Segera bentang rang undang-undang akta Pendanaan Politik

PARTI BERJASA GESA SEGERA PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA PENDANAAN POLITIK

1. Selain daripada Akta Anti Lompat Parti yang hangat diperkatakan kebanyakkan Ahli Parlimen kini, saya menggesa supaya disegerakan juga pembentangan rang undang-undang yang dinamakan sebagai Akta Pendanaan Politik (“APP”) untuk dibentangkan dalam Parlimen seterusnya diluluskan sebelum Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 nanti.

2. Akta Pendanaan Politik amat penting bagi memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap sistem politik dan demokrasi negara. Ketiadaan undang-undang sebegini merupanakan antara punca mengapa rasuah dan politik wang berleluasa.

3. Ahli Politik memerlukan dana yang banyak untuk membiayai perjalanan kempen politik mereka sehingga terpaksa bergantung harap kepada dana yang diberikan oleh taikun-taikun perniagaan dan syarikat-syarikat korporate besar yang sudah pasti mengharapkan imbuhan sebagai timbal balik terhadap jutaan wang yang diberi kepada ahli politik.

4. Senario inilah yang memungkinkan budaya rasuah berleluasa. Ahli politik yang menang PRU kelak terasa berhutang budi dengan pendana politik mereka. Lantas segala dasar dan polisi yang bakal digubal sudah tentu tidak boleh memberi kesan terhadap sumber pendapatan taikun-taikun perniagaan ini. Sebagai contoh sekiranya kerajaan mahu melaksanakan kawalan harga hartanah atau menyekat kenaikan harga barang dalam industri dimonopoli taikun perniagaan tertentu sudah pasti tidak akan berjaya kerana rasa terhutang budi.

5. Hal yang sama berlaku apabila melibatkan keputusan untuk memberikan lessen-lesen perniagaan, keluusan tanah dan sebagainya sudah pasti mewujudkan konflik kepentingan atau ‘conflict of interest’ yang akhirnya menidakkan sebuah ketelusan dalam proses pentadbiran dan pengurusan.

6. Kitaran ini akan berterusan. Dari satu PRU ke PRU yang lain. Implikasinya cukup besar terhadap sistem demokrasi negara. Selain membudayakan politik wang, senario ini juga menatijahkan ketidakadilan kepada parti-parti kecil dan individu yang bebas tidak diikat dengan mana-mana taikun-taikun perniagaan untuk menawarkan diri dalam pentas demokrasi di Malaysia. Ini menjadikan sistem demokrasi di Malaysia kekal cacat.

7. Tidak sepatutnya ahli-ahli Parlimen kita melambat-lambatkan usaha ke arah merealisasikan Akta Pendanaan Politik. 116 buah negara di dunia telahpun mempunyai akta yang serupa. Ada negara yang menyediakan geran khas untuk parti-parti politik dan ada juga kaedah penguatkusaaan bagi memastikan ketelusan semua pihak.

8. Sebagai contoh di Jerman, setiap parti berdaftar diberi dana khas setiap tahun berdasarkan jumlah undi yang diperoleh dalam pilihanraya lalu. Begitu juga dengan negara jiran kita Indonesia yang mana kerajaan pemerintah menyalurkan Bantuan Dana Partai Politik (Banpol) kepada parti politik yang menyertai pilihanraya negara itu.

9. Jiran disebelah selatan kita pula Singapura telah menguatkuasakan undang-undang pembiayaan politik melalui Political Donations Act & Regulations sejak 2001 yang mengharamkan mana-mana parti menerima dana luar atau derma asing.

10. Di United Kingdom setiap parti wajib melaporkan kepada UK Electoral Commission jumlah derma yang diterima dari pihak lain dan ianya akan dimuat naik dan dizahirkan dalam laman web rasmi badan itu. Walaupun masih banyak kritikan terhadap prosesnya tetapi sekurang-kurangnya memberi indikator ketelusan atau ‘transparency’ dalam proses pendanaan politik dan mengurangkan risiko konflik kepentingan.

11. Di Ireland pula Perlembagaan negara itu telah dipinda untuk mewujudkan sebuah daftar penderma korporat yang mewajibkan semua identiti penderma kepada parti politik didedahkan dan mana-mana projek kerajaan tidak boleh dianugerahkan secara langsung kepada penderma korporat ini dalam tempoh tertentu. Sekiranya ada jumlah projek perlu didedahkan kepada umum.

Hazwan Mohamad
Ketua Penerangan parti BERJASA
0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published.