12. Rakyat Malaysia harus berani untuk reset politik negara dari hanya bertumpu pada kisah seteru dua individu politik ini.

Bangkit untuk membina sebuah ketamadunan politik watan yang berteraskan citra tanah air yang sebenar iaitu Islam sebagai agama persekutuan, Melayu sebagai tonggak pemerintahan dan institusi Raja-raja sebagai menjamin kedaulatan tanah air kita.

13. Kita wajib berani berubah!

Sekian.

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa

Sudah Sampai Masanya Kerajaan Gubal Perintah Penjualan Arak Terhad & Kaji Semula Hukuman Pemandu Mabuk

Semalam, negara kehilangan seorang pejuang barisan hadapan. Pemergian Kpl. Safwan Bin Muhammad Ismail ini sedar tidak sedar, mengiringi ratusan nyawa yang terkorban sejak sekian lama akibat kerakusan pemandu mabuk!

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, tahun 2017 sahaja merekodkan 212 kes kemalangan maut! Tahun 2018 sebanyak 191 kes dan tahun 2019 juga hampir sesak dada apabila membaca kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk!

Ini juga bermakna ratusan ahli keluarga terkesan. Isteri kehilangan suami, ibu kehilangan anak, anak-anak kehilangan tempat bergantung! Apakah semua ini tidak akan temui titik penyelesaian?

Apakah harus harus kita dihidangkan lagi, lagi dan lagi berita kematian demi kematian disebabkan pemandu mabuk?

Peruntukan sedia ada untuk hukum pemandu yang langgar mati hanyalah maksimum denda RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan melalui Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sudah pasti jelas lagi nyata bahawa undang-undang ini tidak memadai.

Jika dibanding dengan negara lain Malaysia mengenakan hukuman yang sangat ringan. Kadar denda dan penjara di Singapur beratus kali ganda, termasuk digantung lesen selama setahun. Di Russia, lesen digantung seumur hidup! Tak boleh bawak kereta langsung dah! Malah di Taiwan, beberapa tahun lalu meluluskan draf pindaan untuk hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian!

Tidak cukup dengan itu, saya kira sudah sampai masanya kerajaan menggubal sebuah undang-undang untuk mengetatkan operasi penjualan arak di premis-premis khas alkohol berdaftar sahaja!

Kita semua tahu kita semua nampak betapa meriahnya botol-botol dan tin-tin arak di kedai serbaneka 24 Jam 7Eleven, KK Mart dan 99 Speedmart! Ini semua tidak berlaku di negara-negara maju yang telah menguatkuasakan akta penjualan arak secara terhad.

Mudahnya capaian terhadap minuman beralkohol ini adalah salah satu punca mengapa makin ramai pemandu yang memandu secara mabuk! Jika bernasib baik, sampai lah ke rumah! Jika tidak? Mereka inj menghantar nyawa-nyawa tidak berdosa pula ke kuburan!

Soalnya! Kerajaan manakah? Pemimpin manakah? Parti politik manakah? Yang mampu untuk menggegar industri arak tanahair, yang mampu mencuit tokey tokey arak yang sedang asyik diatas sana?

Soalnya lagi! Sampai bila kita harus menghunjam genggaman tangan tatkala melihat dan membaca di dada akhbar seorang lagi manusia tidak berdosa, menjadi mangsa!

Hazwan Mohamad,
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA.

Impak Penurunan Harga Minyak Dunia Kepada Negara

Kebergantungan negara terhadap hasil petroleum naik sehingga ke 30% selepas GST dihapuskan oleh kerajaan pemerintah 22 bulan.

Menteri Kewangan dari parti rasis dan cauvanis DAP, Lim Guan Eng membuat Bajet 2020 dengan andaian harga minyak $62 setong!

Hari ini dalam sejarah buat pertama kali harga dagang minyak Amerika Syarikat (WTI) jatuh ke paras negatif! Harga minyak mentah Brent pula selalunya akan turut saling terkesan. Menatijahkan kedua-dua klasifikasi harga pasaran minyak utama dunia menurun!

Penurunan harga minyak tentu memberi impak yang cukup besar pada hasil pendapatan negara dan seterusnya memberi kesan kepada perbelanjaan kerajaan.

Jika dahulu, ketika diambang krisis sebegini kerajaan akan mengambil langkah penjimatan bagi mengurangkan belanja. Namun penjimatan bakal mengakibatkan sedikit kerencatan dalam pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam menempuhi keadaan ekonomi sukar pasca Covid-19 pula, para ekonomis menjangkakan keperluan untuk sesebuah kerajaan berbelanja lebih untuk menyuntik dana dalam rantaian ekonomi.

Sungguh kerajaan yang berdiri pasca Langkah Sheraton ini berdepan saat sukar. Mengurus kesihatan rakyat yang berdepan pandemik global dan juga urus kewangan negara dalam keadaan krisis ekonomi yang semakin mencengkam.

Tidak lupa juga, kerajaan yang berdiri selepas kemusnahan pemerintah Malaysia Baharu 22 bulan ini juga berdepan krisis ketidakstabilan politik. Aktiviti tikam belakang, beli membeli Ahli Parlimen dan royanan pembangkang pasti akan sedikit sebanyak turut memberi kesan urustadbir negara.

Saya berharap apa yang berlaku hari ini membuka mata semua pihak, isu melibatkan urus tadbir negara, soal kelangsungan ekonomi tidak harus diperdagangkan hanya kerana kita mahukan ‘perubahan’.

Apatah lagi perubahan yang dijanjikan itu bersifat populis, di tabur bulan dan bintang. Pada akhirnya, tidak mustahil hanya menatijahkan kegelapan masa hadapan negara.

Semoga kita mengambil pengajaran.

Hazwan Mohamad
Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa (ANGKASA).

Penganjuran “TikTok Contest” Sangat Memalukan, Batalkan Segera

Baru-baru ini tular berkaitan sebuah video “Tiktok Contest” yang mana kelihatan kelibat seorang menteri dan bersama dua orang “influencer”. Video tersebut mempromosi pertandingan yang dianjurkan.

 

Dalam tempoh PKP yang dihadapi oleh rakyat ketika ini yang seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin, timbul pula suatu idea yang sangat memalukan daripada wakil kerajaan.

 

Adakah serendah itu pemikiran seorang menteri? Adakah tidak ada pertandingan lain yang boleh dianjurkan oleh kementerian? Apakah kementerian berbangga dengan usaha menarik minat anak muda dengan TikTok?

Generasi muda perlu diisi dengan perkara yang bermanfaat. Banyak perkara atau pertandingan yang bermanfaat yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan seperti berikut:

  1. Pertandingan menulis cerpen.
  2. Pertandingan menulis novel.
  3. Pertandingan menulis puisi.
  4. Pertandingan menulis rencana sempena Covid-19.
  5. Pertandingan menghasilkan poster.
  6. Pertandingan menghasilkan video yang bertemakan Covid-19.
  7. Pertandingan mencipta lirik lagu raya, lagu puasa, lagu kemerdekaan dan pelbagai lagi.
  8. Pertandingan inovasi dan reka cipta.
  9. Pertandingan individu yang paling banyak menghasilkan kit bantuan.

 

Hakikatnya pelbagai lagi pertandingan yang bermanfaat yang boleh dianjurkan untuk menarik minat anak muda untuk terus kekal di rumah. Mahu atau tidak mahu sahaja atau lebih memilih maksiat daripada kebenaran.

 

Oleh itu, saya mencadangkan agar menteri menarik semula dan membatalkan pertandingan yang memalukan itu. Bahkan bukan hanya membatalkan pertandingan tersebut tetapi mengharamkan terus aplikasi TikTok yang semakin menghancurkan anak muda.

 

Akhir sekali, saya mengharapkan para agamawan dalam kerajaan Perikatan Nasional bersuara dan menegakkan kebenaran dan tentanglah kebatilan yang ada.

Sekian.

 

“Sesungguhnya setiap agama memiliki akhlah, dan akhlak Islam adalah malu.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

 

Sdr. Firdaus Hamdan

Setiausaha ANGKASA

ANGKASA Gesa Kerajaan Batalkan Kebenaran Pengecualian Operasi Syarikat Arak

Merujuk kepada satu surat pengesahan pengecualian operasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada syarikat pengeluar arak Heineken Malaysia Berhad yang tular di kalangan warga maya, Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA) memandang serius perkara ini dan sekiranya benar, menentang dan menggesa supaya KPDNHEP membatalkan kebenaran tersebut.

Ketika para petugas di barisan hadapan bertungkus-lumus memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat, bagaimana kerajaan sanggup membenarkan operasi syarikat yang langsung tidak menyumbang kepada kesejahteraan negara? Umum mengetahui arak tidak bermanfaat dan bukan dalam kategori ‘essentials’ dan Heineken pula jelas adalah pengeluar arak pelbagai jenis (bir, cider, dan sebagainya). Malah sudah ada laporan insiden rempuhan sekatan halangan oleh pemandu mabuk dalam waktu perintah kawalan pergerakan ini.

ANGKASA dengan ini menggesa supaya pihak kerajaan dapat menjelaskan hal ini secepat yang mungkin.

Sekian, terima kasih.

Asyraf Badhrul
Ketua Penerangan ANGKASA