SIYASAH DAN POLITIK

Perkataan siyasah terdapat dalam satu hadith Nabi S.A.W.:

“كَانَتْ بَنُو اِسْرَائِيْلَ تَسُوْسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِيْ وَسَيَكُوْنُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُوْنَ…”

Maksudnya: “Adalah Bani Israel itu dahulu, para nabi yang memimpin mereka. Setiap kali wafat seorang nabi, maka seorang nabi yang lain menggantikannya. Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku. Akan ada khulafa’ dan mereka itu ramai…”

Siyasah dalam hadith di atas mengenai erti memimpin dan mengetuai.

Apabila seorang ulama Syafie menegaskan bahawa “Tiada siyasah kecuali yang menepati syarak”, maka Ibnu Aqil memberikan respon berikut, yang mengandungi definisi siyasah:

“Siyasah ialah apa sahaja tindakan yang menyebabkan manusia menjadi lebih dekat dengan kebaikan ( الصَلاح ) dan lebih jauh daripada kerosakan ( الفَسَاد ), walaupun ar-Rasul tidak menetapkan tindakan itu dan tiada turun wahyu (spesifik) mengenainya. Jika engkau bermaksud daripada kalammu “kecuali yang menepati syarak” itu ialah tidak menyanggahi apa yang dituturkan oleh syarak, maka betullah. Jika engkau bermaksud tiada siyasah kecuali yang dituturkan oleh syarak, maka salah, dan menyalahkan (tindakan-tindakan) para sahabat”.

Terdapat dua kata kunci dalam definisi siyasah yang diberikan oleh Ibnu Aqil itu. Pertama ialah ( الصَلاح ) yang sama kata akarnya dengan maslahah, dan ( الفَسَاد ) yang sama kata akarnya dengan mafsadah. Maslahah erti mudahnya ialah manfaat dan kepentingan, manakala mafsadah erti mudahnya ialah kerosakan, keburukan dan kemudaratan.

Kata kunci yang kedua ialah menepati syarak. Ini bermaksud walaupun tindakan siyasah itu tidak mempunyai dalil spesifik daripada al-Quran dan as-Sunnah, ia mestilah menepati kehendak syarak, dengan maksud berada dalam kerangka yang diizinkan oleh syarak, tidak menyalahi mana-mana dalil sedia ada.

Politik digunakan dalam konteks pemerintahan sesuatu komuniti kaum, negara dan dunia antarabangsa. Manakala siyasah lebih luas daripada itu, termasuk dalam konteks tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa dan guru demi mendatangkan kebaikan dan menjauhkan kerosakan berdasarkan definisi Ibnu Aqil di atas.

Siyasah juga diamalkan dalam bidang ekonomi, undang-undang, pendidikan dan sebagainya. Perbahasan mengenai pemerintahan sesebuah negara hanyalah satu juzuk daripada siyasah.

HAPUS ‘ISLAM’ DI IC: PEMERINTAH BACUL JIKA TUNDUK PADA DAP

Perkataan agama Islam yang tertera pada kad pengenalan mempunyai asas syariah yang kukuh; hukum yang berasaskan siyasah, maslahah dan Maqasid Syariah.

al-Imam al-Ghazali berkata:
نعني بالمصلحة المحافظة على مقصود الشرع، ومقصود الشرع من الخلق خمسة، وهو أن يحفظ عليهم دينهم، وأنفسهم، وعقلهم، ونسلهم، ومالهم، فكل ما يتضمن حفظ هذه الأصول الخمسة فهو مصلحة، وكل ما يفوت هذه الأصول فهو مفسدة، ودفعها مصلحة

Maksudnya:
“Kami maksudkan dengan maslahah ialah memelihara kehendak syarak (Allah Taala). Kehendak syarak ke atas makhluk ada lima, iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta mereka. Maka setiap sesuatu yang mengandungi elemen menjaga kelima-lima asas ini maka itu adalah maslahah. Setiap sesuatu yang menghilangkan asas-asas itu maka itu adalah mafsadah dan menolaknya (mafsadah itu) adalah maslahah”

al-Allamah Ibnul Qaiyim menegaskan dalam kitab إعلام الموقعين bahawa Maqasid Syariah itu tidak tercapai kecuali melalui wasilah-wasilah tertentu. Maka hukum wasilah itu adalah sama dengan hukum Maqasid yang dicapai melaluinya. Ertinya, jika ketaatan tertentu itu sunat, maka wasilah yang membawa kepada ketaatan itu juga adalah sunat hukumnya. Jika maksiat tertentu itu hukumnya haram, maka wasilah yang membawa kepada maksiat itu juga haram. Begitulah seterusnya untuk hukum wajib dan lain-lain.

Salah satu maslahah utama di sebalik terteranya perkataan agama Islam pada kad pengenalan seseorang muslim ialah untuk menutup wasilah yang boleh membawa kepada mafsadah, iaitu berleluasanya maksiat dan kekufuran tanpa sebarang tindakan undang-undang yang boleh diambil untuk mencegahnya.

Sebagai contoh seseorang itu boleh mendakwa bahawa dia bukan muslim apabila ditangkap berkhalwat atau minum arak di khalayak ramai, jika tiada bukti pada kad pengenalan yang menunjukkan dia seorang muslim.

Kesan seterusnya ialah sebahagian besar undang-undang Syariah tidak dapat dikuatkuasakan dan akan menjadi lumpuh. Oleh sebab itu, membuang perkataan Islam pada kad pengenalan adalah umpama membuka pintu maksiat dan kekufuran seluas-luasnya.

Jika pemerintah membuat keputusan untuk membuang perkataan agama itu, maka dengan sendirinya pemerintah itu mengkhianati amanah dan fungsinya yang utama iaitu menjaga agama umat ini daripada dilanda dengan wabak maksiat dan kekufuran.

Tindakan itu juga, jika diambil, bermakna dengan sendirinya memandulkan sebahagian undang-undang Syariah di negara ini.

Jika keputusan membuang perkataan itu dibuat kerana tunduk kepada desakan DAP, maka ini bermakna pemerintah yang beragama Islam adalah mereka yang bacul, dayus dan tidak bermaruah dalam berdepan dengan parti yang berasaskan ideologi sosialisme dan sekularisme.

Jika ini berlaku, maka situasi dominasi DAP dalam kerajaan sekarang ini sudah bertukar menjadi lebih teruk iaitu cengkaman kuasa politik hampir mutlak, yang memungkinkan segala matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sosialis sekular dapat dicapai dengan mudah.

Semoga Allah Taala mengampunkan kecuaian kita dan menyelamatkan agama Islam di negara ini untuk selamanya. Amin.

KENAIKAN KOS BAHAN MAKANAN TIDAK BOLEH DIBIARKAN BERPANJANGAN

Teguran Sultan Nazrin terhadap kenaikan harga barang makanan dalam Titah Diraja Pembukaan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini perlu diambil serius terutamanya oleh pihak kerajaan.

Sultan Nazrin dalam titahnya menzahirkan kegusaran terhadap bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat jelata hasil kenaikan kos harga barang makanan yang meruncing pada hari ini.

Tindakan segera perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk mengesan punca kenaikan harga barang makanan. Seluruh rantaian pengeluaran makanan perlu dikaji supaya rantaian ini boleh dipendekkan bagi mengelakkan kenaikan berganda. Orang tengah di dalam rantaian ini perlu dihapuskan dan monopoli di dalam pengeluaran makanan perlu segera dimusnahkan.

Keseluruhan sektor pertanian negara memerlukan perubahan dasar segera untuk meningkat produktiviti dan effisiensi. Kebajikan petani dan peladang juga perlu dirangka dengan terpeinci sekiranya perubahan dasar melibatkan pengurangan harga bahan mentah.

Tindakah kerajaan PH menarik pelbagai jenis insentif petani, peladang dan nelayan dalam Bajet 2019 adalah ternyata tindakan yang tidak bijak. Insentif serta bantuan ini perlu diberikan dikembalikan semula.

Insentif dan bantuan ini hanya boleh ditarik sekiranya kerajaan mempunyai polisi secara menyeluruh untuk membantu menaikkan semula pendapatan sektor pertanian negara.

Namun jelas sekali Bajet 2019 yang lalu langsung tidak mempunyai penekanan terhadap sektor premier negara malah pelbagai peruntukan Felda juga turut ditarik.

Titah Sultan Nazrin ini perlu diambil berat oleh pihak kerajaan dan satu dasar keselamatan makanan negara perlu segera dilaksanakan dan dibincangkan.

 

Muhammad Thalhah Bin Kamarol Zaman

Ketua Jawatankuasa Ekonomi Berjasa

PEMIMPIN TIDAK JUJUR PUNCA POLEMIK SABAH SARAWAK

Isu Sabah dan Sarawak sebenarnya ialah isu ketidakjujuran pemimpin muslim selama ini, kerajaan dahulu hingga kerajaan hari ini, dalam memperjuangkan nasib rakyat kedua-dua negeri itu.

Ketidakjujuran itu berlaku dalam bentuk kemudahan dan pembangunan yang diusahakan oleh pemimpin politik hanyalah sekadar bertujuan mendapatkan sokongan undi rakyat Sabah dan Sarawak.

Kekayaan bumi Sabah dan Sarawak dikaut habis-habisan melalui kroni, manakala untuk rakyat disisakan sekadar untuk dapat sokongan agar kekal di kerusi pemerintahan.

Tiada agenda jangka panjang untuk pembangunan dan kesejahteraan hidup rakyat yang menyeluruh.

Situasi sebegini amat subur untuk operasi menghasut oleh DAP dan konco-konco evangelist, mencucuk jarum permusuhan kaum, agar rakyat Sabah dan Sarawak bangkit, bukan sekadar menuntut pembangunan, malah mahukan pemisahan daripada Malaya.

Cubaan pindaan Perlembagaan semalam oleh kerajaan PH juga adalah jelas sekali ibarat telunjuk lurus kelingking berkait.

Krisis integriti pemimpin politik dalam negara kita sudah sampai ke tahap berpotensi untuk memecah belahkan Persekutuan menjadi negeri-negeri kecil.

Mereka hamba kepada kepentingan nafsu politik kepartian mereka. Mereka bukan berjuang untuk rakyat sebenarnya. Mereka tidak jujur.

Perkara yang sama berlaku dalam kes Tabung Haji. Dr Mujahid terlalu gopoh untuk mendedahkan kepincangan yang dikatakan berlaku akibat penyelewengan pengurusan lalu di bawah BN, tetapi ternyata akibat daripada kegopohan itu TH terpaksa berdepan dengan risiko “bank run”.

Semuanya gara-gara tidak jujur pada agenda umat, sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan parti dengan menyambar apa saja peluang untuk hentam parti lawan tanpa berfikir panjang.

Hakikatnya, pengislahan boleh dilakukan dengan tenang tanpa heboh dan menimbulkan panik rakyat.

Inilah bahana yang rakyat terpaksa tanggung apabila mendapat pemimpin yang tidak jujur pada agenda umat.

Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden Berjasa

ISU LYNAS: KREDIBILITI DAN INTEGRITI KERAJAAN PH DIPERTIKAI

Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri yang dilaporkan dalam Berita Harian baru-baru ini berkenaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan – “Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia, dengan syarat bahan mentah yang dibawa ke negara ini dibersih dan dihapuskan radioaktif terlebih dahulu” (5 April 2019).

Beberapa kenyataan dari beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri yang mahukan sisa dari Lynas dihantar balik ke Australia, juga dirujuk.

Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan bahawa kerajaan ini tidak berintegriti, dangkal dan tiada kredibiliti dalam menangani isu tersebut.

Beberapa laporan saintifik dari kajian kerajaan terdahulu dan sekarang (Jawatankuasa Pilihan Parlimen, Jawatankuasa Pemantauan Keselamatan Lynas dan lain-lain), dengan jelas memperinicikan bahawa sisa yang dipertikaikan itu adalah terlalu rendah kadar radioaktivitinya dan tidak merbahaya kepada alam sekitar dan manusia. Ini disokong dengan fakta bahawa kilang tersebut adalah kilang pemprosesan mineral dan kimia, bukan kilang nuklear atau penjana tenaga nuklear; tidak ada penambahan kadar radioaktif semasa pemprosesan; pemantauan berterusan aktiviti radioaktiviti (oleh AELB dan UMP) telah diperakui dibawah kadar yang selamat dan banyak lagi fakta-fakta saintifik lain.

Berdasarkan laporan-laporan tersebut yang mengambilkira pemantauan, pandangan dan fakta-fakta agensi penguatkuasa seperti AELB, JAS dan lain-lain serta pandangan pakar-pakar tempatan dan luar negara, turut menyokong yang sisa tersebut tidak merbahaya sebagaimana yang digembar-gemburkan.

Oleh itu kenyataan YAB PM sebenarnya tidak tepat dan tidak sama sekali berdasarkan fakta saintifik serta hujah yang rasional. Kenyataan lain yang meminta Lynas membawa keluar balik sisa ke negara asal juga amat janggal kerana ianya bukan amalan di seluruh dunia. Jika tidak semua sisa hasil dari pemprosesan getah, kelapa sawit, bauksit, timah dan lain-lain ekspot Malaysia akan dikembalikan ke negara kita. Ini tidak pernah berlaku sehingga hari ini.

Jadi, saya memandang serius cara kerajaan PH dalam menangani isu negara dan secara khusus isu Lynas ini, yang menunjukkan dengan jelas keputusan dibuat berdasarkan fakta dan maklumat yang tidak tepat serta berasaskan sentimen politik. Kerajan ini sebenarnya tidak kompeten dan tidak mampu mentadbir negara; kalau kebenaran yang berasaskan fakta, data dan bukti saintifik, tidak diambilkira dan dibakulsampahkan. Apalagi hujah-hujah yang rasional juga tidak diterima semata-mata kerana mahukan mengekalkan kuasa dengan cara yang tidak berintegriti.

 

Dato’ Ir Ts Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, F.A.Sc
Presiden Berjasa.

(yang juga merupakan bekas seorang Profesor Kejuruteraan Kimia dan pakar rujuk pemprosesan nadir bumi yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan sejak 1987).

DISKUSI MASLAHAH STATUT ROME PERATURAN INDUK SYARIAH PERLU DIPATUHI

Kaedah syarak mengajar kita agar memulakan perbincangan, dalam isu seperti Statut Rome ini, daripada soalan “apa maslahah untuk ‘sign’ Statut Rome”? (Apa manfaat untuk ‘sign’?)

Mengelak kemudaratan tidak ‘sign’ itu adalah maslahah yang perlu dibincangkan terlebih dahulu, kerana tidak ‘sign’ adalah kedudukan asal bagi negara kita.

Selepas itu barulah bincang tentang kemudaratan yang mengiringi kemaslahatan ‘sign’ Statut Rome, yang menjadi noktah utama polemik sekarang ini dalam kalangan beberapa tokoh undang-undang.

Menimbang antara maslahah-maslahah (menolak mudarat dikira maslahah) adalah topik induk politik Islam. Islam telah menyediakan peraturan-peraturan induk dalam menimbang maslahah-maslahah itu, bukan ikut suka kita.

Inilah contoh, bahawa dalam kitab-kitab para ulama memang tiada istilah Statut Rome dan seumpamanya, tetapi mereka telah menggariskan peraturan-peraturan induk tertentu untuk proses menimbang maslahah yang tiada nas spesifik yang mengiktiraf atau menolaknya (masoleh mursalah).

Jangan kata dunia mereka dahulu tidak sama dengan dunia kita sekarang, maka tulisan mereka tak perlu dirujuk. Itu maknanya kita tak faham apa yang mereka tulis.

Mereka tulis peraturan-peraturan induk (Qawaid dan Usul), yang boleh diguna pakai di sepanjang zaman dan di semua tempat, yang mereka hasilkan daripada analisis induktif terhadap sumber dan hukum syarak keseluruhannya.

Itulah maksud ungkapan bahawa Islam itu sesuai di sepanjang zaman dan di semua tempat.

Ustaz Mohammad Hazizi Bin Abdul Rahman
Naib Presiden Berjasa

PERLU SEPAKAT KEMBALIKAN DOMINASI POLITIK MELAYU

BANGI, 27 Rejab 1440H, Rabu – Perpaduan dan kesepakatan parti-parti Melayu perlu terus diperkasa bagi mengembalikan semula kuasa dominasi politik orang Melayu yang kian hilang.

Presdien Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, hanya dengan dominasi kuasa Melayu sahaja akan mampu mengekalkan survival Islam di negara ini.

Katanya, dahulu umat Islam pernah kehilangan dominasi ekonomi di tangan penjajah, namun kini walaupun sudah merdeka, Melayu hilang pula dominasi kuasa politik, apabila menjadi caturan orang bukan Islam.

“Justeru, Berjasa bawakan satu agenda kesepakatan dan kewibawaan. Kesepakatan antara orang Islam, Melayu di mana mereka yang diberi tanggungjawab adalah mereka yang berwibawa.

“Berwibawa bermakna dia profesional, ikhlas, ada integriti dan bukan taksub kepada parti sahaja. Yang itulah yang kita kena bersepakat. Kita nak kuasa politik didominasi semula oleh orang Melayu,” katanya ketika temubual bersama Ismaweb.net.

Mengulas mengenai kesepakatan dan kesatuan antara UMNO dan PAS, Dr Badhrulhisham menyifatkan ianya satu penyatuan yang terbaik untuk maslahat bangsa Melayu dan umat Islam.

Namun, katanya, kesepakatan itu haruslah melangkaui PAS dan UMNO itu sendiri supaya ia lebih terbuka dan inklusif.

“Sebab jika hanya PAS dan UMNO sahaja, benda itu tidak akan sustainable. Mungkin satu ketika ia akan berpecah atau bersatu. Tetapi jika kita letakkan kepentingan umat, agenda yang lebih berjiwa besar, bukan hanya untuk kepentingan parti, pasti umat Islam akan terbela nasibnya.

“Ini bukan benda yang mudah dan kosong. Terutama bila nak pilihan raya nanti, pembahagian kerusi pada PRU15 akan menjadi ujian sejauh mana keikhlasan dalam meletakkan agenda Islam dan ummah di hadapan, berbanding dengan agenda parti. Pembahagian itu perlu ada kesepakatanlah. Pilih yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, bercerita mengenai hala tuju Berjasa, Dr Badhrulhisham menegaskan, parti itu mahu menegakkan negara berprinsipkan Islam, termasuk mengangkat martabat dan maruah umat Islam.

Katanya, Berjasa mahu menampilkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, yang bersih dan berintegriti, yang akan membawa kita ke arah sebuah negara yang berdaulat, harmoni, makmur dan berteknologi tinggi.

“Jika kita lihat politik hari ini, banyak politik yang reaktif, politik yang tidak memikirkan jangka masa panjang. Berlainan dengan Berjasa kerana kita mahu bawa politik yang selari dengan ajaran Islam, iaitu politik yang bertanggungjawab, kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah berasaskan akhlak, menjaga maslahat manusia sejagat.

“Kita nak kembalikan kedaulatan negara ini dengan Islam dan Melayu. Kita ingin mengangkat tamadun Islam yang hebat dan terbukti, seperti apa yang kita pernah sebut dulu ketika Berjasa mula memperkenalkan Melayu Sepakat, Islam Berdaulat,” katanya.

Salam Takziah Dari Seluruh Warga Berjasa

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita akan kembali.
.
Seluruh Jawatankuasa Pusat Barisan Jemaah Parti Islam Se-Malaysia (BERJASA) ingin mengucapkan salam takziah kepada Mohamad Hazwan bin Mohamad, Ahli Jawatankuasa Strategik BERJASA di atas pemergian ayahanda yang dikasihi, Hj Mohamad @ Awi pada jam 2.42 petang tadi di Hospital Universiti (1 April 2019)
.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas beliau dan semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

BERJASA SOKONG UNDI CALON MUSLIM BERWIBAWA DI PRK RANTAU

Rantau, 30 Mac- Berjasa akan terus menyokong agenda meramaikan wakil rakyat Muslim Berwibawa bagi memastikan negara ini diperintah dengan adil berlandaskan syariat Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung Berjasa, Tuan Abdul Aziz Bin Sardan ketika hari penamaan calon PRK Dun Rantau pada sabtu lalu.

Delegasi Berjasa yang diketuai oleh Naib Presiden, Tuan Haji Shokri dan Setiusaha Agung, Tuan Abd Aziz Bin Sardan telah bersama-sama dengan wakil-wakil parti politik daripada Gagasan Sejahtera dan UMNO bagi menyokong bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Muhammad Bin Hasan atau Tok Mat ketika hari penamaan calon tempoh hari.

Setiusaha Agung, Tuan Abd Aziz berkata, “Berjasa akan bersama-sama rakan-rakan parti dalam Gagasan Sejahtera untuk menyatukan pengundi Melayu dan Islam di seluruh Malaysia agar kita dapat mengembalikan dominasi kuasa politik Melayu”

BERJASA – PAS PERKUHUH KERJASAMA STRATEGIK

Berjasa-Pas Perkukuh Kerjasama Strategik

Kuala Lumpur, 25 Mac- Pimpinan Berjasa hari ini telah mengadakan kunjungan muhibbah ke Pejabat Agung Pas bagi mengeratkan kerjasama dua hala antara dua parti itu.

Kujungan ini telah disambut oleh Timbalan Presiden Pas, YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan tertinggi Pas yang lain.

Antara perkara yang dibincangkan merangkumi kerjasama lebih erat dan strategik dalam menggerakkan Gagasan Sejahtera, perihal keadaan ekonomi semasa dan situasi politik pada hari ini.

Kedua-dua parti juga turut bersetuju untuk menyusun langkah yang lebih kemas dalam mendepani pilihan raya kecil Dun Rantau yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Satu mesyuarat khas pimpinan-pimpinan parti dalam Gagasan Sejahtera akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan halatuju dan gerak kerja seterusnya.