Laungan ‘Hidup LGBT’ Cemari Perarakan Hari Wanita Sedunia.

Allah swt telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik ciptaan dan di atas fitrah masing-masing samada lelaki atau perempuan.
“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
Surah Al Tin, 95:4

Daripada kedua-duanya berkembang biak keturunan manusia dari pelbagai bangsa.
Kemudian wujud pula golongan yang tertarik sesama jantina yang dicetuskan oleh budaya barat, kononnya perjuangan melindungi hak asasi manusia.
Pada peringkat awal mereka menyendiri, namun kini suara mereka semakin lantang mempromosi secara terbuka amalan yang bertentangan dengan fitrah manusiawi.

Sehari selepas sambutan Hari Wanita Sedunia, negara kita dikejutkan dengan perarakan Women’s March yang berlangsung tanpa permit, menuntut penghapusan diskriminasi jantina dan memperkukuh hak wanita serta lain-lain tuntutan mengikut kaca mata barat.
Malangnya perarakan itu telah dicemari oleh Penyokong LGBT dengan laungan ‘Hidup Lgbt’ yang diketahui umum memperjuangkan fitrah songsang.
Walaupun kerajaan tidak iktiraf amalan ini kerana menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sivil, para penyokong LGBT berterusan mempromosi dan menghebohkan tanpa rasa malu kepada Allah swt, apatah lagi bagi yang Muslim.

Sehubungan itu Wanita Berjasa mengutuk sekeras-kerasnya desakan golongan LGBT agar masyarakat menerima budaya songsang mereka dan menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur perarakan iaitu Women’s Aid Organisation (WAO) dan Sisters In Islam(SIS) supaya insiden seumpama itu tidak akan berulang lagi dalam sejarah negara kita, menjadi barah yang sukar untuk dirawat.

Azizah Che Awang

Ketua Wanita Berjasa

Berjasa Sambut Baik Kerjasama Rasmi UMNO PAS

Oleh: Presiden BERJASA

Kerjasama rasmi yang dicapai oleh kedua-dua parti Melayu PAS dan UMNO adalah satu pencapaian amat baik di atas jalan yang betul ke arah mengembalikan semula dominasi kuasa politik di tangan orang Melayu.

Umum mengetahui bahawa orang Melayu sudah kehilangan dominasi kuasa politik sebaik sahaja kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara sejak Mei 2018. Situasi itu menyebabkan kedudukan parti chauvinis DAP, sebagai satu-satunya parti yang tersusun rapi gerak kerjanya dalam Pakatan Harapan, mengukuhkan cengkaman pengaruhnya ke atas keputusan dan pendirian kerajaan baharu ini.

Akibat kehilangan dominasi ini, kepentingan orang-orang Melayu mula diabaikan oleh kerajaan, sebagaimana yang diakui oleh beberapa pemimpin PH pasca PRK Semenyih. Malah, kebiadaban kaum minoriti terhadap agama Islam semakin menjadi-jadi.

Berjasa menyambut baik perkembangan positif ini, sambil ingin menekankan beberapa noktah penting untuk ditekuni bersama:-

1) Asas kerjasama mestilah berdasarkan prinsip Islam dalam berpolitik, iaitu tuntutan wajib memastikan dominasi kuasa politik berada di tangan majoriti muslim, yang dalam konteks Malaysia ialah orang-orang Melayu. Fungsi kuasa yang pertama ialah melindungi agama Islam dan perkara ini tidak akan tercapai jika kita kehilangan dominasi kuasa politik.

2) Kedua-dua belah pihak, UMNO dan PAS, selaku parti orang Melayu terbesar dan banyak mempengaruhi senario politik orang Melayu selama ini, perlu bermuhasabah secara tulus akan kesilapan masa lalu, yang membawa kepada tergadainya dominasi kuasa politik ke tangan orang lain. Kesilapan itu perlu dikenal pasti secara spesifik dan diungkapkan secara jelas kepada semua pengikut, agar tidak berulang lagi di masa hadapan. Kesilapan ini bukan sekadar jatuhnya sebuah atau dua buah parti, tetapi mengancam masa depan Islam di Tanah Melayu ini.

3) UMNO dan PAS juga hendaklah tidak melupakan peranan NGO Islam yang mendesak ke arah kesepakatan Melayu demi kedaulatan Islam sejak sebelum PRU13 lagi. Mereka yang tidak mempunyai kepentingan kerusi untuk dimenangi inilah yang menjana kesedaran dalam kalangan umat Islam tentang bahayanya dominasi kuasa politik di tangan bukan Islam terhadap kestabilan negara.

4) Dominasi kuasa politik bukan dicapai melalui politik kepartian sahaja. Majoriti orang Melayu tidak berparti, tetapi bertebaran dalam pelbagai badan-badan berkepentingan dan kesatuan sekerja. Sehubungan itu, agenda penyatuan ummah tidak akan terlaksana melalui wadah parti semata-mata. Agenda penyatuan ini bukan mengenai UMNO dan PAS sahaja, sebaliknya mestilah inklusif membabitkan kepimpinan umat Islam dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Berjasa bertekad untuk memainkan peranan yang lebih besar pada masa terdekat, bagi memperkukuhkan lagi barisan kepimpinan Melayu dan Islam dalam kalangan parti-parti Melayu, agar rakyat tiada lagi alasan untuk beralih arah kepada parti chauvinis untuk menangguk di air yang keruh pada masa akan datang.

الله أكبر ، ولله الحمد

Gandingan Profesional, Ulama dan Orang Muda Terajui Kepimpinan Berjasa.

Perhimpunan Agung Perwakilan Tahunan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), baru baru ini telah sepakat untuk memilih gandingan Profesional, Ulama dan Generasi Muda sebagai kepimpinan baru Parti. Mesyuarat yang bertemakan “Membangun Malaysia” bertempat di Hotel Putra, Kuala Lumpur melalui proses pengundian.

Berdasarkan undian, Dato’ Ir. Ts, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz yang merupakan bekas Timbalan Naib Canselor sebuah universiti awam telah dipilih sebagai Presiden parti yang baru. Selain itu, Timbalan dan Naib Presiden yang terpilih ialah Ustaz Haji Hamidi bin Abu Hassan, Ustaz Haji Mohd Hazizi bin Ab Rahman dan Haji Mohd Shokri bin Mahmood yang merupakan bekas calon Berjasa pada PRU 13 yang lalu.

Setiausaha Agung parti pula disandang oleh En. Abd Aziz bin Sardan yang berpengalaman menjadi pengerusi perhubungan negeri Johor bagi Parti Keadilan Rakyat. En Iqbal Abd Razak (30) pula dipilih untuk mengalas tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan pemuda dan jawatan Ketua Pergerakan Wanita disandang oleh Hajjah Azizah Che Awang yang merupakan bekas guru besar cemerlang. Akhir sekali, jawatan bendahari disandang oleh Encik Abdul Razak Jantan, aktivis Berjasa yang berpangkalan di Gombak.

Pimpinan Parti Berjasa yang baru bertekad untuk mengubah lanskap politik negara dengan memfokuskan agenda kesepakatan sebagai teras utama perjuangan parti pada sesi kali ini.

Senarai penuh AJK tertinggi adalah seperti yang dilampirkan.

Presiden: Dato’ Ir,Ts, Dr Badhrulhisham Abdul Aziz
Timbalan Presiden: Ustaz Haji Hamidi bin Abu Hassan
Naib Presiden 1: Ustaz Haji Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Naib Presiden 2: Haji Mohd Shokri bin Mahmood
Ketua Wanita: Hajjah Azizah bt Che Awang
Ketua Pemuda: En. Iqbal Hakim bin Abdul Razak
Setiausaha Agung: En. Abd Aziz bin Sardan
Bendahari: Abdul Razak bin Jantan

Menteri lembab respon bila isu sensitif babit umat Islam

Kebebasan suara tak terkawal, ada pihak ambil kesempatan hina Islam

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 19 Jamadilakhir 1440H, Ahad – Semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pemerintahan negara, kebebasan bersuara seolah-olah menjadi salah satu pegangan masyarakat.

Mana tidaknya, ada pihak dilihat mengambil kesempatan mengeluarkan kenyataan menghina dan mengganggu sensitiviti masyarakat Islam dengan sewenang-wenang, tanpa rasa takut dan bersalah, kata Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa).

Ketua Pemudanya, Iqbal Hakim Abdul Razak kesal kerana kesempatan ini digunakan mereka sehabis-habisnya untuk mewujudkan suasana tidak tenteram.

“Lebih malang, pemimpin Melayu pula seolah-olah bisu, pekak dan buta bila Islam dihina. Mereka seperti sukar untuk keluar kenyataan mengingatkan rakyat Malaysia agar menjaga sensitiviti masyarakat, kerana yang menjadi mangsa adalah umat Islam.

“Malah, menteri-menteri juga kelihatan sangat tinggi sensitiviti bila babitkan isu agama lain, tapi jika isu Islam nampak sangat mereka lembab untuk beri maklum balas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.net hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas isu penghinaan dan provokasi yang sengaja dicetuskan pihak bukan Islam sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, seorang lelaki yang ditahan kerana memuat naik status menghina Nabi Muhammad ﷺ dan isteri, Saidatina Aishah, di akaun Facebook. telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Tindakan pemilik akaun Facebook Foo Sin Wei yang menghina Rasulullah ﷺ, telah mengundang kecaman dan kemarahan netizen.

Antara status yang dimuat naik individu terbabit turut menyifatkan Baginda Rasulullah ﷺ memanipulasi kanak-kanak, dengan imej yang menggambar Nabi Muhammad ﷺ dan isteri Baginda, Siti Aisyah.

Iqbal berkata, situasi bebas bersuara tanpa menjaga sensitiviti yang berlaku ketika ini adalah kesan daripada kengganan sesetengah kumpulan dalam masyarakat untuk berasimilasi.

“Malah tindakan mereka tidak mahu menyatukan diri dengan budaya Bangsa Malaysia, iaitu budaya yang menjadikan Islam sebagai nilai rujukan menjadi punca provokasi berlaku,” katanya

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

Bekas Profesor Kanan Terajui Berjasa

Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) kini diterajui oleh Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, yang telah dipilih sebagai presiden baharu parti itu dalam mesyuarat agung tahunannya yang diadakan di Hotel Putra Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau telah meletakkan jawatannya sebagai Profesor Jusa A dan Pengarah Korporat Strategik Universiti Malaysia Kelantan untuk menerajui parti Berjasa bagi tempoh 3 tahun yang akan datang. Beliau memegang Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan Kimia dari Kyoto Universiti.

Selain pernah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Dekan dan Pengarah Pusat Penyelidikan, beliau juga mempunyai pengalaman industri selama 10 tahun bersama syarikat multinasional Amerika dan syarikat kepunyaan Tan Sri Mokhtar Bukhari, di samping menjadi pakar rujuk dalam isu Lynas dan isu Malaysian Board of Technologists (MBOT).

Pengalaman politik selama 20 tahun pula menyaksikan beliau pernah memegang jawatan peringkat kawasan dan negeri dalam parti politik, beberapa kali dilantik sebagai Pengarah Majlis Tindakan DUN dalam Pilihanraya Umum dan Pilihanraya Kecil. Beliau salah seorang perancang utama di sebalik kebangkitan luar biasa Berjasa pada PRU13.

Beliau akan dibantu oleh barisan ahli jawatankuasa parti yang menggabungkan tenaga lama dan baharu, terdiri daripada anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang pendidikan seperti ekonomi, kejuruteraan, perakaunan, ukur bahan, undang-undang, pendidikan Islam dan lain-lain.

Parti Berjasa yang menganggotai Gagasan Sejahtera bersama-sama PAS, Ikatan dan Parti Cinta Malaysia, berhasrat untuk menjadi parti pilihan utama orang Melayu dan Islam dalam memperjuangkan kedaulatan Islam di negara yang tercinta ini.

PRK Semenyih: Pemuda Berjasa, PAS dan UMNO sepakat ketengah calon muslim wibawa

Kesepakatan ummah bukan retorik, mampu gerunkan pelampau DAP

BANGI, 6 Jamadilakhir 1440H, Isnin – Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih diyakini mampu menjadi bantu loncatan untuk kesepakatan ummah yang akan digeruni pihak lawan, khususnya parti pelampau DAP dan sekutu-sekutunya.

Pemuda Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) mengakui hanya dengan kesepakatan, tentangan pihak anti-Islam akan menjadi semakin tidak relevan di mata masyarakat, dek mengamalkan budaya politik menghasut dan memfitnah.

Sehubungan itu, Ketua Pemudanya, Iqbal Hakim Abdul Razak menyatakan hasrat untuk terus menyokong dan bersama-sama dalam usaha merapatkan saf serta menyuburkan kesepakatan antara parti politik orang Melayu, termasuk PAS dan UMNO.

Sebelum ini, Berjasa membuat kemunculan amat unik pada PRU13, bertanding semata-mata untuk mengangkat seruan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ dan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’.

Tindakan itu katanya, selepas melihat perpecahan kronik antara orang Melayu yang menatijahkan kaum minoriti mengambil peluang ke atas perpecahan ini.

“Ternyata selepas hilang dominasi politik, orang Melayu kini menyambut baik kedua-dua slogan. Hakikatnya, parti politik Melayu muslim tidak ada pilihan, melainkan dengan menampilkan calon-calon yang berwibawa untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. PRK Semenyih akan menjadi penentu.

“Seandainya gagal, maka tidak mustahil rakyat terutamanya golongan muda dan pengundi atas pagar menolak mereka sekali lagi. Pasca PRU14 menyaksikan orang Melayu bangkit dan menyuarakan kehendak mereka untuk menyaksikan kesepakatan umat adalah satu realiti, bukan retorik,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Ikbal yakin seruan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ akan membuktikan betapa pentingnya parti politik mengetengahkan calon-calon berintegriti dan mendokong agenda kesepakatan orang Melayu.

“Calon inilah bakal memimpin rakyat, mengemudi hala tuju negara untuk menggapai kesejahteraan dan kemakmuran. Jika calon wakil rakyat yang ditampilkan tidak berintegriti dan tidak telus, mana mungkin mereka mampu mengemudi negara.

“Jika kita lihat pemimpin hari ini, ada yang sanggup dan tidak malu untuk menipu mengenai kelayakan akademik mereka demi mendapatkan kuasa, Mereka tidak telus melaksanakan amanah dan sanggup mengamalkan kronisme untuk ahli parti mereka dan sekutu-sekutu politik mereka?,” katanya.

Semalam, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan untuk bersepakat meneruskan kerjasama politik bersama PAS dan Berjasa pada PRK Semenyih 2 Mac depan.

Katanya, pihaknya bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas bagi memperincikan program, gerak kerja sebagai pembangkang untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani isu berkaitan rakyat.

“Kami bersepakat untuk ahli-ahli UMNO, PAS, Ikatan dan Berjasa turun mengundi, dan pastikan seramai mungkin mereka yang tidak berparti untuk bersama-sama mendukung calon BN yang bakal ditentukan nanti,” katanya.

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

PRK Semenyih: Berjasa sedia bantu calon muslim wibawa

Tidak bersekongkol dengan parti anti-Islam syarat kerjasama parti ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’

BANGI, 3 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) bersedia membantu calon muslim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih 2 Mac ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan mengingatkan, calon muslim berkenaan mestilah seorang yang adil, berintegriti dan tidak bersekongkol dengan parti yang anti kepada kemajuan Islam selaras dengan slogan parti itu iaitu ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Abd Aziz berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Berjasa mula menampilkan calon Melayu untuk memberi pilihan kepada pengundi meletakkan calon di mana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat ketika itu diwakili bukan muslim. 

“Dalam PRU14 pula, ketika PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan membentuk Gagasan Sejahtera (GS), Berjasa lebih memberi penghormatan kepada calon PAS untuk bertanding malah Berjasa turut membantu calon dalam rakan GS.

“Selain itu, seruan Berjasa untuk kesepakatan Melayu juga semakin disambut baik,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bakhtiar Mohd Nor yang juga anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggal dunia.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada 11 Januari lalu, DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih yang layak mengundi bagi PRK itu.

Pengundi Melayu menjadi majoriti dengan 67.71 peratus; Cina (16.69 peratus); India (13.73 peratus); dan lain-lain kaum (1.86 peratus).

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

Dominasi DAP mungkar, perlu ditamatkan segera: Berjasa

Parti politik perlu adakan pakatan baharu kembalikan dominasi kuasa orang Melayu

BANGI, 17 Jamadilawal 1440H, Rabu – Dominasi parti tamak haloba, DAP ke atas kerajaan Malaysia adalah satu kemungkaran yang perlu ditamatkan segera, tegas Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merombak kerajaan Pakatan Harapan sedia ada, yang disifatkan gagal membela nasib rakyat. 

Maka sekali gus katanya, parti-parti Melayu boleh mengadakan pakatan baharu bagi mengembalikan semula kuasa dominasi politik orang Melayu.

“Selepas umat Islam kehilangan dominasi ekonomi ke tangan penjajah, yang kemudiannya diwarisi oleh kaum Cina, kini umat Islam kehilangan dominasi kuasa politik, sehingga mudah dipercaturkan oleh parti cauvinis DAP. 

“Akibatnya, terlalu banyak kes yang menimbulkan perasaan tidak puas hati orang Melayu timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ustaz Hazizi menegaskan, Perdana Menteri perlu melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal, kerana ia melibatkan kaum majoriti. 

“Tubuhkan blok kepartian baharu yang memberikan dominasi kembali kepada orang Melayu, atau bubarkan Parlimen bagi memberi jalan pilihan raya lebih awal,” katanya. 

Terdahulu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Abdullah Zaik Abd Rahman menyarankan Dr Mahathir supaya membubarkan Parlimen kerana pemerintahan kini didominasi DAP.

Malah, Ustaz Abdullah berkata, Dr Mahathir juga dilihat hampir hilang kawalan sepenuhnya ke atas pemerintahan dan anggota Kabinet.

Beliau berkata, keadaan ini sangat berbahaya kepada negara dalam semua sudut, sama ada politik, ekonomi, perpaduan, keselamatan dan memerlukan tindakan tuntas daripada pemimpin negara itu.

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

PRK Cameron Highlands: Berjasa tak letak calon

Berjasa akan terus perjuang agenda Melayu dan Islam

BANGI, 3 Jamadilawal 1440H, Rabu – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) mengumumkan tidak akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, yang akan diadakan pada 26 Januari ini.

Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan dalam satu kenyataan hari ini berkata, setelah mengambil kira pelbagai faktor, Jawatankuasa Pusat parti itu membuat keputusan untuk tidak bertanding di PRK berkenaan.

“Berjasa secara rasminya tidak akan bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) bagi P078 Cameron Highlands yang bakal berlangsung. Keputusan ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat Berjasa setelah mengambil kira pelbagai faktor untuk PRK kali ini,” katanya.

Katanya, Berjasa mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi yang sentiasa komited menyokong perjuangan parti itu, sepanjang keterlibatan mereka di Parlimen Cameron Highlands.

“Berjasa akan komited memperjuangkan agenda Melayu dan Islam serta memartabatkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berjasa sinonim dengan Parlimen Cameron Highlands, apabila pada PRU13 dan PRU14, parti itu meletakkan calon untuk bertanding di sana.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandangnya, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya 9 Mei lalu, selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh menang di Parlimen berkenaan, membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran; calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud; calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim dan calon PSM, B Suresh Kumar.

Berjasa Meneruskan Semangat dan Perjuangan Arus Baru

Melalui kepimpinan baharu, Berjasa bertekad untuk meneruskan aspirasi dan cita-cita perjuangan Arus Baru bagi mengembalikan dominasi Orang Melayu sebagai kaum majoriti di persada politik tanah air.

Dengan laungan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’, Berjasa beriltizam untuk memastikan kesepakatan Melayu yang bakal dicapai akan menjamin kestabilan dan keharmonian negara Malaysia.

Gaya politik baharu yang ditampilkan Arus Baru semasa pasca PRU13 yang lalu akan diteruskan oleh kepimpinan Berjasa yang terdiri daripada gabungan profesional dan ulama. Di samping majoriti ahli Berjasa adalah golongan belia dan pemuda, Berjasa akan terus mengetengahkan kepimpinan muda yang bakal meneraju politik tanah air ke dimensi yang berbeza.

Berjasa tetap meletakkan hasrat untuk mengukuhkan status negara Islam di Malaysia sepertimana yang telah dilaungkan oleh Arus Baru sejak 2013.

Semoga tekad dan iltizam ini akan terus membumi dan disambut oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

Abd Aziz Bin Sardan

Setiausaha Agung Berjasa