Majlis Raja-Raja perlu campur tangan isu kalimah Allah

BANGI, 4 Syaaban 1442H, Khamis – Wanita Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) mengesyorkan supaya Majlis Raja-Raja segera campur tangan dalam isu penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat bukan Islam.

Ketua Wanitanya, Azizah Che Awang berkata, Majlis Raja-Raja adalah suatu institusi berperlembagaan yang kuasanya ditetapkan dan dihadkan oleh Perlembagaan.

Pun begitu, tegasnya, rakyat mempunyai keyakinan bahawa ahli Majlis Raja-Raja sentiasa bersikap rasional dan berhemah tinggi, kerana meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan yang lain dan melaksanakan fungsi seperti apa yang sepatutnya dilakukan.

“Menjadi harapan rakyat kepada Majlis Raja-Raja untuk ‘menimbang teliti’ isu kalimah Allah dalam mempertahankan kedaulatan watan dan ketinggian agama Islam agar terus terpelihara dan dihormati.

“….selaras dengan Perlembagaan Persekutuan di mana Fasal (2)(C) Perkara 38 memperuntukkan: ‘…dan boleh menimbang teliti soal-soal mengenai dasar negara dan apa-apa perkara lain yang difikirkan patut.’,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Azizah menegaskan, jika isu ini tidak mampu diselesaikan dengan harmoni oleh pihak berautoriti, dibimbangi ia bakal mencetus ketegangan antara agama dan kaum di negara ini.

Ini kerana, perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah yang Maha Esa.

Manakala, lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian merujuk kepada Tuhan Bapa iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti (Yahweh, Yesus dan Elohim).

“Ini jelas menunjukkan penggunaan nama yang sama untuk merujuk dua identiti yang berbeza amatlah tidak munasabah.

“Menyebut Allah bukanlah suatu kesalahan ke atas yang bukan Islam. Yang menjadi kesalahan adalah apabila lafaz Allah dikaitkan dengan konsep triniti, ‘Allah adalah bapa Yesus’ atau ‘Allah mempunyai anak’.

“Inilah perkara yang dibantah dan dibimbangi oleh umat Islam apabila kalimah ini dibenarkan penggunaannya secara meluas oleh penganut Kristian Malaysia,” katanya.

Lebih membimbangkan, tegas Azizah, implikasinya kepada masyarakat yang tercicir daripada pendekatan dakwah Islam terutama di kawasan pedalaman yang tiada akses kepada dakwah Islam, selain mereka yang tinggal di bandar yang berfikiran liberal.

Justeru, beliau menyambut baik tindakan beberapa pihak atas segala usaha ke arah mencapai penyelesaian yang sepatutnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada gabungan NGO-NGO Islam dan tokoh-tokoh masyarakat yang telah mengemukakan enam resolusi kepada pihak berwajib.

“Begitu juga dengan tindakan Kementerian dalam Negeri (KDN) yang memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

“Bahkan, kesepakatan Mufti Bersama Panel Kajian Akidah dan Penasihat Undang-undang JAKIM juga telah berjaya menghasilkan Resolusi yang akan disampaikan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain, dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Selain kalimah Allah, penggunaan perkataan iaitu solat, Kaabah dan Baitullah juga dibenarkan kepada orang Kristian.

Difahamkan, keputusan kes berkenaan mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *