Dato’ Mohamad Ezam Bin Mohd Nor sah sertai BERJASA

KENYATAAN MEDIA RASMI PARTI BERJASA

1. BERJASA mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dato’ Mohamad Ezam Bin Mohd Nor yang telah mendaftar sebagai ahli BERJASA pada tanggal 1 Mei 2022 yang lalu.

2. Penyertaan beliau ternyata menjadi bualan ramai, walaupun sebenarnya ia tidaklah begitu mengejutkan kerana BERJASA sememangnya telah mencatatkan peningkatan keahlian yang memberangsangkan sejak setahun yang lalu.

3. BERJASA yang terkenal sebagai sebuah parti kepimpinan baharu yang menampilkan gaya politik berteraskan integriti, hikmah dan mempertahankan watan (tanahair) sentiasa terbuka dan berbesar hati menerima masuk mana-mana tokoh politik mahupun figura nasional yang bersetuju dengan agenda serta prinsip parti.

4. BERJASA juga sentiasa terbuka dalam membentuk permuafakatan politik baharu yang lebih segar, sebagai solusi kepada kemelut kredibiliti dan konflik kestabilan politik yang melanda negara disebabkan ketamakan parti-parti utama besar negara.

5. Semoga dengan penyertaan Dato’ Ezam akan dapat merancakkan lagi gerak kerja parti terutama menjelang PRU-15 akan datang.
‘BERSAMA PIMPIN NEGARA’

Ir. Ts. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Setiausaha Agung BERJASA

Segera bentang rang undang-undang akta Pendanaan Politik

PARTI BERJASA GESA SEGERA PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PENDANAAN POLITIK

1. Selain daripada Akta Anti Lompat Parti yang hangat diperkatakan kebanyakkan Ahli Parlimen kini, saya menggesa supaya disegerakan juga pembentangan rang undang-undang yang dinamakan sebagai Akta Pendanaan Politik (“APP”) untuk dibentangkan dalam Parlimen seterusnya diluluskan sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 nanti.

2. Akta Pendanaan Politik amat penting bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi negara. Ketiadaan undang-undang sebegini merupanakan antara punca mengapa rasuah dan politik wang berleluasa.

3. Ahli Politik memerlukan dana yang banyak untuk membiayai perjalanan kempen politik mereka sehingga terpaksa bergantung harap kepada dana yang diberikan oleh taikun-taikun perniagaan dan syarikat-syarikat korporate besar yang sudah pasti mengharapkan imbuhan sebagai timbal balik terhadap jutaan wang yang diberi kepada ahli politik.

4. Senario inilah yang memungkinkan budaya rasuah berleluasa. Ahli politik yang menang PRU kelak terasa berhutang budi dengan pendana politik mereka. Lantas segala dasar dan polisi yang bakal digubal sudah tentu tidak boleh memberi kesan terhadap sumber pendapatan taikun-taikun perniagaan ini. Sebagai contoh sekiranya kerajaan mahu melaksanakan kawalan harga hartanah atau menyekat kenaikan harga barang dalam industri dimonopoli taikun perniagaan tertentu sudah pasti tidak akan berjaya kerana rasa terhutang budi.

5. Hal yang sama berlaku apabila melibatkan keputusan untuk memberikan lessen-lesen perniagaan, keluusan tanah dan sebagainya sudah pasti mewujudkan konflik kepentingan atau ‘conflict of interest’ yang akhirnya menidakkan sebuah ketelusan dalam proses pentadbiran dan pengurusan.

6. Kitaran ini akan berterusan. Dari satu PRU ke PRU yang lain. Implikasinya cukup besar terhadap sistem demokrasi negara. Selain membudayakan politik wang, senario ini juga menatijahkan ketidakadilan kepada parti-parti kecil dan individu yang bebas tidak diikat dengan mana-mana taikun-taikun perniagaan untuk menawarkan diri dalam pentas demokrasi di Malaysia. Ini menjadikan sistem demokrasi di Malaysia kekal cacat.

7. Tidak sepatutnya ahli-ahli Parlimen kita melambat-lambatkan usaha ke arah merealisasikan Akta Pendanaan Politik. 116 buah negara di dunia telahpun mempunyai akta yang serupa. Ada negara yang menyediakan geran khas untuk parti-parti politik dan ada juga kaedah penguatkusaaan bagi memastikan ketelusan semua pihak.

8. Sebagai contoh di Jerman, setiap parti berdaftar diberi dana khas setiap tahun berdasarkan jumlah undi yang diperoleh dalam pilihanraya lalu. Begitu juga dengan negara jiran kita Indonesia yang mana kerajaan pemerintah menyalurkan Bantuan Dana Partai Politik (Banpol) kepada parti politik yang menyertai pilihanraya negara itu.

9. Jiran disebelah selatan kita pula Singapura telah menguatkuasakan undang-undang pembiayaan politik melalui Political Donations Act & Regulations sejak 2001 yang mengharamkan mana-mana parti menerima dana luar atau derma asing.

10. Di United Kingdom setiap parti wajib melaporkan kepada UK Electoral Commission jumlah derma yang diterima dari pihak lain dan ianya akan dimuat naik dan dizahirkan dalam laman web rasmi badan itu. Walaupun masih banyak kritikan terhadap prosesnya tetapi sekurang-kurangnya memberi indikator ketelusan atau ‘transparency’ dalam proses pendanaan politik dan mengurangkan risiko konflik kepentingan.

11. Di Ireland pula Perlembagaan negara itu telah dipinda untuk mewujudkan sebuah daftar penderma korporat yang mewajibkan semua identiti penderma kepada parti politik didedahkan dan mana-mana projek kerajaan tidak boleh dianugerahkan secara langsung kepada penderma korporat ini dalam tempoh tertentu. Sekiranya ada jumlah projek perlu didedahkan kepada umum.

Hazwan Mohamad
Ketua Penerangan parti BERJASA

Mantan JK Fatwa Negeri Sembilan dilantik sebagai Presiden baharu BERJASA

Ustaz Zamani bin Ibrahim telah dilantik sebagai Presiden Parti BERJASA yang baharu berkuat kuasa 27 Mac 2021.

Pelantikan beliau diputuskan dalam Sidang Dewan Kepimpinan Nasional BERJASA di D’Alpinia Bussiness Park, Puchong bagi menggantikan Dato’ Ts. Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz.

Ustaz Zamani berpengalaman lebih 29 tahun berkhidmat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan sebagai Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan.

DKN dalam satu kenyataan hari ini turut memaklumkan barisan baharu ahli Dewan Kepimpinan Nasional itu bagi sesi 2021 hingga 2024.

Kepimpinan Baharu Malaysia ancaman kepada pemimpin yang tidak berwibawa dan korup

Anak muda rasa seolah-olah tidak ada harapan untuk mengubah politik lama yang sedang mencengkam citra politik Malaysia. Dipenuhi dengan wajah orang lama yang tidak berwibawa, dibebani beban korupsi wang dan moral, menggunakan pangkat dan wang untuk membeli sesiapa sahaja atau apa sahaja untuk terus menerus kekal berkuasa. ‘Warlord’ politik ini ada dalam kebanyakkan parti dan menyebabkan anak muda yang berwibawa, berkredibel dan besar cita-cita hilang dari radar politik negara.

Suasana politik lama ini akhirnya membawa kepada sebuah persekitaran politik yang tidak sihat buat negara. Budaya memuja ‘warlord’ ini melahirkan pengikut yang membuta tuli menyokong pemimpin walaupun terpaksa mengiyakan sebuah kesilapan.

Lebih malang lagi, budaya ini menatijahkan banyak dasar serta polisi pembangunan negara masih ditakuk lama. Tidak banyak yang berubah. Soal pembangunan belia, peluang pekerjaan, kenaikan tangga gaji, kos sara hidup dibandar, akses internet luar bandar, ketidakseimbangan pembangunan bandar luar bandar, akses kepada pendidikan yang adil untuk semua dan banyak lagi isu rakyat terpaksa diketepikan hasil cengkaman politik lama
yang sukar untuk berubah.

Sebab itulah, parti BERJASA mengangkat seruan agar kita perlu berani untuk memilih ‘Kepimpinan Baharu Malaysia’. Bila bercerita tentang politik lama, maka mesti ada imbal balasnya iaitu sebuah politik baharu.

Maka BERJASA membawa kepada seluruh rakyat Malaysia, untuk kita bersama membuat arus baru memilih wakil-wakil rakyat dari kalangan muka-muka baharu yang bebas dari beban politik korupsi wang dan moral, yang berwibawa, yang mempunyai integrity dan kredibiliti untuk memimpin negara.

Dengan memilih wakil-wakil rakyat yang akan dihantar ke Parlimen nanti, barulah kita boleh membawa sebuah citra politik baharu dalam negara. Kita punya agenda yang lebih besar. Halatuju sebuah negara untuk menjadi kuasa ekonomi baharu untuk rantau ini, untuk memiliki sebuah kestabilan politik, memperkukuhkan kedaulatan dan pertahanan negara, menjaga ekonomi perut rakyat Malaysia tanpa mengira kepelbagaian, bermula dengan memilih wakil rakyat yang berwibawa ke Parlimen.

Hazwan Mohamad

Majlis Raja-Raja perlu campur tangan isu kalimah Allah

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengesyorkan supaya Majlis Raja-Raja segera campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan Islam.

Ketua Wanitanya, Azizah Che Awang berkata, Majlis Raja-Raja adalah suatu institusi berperlembagaan yang kuasanya ditetapkan dan dihadkan oleh Perlembagaan.

Pun begitu, tegasnya, rakyat mempunyai keyakinan bahawa ahli Majlis Raja-Raja sentiasa bersikap rasional dan berhemah tinggi, kerana meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan yang lain dan melaksanakan fungsi seperti apa yang sepatutnya dilakukan.

“Menjadi harapan rakyat kepada Majlis Raja-Raja untuk ‘menimbang teliti’ isu kalimah Allah dalam mempertahankan kedaulatan watan dan ketinggian agama Islam agar terus terpelihara dan dihormati.

“….selaras dengan Perlembagaan Persekutuan di mana Fasal (2)(C) Perkara 38 memperuntukkan: ‘…dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara dan apa-apa perkara lain yang difikirkan patut.’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Azizah menegaskan, jika isu ini tidak mampu diselesaikan dengan harmoni oleh pihak berautoriti, dibimbangi ia bakal mencetus ketegangan antara agama dan kaum di negara ini.

Ini kerana, perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah yang Maha Esa.

Manakala, lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian merujuk kepada Tuhan Bapa iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti (Yahweh, Yesus dan Elohim).

“Ini jelas menunjukkan penggunaan nama yang sama untuk merujuk dua identiti yang berbeza amatlah tidak munasabah.

“Menyebut Allah bukanlah suatu kesalahan ke atas yang bukan Islam. Yang menjadi kesalahan adalah apabila lafaz Allah dikaitkan dengan konsep triniti, ‘Allah adalah bapa Yesus’ atau ‘Allah mempunyai anak’.

“Inilah perkara yang dibantah dan dibimbangi oleh umat Islam apabila kalimah ini dibenarkan penggunaannya secara meluas oleh penganut Kristian Malaysia,” katanya.

Lebih membimbangkan, tegas Azizah, implikasinya kepada masyarakat yang tercicir daripada pendekatan dakwah Islam terutama di kawasan pedalaman yang tiada akses kepada dakwah Islam, selain mereka yang tinggal di bandar yang berfikiran liberal.

Justeru, beliau menyambut baik tindakan beberapa pihak atas segala usaha ke arah mencapai penyelesaian yang sepatutnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada gabungan NGO-NGO Islam dan tokoh-tokoh masyarakat yang telah mengemukakan enam resolusi kepada pihak berwajib.

“Begitu juga dengan tindakan Kementerian dalam Negeri (KDN) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Bahkan, kesepakatan Mufti Bersama Panel Kajian Akidah dan Penasihat Undang-undang JAKIM juga telah berjaya menghasilkan Resolusi yang akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Difahamkan, keputusan kes berkenaan mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Masjid tempat berhimpun paling selamat

Saya senaraikan enam sebab yang menjadikan masjid tempat perhimpunan yang paling selamat di musim pandemik Covid-19 ini.

Jemaah masjid sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid, tidak seperti di kedai makan dan medan selera di pasaraya gergasi, yang membuka pelitup muka untuk makan dan minum. Saya sendiri tidak membuka pelitup muka semasa memberi kuliah dan mengimamkan solat.

Jemaah masjid akan menghabiskan 90% masanya di satu tempat tertentu dalam masjid, iaitu di tempat dia bersolat wajib dan sunat, tanpa bergerak ke sana ke mari, tidak seperti pengunjung-pengunjung pasaraya dan tempat-tempat lain. Kurangnya pergerakan individu mengurangkan risiko bersentuhan dan jarak kurang satu meter.

Jemaah masjid menghabiskan 90% masanya dalam masjid dengan berdiri dan duduk di atas sejadah masing-masing, tidak seperti pengunjung kedai makan yang duduk di atas kerusi dan makan di meja yang digunakan silih berganti, tanpa apa-apa alas peribadi yang dibawa dari rumah.

Peraturan jalan sehala lebih mudah diamalkan di masjid kerana faktor waktu masuk dan waktu keluar. Jemaah masjid masuk di awal waktu, dan keluar selepas selesai menunaikan solat berjemaah. Hanya lima waktu sahaja sehari semalam. Pengunjung pasaraya dan kedai makan keluar masuk secara berterusan sepanjang masa operasi, menyebabkan disiplin terhadap peraturan jalan sehala sukar dikawal.

Jemaah masjid akan berwuduk terlebih dahulu sebelum masuk ke masjid untuk solat. Jika pun air tidak mematikan virus, sekurang-kurangnya air mengalir yang membasuh muka, tangan dan kaki boleh membawa pergi kuman yang ada. Ini tambahan kepada prosedur menyucikan tangan dengan bahan sanitasi yang disediakan di pintu masuk masjid.

Kita tidak dengar lagi kluster masjid yang besar sesudah kes di masjid tempat perhimpunan jemaah tabligh dahulu, yang berlaku ketika rakyat belum ada kesedaran tentang Covid-19 dan belum ada lagi SoP seperti hari ini. Ini bukti bahawa masjid adalah tempat berhimpun paling selamat selagi SoP yang ditetapkan boleh dipatuhi.

Semoga tulisan ini boleh membuka mata pihak-pihak yang berwajib supaya tidak “merantai” masjid secara berlebihan berbanding kedai makan dan pasaraya.

Hukum diletak atas realiti. Realiti masjid sudah tentu berbeza dengan realiti tempat-tempat lain. Selepas berlalu tempoh masa lebih 10 bulan amalan SoP masjid diamalkan, sayugia realiti itu diteliti semula, agar letak duduk hukum dapat ditempatkan dengan tepat sepanjang masa.

Ustaz Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Masjid Tempat Berhimpun Paling Selamat

Saya senaraikan enam sebab yang menjadikan masjid tempat perhimpunan yang paling selamat di musim pandemik Covid-19 ini.

Jemaah masjid sentiasa memakai pelitup muka sepanjang berada di masjid, tidak seperti di kedai makan dan medan selera di pasaraya gergasi, yang membuka pelitup muka untuk makan dan minum. Saya sendiri tidak membuka pelitup muka semasa memberi kuliah dan mengimamkan solat.

Jemaah masjid akan menghabiskan 90% masanya di satu tempat tertentu dalam masjid, iaitu di tempat dia bersolat wajib dan sunat, tanpa bergerak ke sana ke mari, tidak seperti pengunjung-pengunjung pasaraya dan tempat-tempat lain. Kurangnya pergerakan individu mengurangkan risiko bersentuhan dan jarak kurang satu meter.

Jemaah masjid menghabiskan 90% masanya dalam masjid dengan berdiri dan duduk di atas sejadah masing-masing, tidak seperti pengunjung kedai makan yang duduk di atas kerusi dan makan di meja yang digunakan silih berganti, tanpa apa-apa alas peribadi yang dibawa dari rumah.

Peraturan jalan sehala lebih mudah diamalkan di masjid kerana faktor waktu masuk dan waktu keluar. Jemaah masjid masuk di awal waktu, dan keluar selepas selesai menunaikan solat berjemaah. Hanya lima waktu sahaja sehari semalam. Pengunjung pasaraya dan kedai makan keluar masuk secara berterusan sepanjang masa operasi, menyebabkan disiplin terhadap peraturan jalan sehala sukar dikawal.

Jemaah masjid akan berwuduk terlebih dahulu sebelum masuk ke masjid untuk solat. Jika pun air tidak mematikan virus, sekurang-kurangnya air mengalir yang membasuh muka, tangan dan kaki boleh membawa pergi kuman yang ada. Ini tambahan kepada prosedur menyucikan tangan dengan bahan sanitasi yang disediakan di pintu masuk masjid.

Kita tidak dengar lagi kluster masjid yang besar sesudah kes di masjid tempat perhimpunan jemaah tabligh dahulu, yang berlaku ketika rakyat belum ada kesedaran tentang Covid-19 dan belum ada lagi SoP seperti hari ini. Ini bukti bahawa masjid adalah tempat berhimpun paling selamat selagi SoP yang ditetapkan boleh dipatuhi.

Semoga tulisan ini boleh membuka mata pihak-pihak yang berwajib supaya tidak “merantai” masjid secara berlebihan berbanding kedai makan dan pasaraya.

Hukum diletak atas realiti. Realiti masjid sudah tentu berbeza dengan realiti tempat-tempat lain. Selepas berlalu tempoh masa lebih 10 bulan amalan SoP masjid diamalkan, sayugia realiti itu diteliti semula, agar letak duduk hukum dapat ditempatkan dengan tepat sepanjang masa.

Ustaz Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

UMNO berani dengan DAP sahaja. Waktu MCA pertahankan komunis, dia jadi bisu !

Johor Bahru : Hari ini, Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng menyelar tindakan polis yang menurunkan gambar pemimpin revolusi komunis Mao Tse Tung disalah sebuah restoran makanan sebagai terlalu keras dan sensitif.

Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA) Johor , AD Satiman ketika dihubungi menyifatkan pekara ini adalah kerana UMNO telah memberikan talian hayat kepada MCA untuk terus bernafas selepas PRU14 yang lalu.

“Pelik sikit UMNO hari ini. Dia berani dengan DAP sahaja, waktu MCA pertahankan komunis, dia jadi bisu.

“MCA hari ini semakin berani kerana UMNO takut untuk menegur tindakan biadap mereka hari demi hari. Tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi yang berani menegur tindakan MCA semenjak daripada pasca PRU14 termasuklah presiden mereka Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi.

“Mereka hanya jadi parti Melayu yang bacul dan sanggup memberi kuasa dan jawatan strategik kepada MCA untuk terus berkuasa memperkuat hegemoni anti perpaduan.

“Kalau betul UMNO berani dan kuat, tinggalkan sahaja MCA dan fokus perjuangkan identiti negara ini tanpa perlu rasa bersalah lagi dengan MCA.

Tambah beliau lagi, “Orang Melayu mahukan pemimpin yang ikhlas berjuang untuk Agama, Bangsa dan Tanah Air kita. Bukannya jadi pemimpin yang penakut dan pengkhianat. – Wartawan BERJASA

Perkasakan pendidikan akidah untuk anak-anak kita

Pendidikan aqidah diperingkat sekolah, jangan dikuat kuasakan sekadar melepas batuk di tangga sahaja.

Dalam kemelut sosial dewasa ini, dengan pelbagai masalah umat yang timbul, tidak dapat tidak, kita terpanggil untuk meneliti kembali pegangan aqidah anak-anak muda kita terutamanya, mengapa begitu rapuh sekali?

Terlalu mudah soal-soal agama itu dikesampingkan, seolah-olah tiada lagi rasa gerun dalam hati-hati mereka terhadap murka Allah, dek keceluparan tindakan mereka yang membabitkan isu penegakkan syariat Allah dalam diri, keluarga, masyarakat mahu pun negara.

Sekiranya pihak berwajib meneliti kembali keberkesanan pendidikan aqidah di sekolah bahkan di IPT juga, pasti gejala-gejala yang memperlekehkan, yakni memandang enteng akan isu-isu dan kelakuan-kelakuan yang mencalar dan merobek aqidah anak bangsa kita dapat dibendung, disemak dan dipulihkan sesuai dengan tanggungjawab badan tersebut dalam memelihara aqidah rakyat, terutamanya dikalangan anak-anak muda.

Kesejahteraan satu-satu tamadun, yang disebut sebagai satu peradaban, bukanlah semata-mata atas faktor keselesaan hidup yang membahagiakan, kemodenan teknologi yang memakmurkan dan kebebasan individu menjalani kehidupan masing-masing, tetapi penekanan terhadap tindak tanduk manusia terhadap penciptanya dan peraturan-peraturan hidup yang ditetapkanNya. Itulah faktor utama yang patut dipandang serius terlebih dahulu. Selesaikan bab penting ini dengan baik, maka bab-bab lainnya akan turut dalam kebaikan.

Peradaban sebuah negara Islam seperti Malaysia, mestilah diuli, dicanai dan dibentuk mengikut acuan ideologi Islam yang syumul lagi kamil, bermula dengan kefahaman aqidah yang benar dan sejahtera.

Sesuai dengan kerangka peradaban seperti dalam ayat 56, surah Adz Zariyat yang bermaksud:

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia itu, melainkan untuk menyembahKu”

Maka jadilah kita makhlukNya yang membina tamadun atas asas-asas perhambaan dan pengabdian kepada Allah swt semata, Pencipta kita dan Pencipta alam seluruhnya.

Perkasakanlah pendidikan aqidah diseluruh peringkat, agar peradaban dibina dalam kerangka keredhaan Allah jua.

Datin Noorzaimen A Kadir
AJK Wanita BERJASA

Teguran Sultan Perak adalah petanda pemimpin Melayu kita masih gilakan kuasa

Kuala Kangsar : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah krisis politik hingga menyebabkan pertukaran kerajaan dan Menteri Besar bukanlah perkara yang boleh dibanggakan.

Ketua Angkasa Pemuda Pemudi BERJASA (ANGKASA) Perak, Azizat Zainal hari ini menegaskan pemimpin yang tidak ikhlas berjuang, akan sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan kuasa demi habuan peribadi mereka.

“Dalam keadaan krisis ekonomi dan kesihatan yang peluh pulih ini, sebahagian pemimpin Melayu kita masih lagi sibuk bertelagah untuk mendapatkan jawatan dan melobi jawatan kepada anak-anak buah mereka.

“Mereka lebih sibuk mencari jawatan daripada sibuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Rakyat akan terus kecewa dengan sikap mereka ini yang mempermainkan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Mereka sepatutnya bekerja siang dan malam untuk membantu rakyat dan bukannya sibuk mengejar jawatan dan habuan untuk parti mereka.

Tambahnya lagi, “PRU 15 nanti, kita minta rakyat menilai semula wajah-wajah pemimpin ini yang telah sentiasa berpolitik tanpa sempadan waktu.

“Rakyat perlu bijak memilih pemimpin Melayu yang betul-betul ikhlas berjuang untuk rakyat” – Katanya kepada wartawan BERJASA.