PRK Semenyih: Berjasa sedia bantu calon muslim wibawa

Tidak bersekongkol dengan parti anti-Islam syarat kerjasama parti ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’

BANGI, 3 Jamadilakhir 1440H, Jumaat – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) bersedia membantu calon muslim yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih 2 Mac ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan mengingatkan, calon muslim berkenaan mestilah seorang yang adil, berintegriti dan tidak bersekongkol dengan parti yang anti kepada kemajuan Islam selaras dengan slogan parti itu iaitu ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’.

Abd Aziz berkata, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Berjasa mula menampilkan calon Melayu untuk memberi pilihan kepada pengundi meletakkan calon di mana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat ketika itu diwakili bukan muslim. 

“Dalam PRU14 pula, ketika PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan membentuk Gagasan Sejahtera (GS), Berjasa lebih memberi penghormatan kepada calon PAS untuk bertanding malah Berjasa turut membantu calon dalam rakan GS.

“Selain itu, seruan Berjasa untuk kesepakatan Melayu juga semakin disambut baik,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK Semenyih diadakan pada 2 Mac depan, susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Bakhtiar Mohd Nor yang juga anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggal dunia.

Mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini pada 11 Januari lalu, DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih yang layak mengundi bagi PRK itu.

Pengundi Melayu menjadi majoriti dengan 67.71 peratus; Cina (16.69 peratus); India (13.73 peratus); dan lain-lain kaum (1.86 peratus).

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

Dominasi DAP mungkar, perlu ditamatkan segera: Berjasa

Parti politik perlu adakan pakatan baharu kembalikan dominasi kuasa orang Melayu

BANGI, 17 Jamadilawal 1440H, Rabu – Dominasi parti tamak haloba, DAP ke atas kerajaan Malaysia adalah satu kemungkaran yang perlu ditamatkan segera, tegas Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman.

Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merombak kerajaan Pakatan Harapan sedia ada, yang disifatkan gagal membela nasib rakyat. 

Maka sekali gus katanya, parti-parti Melayu boleh mengadakan pakatan baharu bagi mengembalikan semula kuasa dominasi politik orang Melayu.

“Selepas umat Islam kehilangan dominasi ekonomi ke tangan penjajah, yang kemudiannya diwarisi oleh kaum Cina, kini umat Islam kehilangan dominasi kuasa politik, sehingga mudah dipercaturkan oleh parti cauvinis DAP. 

“Akibatnya, terlalu banyak kes yang menimbulkan perasaan tidak puas hati orang Melayu timbul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Ustaz Hazizi menegaskan, Perdana Menteri perlu melakukan sesuatu sebelum keadaan menjadi semakin tidak terkawal, kerana ia melibatkan kaum majoriti. 

“Tubuhkan blok kepartian baharu yang memberikan dominasi kembali kepada orang Melayu, atau bubarkan Parlimen bagi memberi jalan pilihan raya lebih awal,” katanya. 

Terdahulu, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Abdullah Zaik Abd Rahman menyarankan Dr Mahathir supaya membubarkan Parlimen kerana pemerintahan kini didominasi DAP.

Malah, Ustaz Abdullah berkata, Dr Mahathir juga dilihat hampir hilang kawalan sepenuhnya ke atas pemerintahan dan anggota Kabinet.

Beliau berkata, keadaan ini sangat berbahaya kepada negara dalam semua sudut, sama ada politik, ekonomi, perpaduan, keselamatan dan memerlukan tindakan tuntas daripada pemimpin negara itu.

Sumber: Portal Islam dan Melayu, Ismaweb

PRK Cameron Highlands: Berjasa tak letak calon

Berjasa akan terus perjuang agenda Melayu dan Islam

BANGI, 3 Jamadilawal 1440H, Rabu – Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) mengumumkan tidak akan bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, yang akan diadakan pada 26 Januari ini.

Setiausaha Agung Berjasa, Abd Aziz Sardan dalam satu kenyataan hari ini berkata, setelah mengambil kira pelbagai faktor, Jawatankuasa Pusat parti itu membuat keputusan untuk tidak bertanding di PRK berkenaan.

“Berjasa secara rasminya tidak akan bertanding di Pilihanraya Kecil (PRK) bagi P078 Cameron Highlands yang bakal berlangsung. Keputusan ini diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat Berjasa setelah mengambil kira pelbagai faktor untuk PRK kali ini,” katanya.

Katanya, Berjasa mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi yang sentiasa komited menyokong perjuangan parti itu, sepanjang keterlibatan mereka di Parlimen Cameron Highlands.

“Berjasa akan komited memperjuangkan agenda Melayu dan Islam serta memartabatkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berjasa sinonim dengan Parlimen Cameron Highlands, apabila pada PRU13 dan PRU14, parti itu meletakkan calon untuk bertanding di sana.

PRK Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandangnya, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya 9 Mei lalu, selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh menang di Parlimen berkenaan, membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 undi, menewaskan empat calon lain, iaitu calon DAP, M Manogran; calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud; calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim dan calon PSM, B Suresh Kumar.

Berjasa Meneruskan Semangat dan Perjuangan Arus Baru

Melalui kepimpinan baharu, Berjasa bertekad untuk meneruskan aspirasi dan cita-cita perjuangan Arus Baru bagi mengembalikan dominasi Orang Melayu sebagai kaum majoriti di persada politik tanah air.

Dengan laungan ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’, Berjasa beriltizam untuk memastikan kesepakatan Melayu yang bakal dicapai akan menjamin kestabilan dan keharmonian negara Malaysia.

Gaya politik baharu yang ditampilkan Arus Baru semasa pasca PRU13 yang lalu akan diteruskan oleh kepimpinan Berjasa yang terdiri daripada gabungan profesional dan ulama. Di samping majoriti ahli Berjasa adalah golongan belia dan pemuda, Berjasa akan terus mengetengahkan kepimpinan muda yang bakal meneraju politik tanah air ke dimensi yang berbeza.

Berjasa tetap meletakkan hasrat untuk mengukuhkan status negara Islam di Malaysia sepertimana yang telah dilaungkan oleh Arus Baru sejak 2013.

Semoga tekad dan iltizam ini akan terus membumi dan disambut oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

 

Abd Aziz Bin Sardan

Setiausaha Agung Berjasa