BERJASA terbuka demi kepentingan politik Melayu Islam

Johor Bahru, 15 Nov – Parti BERJASA Negeri Johor hari ini mengadakan lawatan ke Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia(BERSATU) Negeri Johor yang bertempat di Kempas Utama.

Delegasi Parti BERJASA diketuai oleh Hj Aziz Sardan, Setiausaha Agung BERJASA. Turut sama dalam sesi lawatan tersebut ialah Tuan Izzul Hafizzudin Mohd Solehuddin, Ketua Perhubungan BERJASA Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa BERJASA Negeri Johor telah disambut baik oleh YB Dato’ Dr. Sahruddin Bin Hj Jamal, Setiausaha BERSATU Negeri Johor merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia.

Peluang tersebut diambil bagi memperkenalkan barisan kepimpinan Parti serta wajah baru yang telah dilancarkan pada 12 September lalu disamping turut menyatakan sikap terbuka parti dalam apa jua perbincangan bersama Parti Politik lain khususnya berkaitan kedudukan Melayu dan Islam.

BERJASA telah mendengar pandangan yang diberikan oleh YB Dato’ Dr. Sahruddin berkaitan situasi politik semasa termasuk situasi di negeri Johor. BERJASA juga telah menyuarakan sikap keterbukaan parti yang sentiasa membuka ruang perbincangan dan keterlibatan secara lebih menyeluruh.

Sebagai salah satu parti yang membentuk kerajaan hari ini, adalah diharapkan Parti BERSATU dapat meletakkan soal masa depan Melayu dan Islam dalam apa jua percaturan politik hari ini kerana perpecahan dan perbalahan diantara parti-parti Melayu ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada rakyat.

Kerajaan dilihat memerlukan sokongan semua pihak dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara disamping terus fokus membantu mengembalikan semula prestasi ekonomi dan membantu rakyat yang terkesan.

0 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *