KONTRAK SOSIAL

DEFINISI

Satu persetujuan atau kesepakatan Kaum Melayu dan bukan Melayu untuk memelihara kepentingan bangsa masing-masing. Perjanjian ini telah menjadi isi utama dalam rangka Perlembagaan Persekutuan 1957

 

KONTRAK SOSIAL DALAM PERLEMBAGAAN

Perkara 3       Islam sebagai Agama Persekutuan

Perkara 14     Kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang

Perkara 152   Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan

Perkara 153   Hak Istimewa Melayu

Perkara 181   Kedaulatan Raja-raja Melayu

 

BAGAIMANA KONTRAK SOSIAL TERBENTUK?

Melayu Adalah Tuan Tanah

Orang Melayu enggan menerima konsep Jus Soli yang mahu diberikan oleh British kepada orang bukan Melayu. Oleh sebab itu, majoriti orang Melayu membantah sekeras-kerasnyapentadbiran Malayan Union yang mahu dilaksanakan oleh British. Orang Melayu berpendapat mereka sebagai Tuan Tanah kepada Tanah Melayu. Masa depan dan nasib Tanah Melayu terletak di tangan mereka, bukan di tangan orang asing, mahupun penjajah

 

British Mengugut Orang Melayu

Orang Melayu dipaksa bersetuju untuk memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu jika mereka mahu mencapai kemerdekaan. British enggan menghantar semula orang bukan Melayu ke Negara asal mereka.

 

Setelah Berunding

Kesanggupan dan pengorbanan Orang Melayu akhirnya terbalas apabila Raja Melayu meminta terhdapat empat perkara penting; Agama Islam, Hak Istimewa Melayu, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan Bahasa Melayu diberikan sebagai pertukaran kepada pengorbanan orang Melayu untuk menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara

 

KESIMPULAN

  1. Orang bukan Melayu tidak ada hak mempersoal :
    1. Agama Islam sebagai Agama Persekutuan
    2. Hak Istimewa Melayu
    3. Kedaulatan Raja-raja Melayu
    4. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
  2. Mempersoal Keempat-empat perkara di atas seolah-olah mempersoalkan status kewarganegaraan yang mereka nikmati pada hari ini.
  3. Kita sebagai rakyat Malaysia wajib mempertahankan perlembagaan yang ada. Keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi pada hari ini tidak akan dapat dikekalkan jika sebahagian daripada kita sendiri  yang mengganngu gugat asas kepada pembentukan Negara Malaysia tercinta ini.

 

SIYASAH DAN POLITIK

Perkataan siyasah terdapat dalam satu hadith Nabi S.A.W.:

“كَانَتْ بَنُو اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِيْ وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُوْنَ…”

Maksudnya: “Adalah Bani Israel itu dahulu, para nabi yang memimpin mereka. Setiap kali wafat seorang nabi, maka seorang nabi yang lain menggantikannya. Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku. Akan ada khulafa’ dan mereka itu ramai…”

Siyasah dalam hadith di atas mengenai erti memimpin dan mengetuai.

Apabila seorang ulama Syafie menegaskan bahawa “Tiada siyasah kecuali yang menepati syarak”, maka Ibnu Aqil memberikan respon berikut, yang mengandungi definisi siyasah:

“Siyasah ialah apa sahaja tindakan yang menyebabkan manusia menjadi lebih dekat dengan kebaikan ( الصَلاح ) dan lebih jauh daripada kerosakan ( الفَسَاد ), walaupun ar-Rasul tidak menetapkan tindakan itu dan tiada turun wahyu (spesifik) mengenainya. Jika engkau bermaksud daripada kalammu “kecuali yang menepati syarak” itu ialah tidak menyanggahi apa yang dituturkan oleh syarak, maka betullah. Jika engkau bermaksud tiada siyasah kecuali yang dituturkan oleh syarak, maka salah, dan menyalahkan (tindakan-tindakan) para sahabat”.

Terdapat dua kata kunci dalam definisi siyasah yang diberikan oleh Ibnu Aqil itu. Pertama ialah ( الصَلاح ) yang sama kata akarnya dengan maslahah, dan ( الفَسَاد ) yang sama kata akarnya dengan mafsadah. Maslahah erti mudahnya ialah manfaat dan kepentingan, manakala mafsadah erti mudahnya ialah kerosakan, keburukan dan kemudaratan.

Kata kunci yang kedua ialah menepati syarak. Ini bermaksud walaupun tindakan siyasah itu tidak mempunyai dalil spesifik daripada al-Quran dan as-Sunnah, ia mestilah menepati kehendak syarak, dengan maksud berada dalam kerangka yang diizinkan oleh syarak, tidak menyalahi mana-mana dalil sedia ada.

Politik digunakan dalam konteks pemerintahan sesuatu komuniti kaum, negara dan dunia antarabangsa. Manakala siyasah lebih luas daripada itu, termasuk dalam konteks tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa dan guru demi mendatangkan kebaikan dan menjauhkan kerosakan berdasarkan definisi Ibnu Aqil di atas.

Siyasah juga diamalkan dalam bidang ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sebagainya. Perbahasan mengenai pemerintahan sesebuah negara hanyalah satu juzuk daripada siyasah.

LIBERALISME

Liberalisme ialah fahaman dan pegangan yang mengagungkan kebebasan individu mengatasi tuntutan agama dan membataskan kuasa kerajaan. Ini maknanya liberalisme ialah fahaman yang berpegang bahawa agama itu soal peribadi, kerajaan tak boleh campur tangan.

Oleh sebab itu, apa-apa sahaja kesalahan agama, seperti zina dan liwat, tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan, sama seperti minum arak, agama yang mengatakan tindakan itu haram hanyalah isu peribadi, kerajaan tidak boleh ambil tindakan selagi tidak mengganggu orang lain seperti minum dan memandu.

Liberalisme juga fahaman yang berpegang bahawa tiada kebenaran mutlak. Segala pegangan manusia, terutamanya agama, hanyalah paradigma yang berbeza-beza antara sesama manusia.

Oleh itu, orang Melayu tidak boleh berterusan mengatakan zina dan liwat itu salah dan berdosa, apatah lagi jenayah, kerana yang demikian itu pandangan menurut paradigma orang Melayu, yang tidak semestinya betul menurut paradigma orang lain.

Sehubungan itu juga, tindakan memandang serong kepada puak yang mengamalkan zina dan liwat dikira sebagai menghukum orang lain berdasarkan paradigma kita sahaja.

Jika yang memandang serong perbuatan maksiat terkutuk itu ialah majoriti rakyat, maka mereka dikatakan menindas dan menginjak-injak kebebasan individu minoriti untuk mengamalkan zina dan liwat yang dikira soal peribadi semata-mata.

Kita tak boleh memaksakan pandangan kita (bahawa perbuatan itu terkutuk) menurut paradigma kita, ke atas puak-puak yang mengamalkan maksiat terkutuk itu. Bahkan tindakan kita itu boleh dikira sebagai menceroboh hak kebebasan individu yang diutamakan dalam fahaman liberal.

Berdasarkan noktah di atas, maka liberalisme memang tak boleh terima adanya konsep amar makruf nahi mungkar (AMNM) dalam Islam.

Di peringkat individu, AMNM dilakukan dengan lisan dan dikira oleh fahaman liberal sebagai ucapan kebencian (hatred speech) kerana kita yang membenci kemungkaran dilihat oleh liberalisme sebagai membenci kebebasan individu, sementelahan kebencian kita terhadap kemungkaran itu hanyalah persepsi atau paradigma kita sahaja yang tak semestinya orang lain kena akur.

Di peringkat kerajaan, AMNM dilakukan dengan kuasa oleh penguatkuasa jabatan agama. Ini dilihat oleh liberalisme sebagai “tyranny”. Kerajaan menurut liberalisme mestilah bersifat neutral. Jika kerajaan melakukan AMNM, maka kerajaan telah menindas rakyatnya sendiri.

Pembangkang

Pembangkang politik (political opposition) dianggap salah satu karektor penting demokrasi. Perangai (behaviour) pembangkang politik dalam dunia demokrasi Barat boleh dilihat dari dua sudut yang berasingan;

1- Mengambil tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam pembuatan dasar dan polisi bersama pihak-pihak lain.

2- Mengikut rapat kerajaan untuk mencari kesalahan dan membangkang tanpa sebarang tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah. (1)

Islam mengajar kita konsep bantu dan tegur, sebagaimana yang disebut oleh Khalifah Abu Bakr as-Siddiq, “Aku telah dilantik dan aku bukan yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku berbuat baik maka bantulah aku. Jika aku berbuat salah maka perbetulkan aku”. Kalam seumpamanya juga diriwayatkan daripada Khalifah Umar bin al-Khattab ketika mula-mula beliau dilantik jadi khalifah. (2)

Perangai pembangkang yang hanya berusaha untuk menjatuhkan kerajaan melalui tindakan sentiasa mencari kesalahan semata-mata, kemudian tidak membantu dalam membuat polisi yang bagus untuk rakyat dan tidak juga menyokong langkah-langkah kerajaan yang baik adalah satu perangai yang tidak sihat dan memudaratkan negara untuk jangka panjang.

Begitu juga perangai kerajaan yang menyalahgunakan segala kemudahan yang ada untuk mengetepikan dan meminggirkan peranan pembangkang akan menyebabkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan tidak diperbetulkan dan umat akan menanggung kesan buruknya dalam jangka panjang.

Kita juga masih terbelenggu dengan minda kepengikutan kepada budaya penjajah British sehingga ke hari ini. Kita seharusnya menggali konsep-konsep Islam dalam melaksanakan peranan semak dan imbang daripada sumber syariat yang diturunkan oleh Allah Taala untuk kemaslahatan manusia.

Mungkin istilah yang lebih sesuai dan boleh menggantikan istilah pembangkang ialah pengimbang, pengkritik, penegur, penasihat, pesaing atau apa sahaja istilah yang membawa makna peranan dan konsep bantu dan tegur di atas.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan terdapat banyak halangan untuk mengubah perkara ini terutamanya dari sudut sistem parlimen majoriti mudah memerintah dan dari sudut minda ketamakan merebut kuasa.

Rujukan:
(1) Tom Louwerse and Simon Otjes. 2018. How Populists Wage Opposition: Parliamentary Opposition Behaviour and Populism in Netherland
(2) Seerah Ibnu Hisyam

Usul as-Syariah

Usul as-Syariah dalam konteks penyatuan umat Islam terdiri daripada perkara-perkara berikut:

1- Sumber perundangan syariah dan asas binaan Islam iaitulah al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias.

2- Masoleh Dharuriyat atau Usul Lima menurut istilah al-Imam al-Ghazali iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta, dikira sebagai Kulliyat al-Kulliyat berasaskan dalil-dalil yang tidak terbilang banyaknya. Termasuk di bawah Usul Lima ini ialah Maqasid Ammah Li as-Syariah seperti yang ditakrifkan oleh al-Allamah Ibnu Asyur:
المعاني والحكم الملحوظة للشارع في جميع أحوال التشريع أو معظمها

3- Qawaid al-Fiqhiah al-Kubra;
1- الأمور بمقاصدها، 2- اليقين لا يزول بالشك، 3- المشقة تجلب التيسير، 4- الضرر يزال، 5- العادة محكمة

4- al-Wala’ dan al-Bara’ berdasarkan akidah dan agama, bukan atas dasar selain itu dalam perkara yang melibatkan kuasa politik, kedaulatan negara dan ketuanan syariat, kecuali dalam situasi tertentu yang terpencil.

Dipetik dengan sedikit olahan daripada kertas kerja bertajuk “Ke Arah Penyatuan Umat Islam Serantau” yang dibentangkan oleh Ustaz Mohd Hazizi bin Ab Rahman di Muzakarah Ulama bertema Fiqh Penyatuan Ummah: Mengurus Kepelbagaian Aliran Dalam Konteks Penyatuan Umat Islam Serantau, anjuran Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) bertempat di Hotel Equatorial Bangi, pada hari Sabtu 2 Syaaban 1438H bersamaan 29 April 2017M

Pluralisme Politik

Pluralisme Politik
Oleh: Mohd Hazizi bin Ab Rahman

Ensiklopedia Britannica mentakrifkan pluralisme politik seperti berikut:
“Pluralism, in political science, the view that in liberal democracies power is (or should be) dispersed among a variety of economic and ideological pressure groups and is not (or should not be) held by a single elite or group of elites. Pluralism assumes that diversity is beneficial to society and that autonomy should be enjoyed by disparate functional or cultural groups within a society, including religious groups, trade unions, professional organizations, and ethnic minorities.”

Menurut Richard E. Flathman (2005), salah satu daripada nilai pluralisme politik ialah mencipta dan mengekalkan persaingan dan konflik yang dengan sendirinya mengelakkan situasi dominasi dan hegemoni. Ahmad Muzakkir & Zulqernain Haider (2016) pula mengungkapkan bahawa pluralisme politik:

“memastikan pelbagai kepentingan dan pandangan dalam masyarakat memiliki peluang untuk disuarakan dan bebas untuk bersaing, seterusnya mencipta evolusi konstruktif bagi pemikiran dan aksi masyarakat yang menolak dominasi oleh kumpulan majoriti.”

Avigail Eisenberg (1995) mendakwa bahawa pluralisme politik bukan sekadar mengenai persaingan antara pelbagai kumpulan, malah ia menawarkan wasilah untuk menyelesaikan masalah ketegangan antara kuasa politik dan pembangunan individu, antara autonomi individu dan keanggotaannya dalam kumpulan, antara individualisme dan komunitarianisme. Pluralisme politik mampu memberikan alat untuk membezakan antara ‘empowerment’ dan ‘domination’ kumpulan dalam masyarakat. Perkara ini dilakukan menerusi dua prinsip utama pluralisme politik, iaitu (1) kuasa hendaklah tidak dipusatkan kepada satu kumpulan dan (2) individu memerlukan pelbagai konteks dalam proses pembangunan dirinya. Menurutnya:

“the two central themes of political pluralism (1) the distribution of political power to vindicate interests, and (2) the distribution of political power to facilitate individual development”

Pemusatan kuasa akan membawa kepada ‘tyranny’ yang menjadi masalah yang mahu diselesaikan oleh pluralisme. Manakala individu pula ialah satu-satunya pihak yang berhak untuk menentukan bentuk identitinya, “she is the author of her life and identity”. Berhubung perkara ini, pluralis tidak menerima set moral para psychologist, apatah lagi ketentuan pihak berkuasa (state).

Solah as-Sowy (2011) berpendapat, dalam fasa penegakan negara yang melaksanakan syariah, syariat menuntut kerjasama dan tolong bantu untuk menegakkan ketuanan syarak, maka pluralisme politik yang menghalang kerjasama dan tolong bantu itu adalah pluralisme politik yang dimurkai. Kesimpulannya, beliau menerima pluralisme politik dalam kerangka prinsip-prinsip Islam, menolak pluralisme politik yang memberi laluan kepada perkumpulan kafir menjadi pemerintah.

Zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri kelima telah ditandakan oleh beberapa sarjana sebagai era baharu demokrasi di Malaysia, apabila ciri dominan dan kawal yang menjadi amalan budaya politik di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat semakin terhakis meskipun tidak secara total. Salah satu natijah besar akibat perubahan amalan budaya politik ini ialah Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Rakyat pada pilihan raya umum kedua belas tahun 2008. Suasana demokrasi era Abdullah ini yang dilihat berlanjutan sehingga ke zaman Dato’ Seri Najib, dinamakan sebagai kontra hegemoni atau counter hegemony politik orang Melayu, yang diperlihatkan menerusi tindakan masyarakat yang semakin berani menyuarakan pendapat (Noor Sulastry & Nor Azila 2013; Muhammad Nadzri Mohamed Noor dan Ghazali Mayudin 2008).

Oleh yang demikian, walaupun pluralisme politik bukanlah satu perkara yang asing bagi Malaysia, kerana sejak sekian lama ia memiliki negeri-negeri yang ditadbir secara berasingan daripada kerajaan persekutuan dan mengamalkan sikap toleransi yang membenarkan pelbagai pandangan dan pengaruh politik untuk bersama-sama wujud (Soraj Hongladarom, 2010), era kontra hegemoni yang bermula di zaman Abdullah hingga kini bolehlah dikira sebagai era pluralisme politik semakin mengukuh dan subur, lebih-lebih lagi selepas PRU14.

Pluralisme politik yang menghilangkan dominasi dan kawalan kumpulan majoriti ini (dominasi kuasa politik orang Melayu) membuka medan yang luas bagi pelbagai gerakan masyarakat madani dan kumpulan pendesak untuk menimbulkan pelbagai kenyataan dan tindakan yang mencabar kedudukan agama Islam dan mempersoalkan hak istimewa orang-orang Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018, kedudukan orang Melayu yang tidak dominan dalam kalangan kerajaan telah memindahkan segala tindakan yang mencabar status quo itu ke fasa pelaksanaan melalui perubahan polisi-polisi pentadbiran yang tidak selari dengan semangat perlembagaan.

Rujukan:
Ahmad Muzakkir & Zulqernain Haider. 2016. Pluralism, Constitutionalism and Islamic Political Thought.
Al-Ghadban, Munir Muhammad. 2012. Qadhaya Islamiyah Muasirah. Kaherah. Darus Salam.
As-Sowy, Solah. 2011. At-Taadudiyah as-Siyasiyah fi ad-Daulah al-Islamiyah. Kaherah. Darul I’lam al-Dauly.
Eisenberg, Avigail I. 1995. Reconstructing Political Pluralism. State University of New York Press.
Flathman, Richard E. 2007. Pluralism and Liberal Democracy. Florida State University.
Muhammad Nadzri Mohamed Noor & Ghazali Mayudin. 2008. Hegemoni dan kontra hegemoni: memahami perubahan pilihan raya umum Ke-12. UKM.
Noor Sulastry Yurni Ahmad & Nor Azila Mohd Azidin. 2013. Transisi Kontra Hegemoni Dalam Budaya Politik Melayu. Universiti Malaya.
Soraj Hongladarom. 2010. Basing Political Pluralism on Epistemology: The Case of Thailand’s Southern Violence. UKM.